Monday, December 7, 2009

KISAHKU-8

Sejuknya hari ini. Alat penghawa dingin pejabat yang mungkin telah rosak sehingga membuatkan orang di dalamnya terasa kesejukan. Aku tidak tahankan keadaan sejuk. Lebih rela berjalan2 untuk memanaskan badan tetapi kurasakan amat penat. Manalah tidak, baru semalam aku pergi ke 'The Curve' dan 'Subang Parade', sudah tentu terasa letih.

Hilang butir kata. Itulah keadaanku bila kesejukan. Ketar dan kadang-kala gigi terketip sendiri menahan sejuk. Tapi tidak setiap hari aku menahan sakit. Hanya kadang2 dan boleh secara tiba2 ianya terasa. Ianya juga tidak perasan dari mata kasar kerana aku tetap kekal dengan perlakuan yang biasa dilakukan. Cuma diam tertunduk tanpa kata dan ini tidak membuatkan orang terfikir kesakitanku kerana aku sememangnya seorang pendiam. Dan masih boleh membuat kerja seperti biasa. Jika dirasakan pedih, aku hanya mengadap komputer melayari internet atau tidur seketika. Aku harap tidak ada salah sangka terhadapku. Aku harap aku tidak dikatakan sombong. Tapi sebenarnya aku redha jika orang berkata begitu, mungkin mereka tidak memahami kenapa sebenarnya aku. Aku sendiri tidak bersedia untuk memberitahu.

"Kak Fida macam sakit. Ok ke?" Cik Ika menegurku ketika keluar dari surau di unit kami. Dia merupakan salah seorang ketua unit di sini. Aku hanya menggelengkan kepala. Begitulah aku jika orang menanya. Aku hanya menidakkan apa yang mereka lihat. Ataupun aku hanya berkata perlahan,"Taklah. Cuma penat dan mengantuk". Kenapalah aku tidak mahu berterus terang. Tapi fahamkah mereka jika aku memberitahu.

"Takut tengok kak fida. Muka semakin cengkung." Ani menegur perubahanku. "Kan puasa, biasalah kurus."aku menjawab. Namun aku terfikir,'yekah begitu? Atau memang perubahan ini disebabkan...ah!Aku takkan mengalah.'

Pernah sewaktu di musim raya aidilfitri. Jiran2 mahu berkunjung ke rumahku. Aku tetap tidak akan menolak walaupun sepenat manapun aku. Itulah menjadi amalan, tetamu dikatakan membawa rezeki. Sebenarnya rezeki berjumpa dan berkunjung kerana entah bila lagi kita akan dikunjungi tetamu di rumah. Aku pula baru sahaja pulang dari hospital kerana anakku semput dan batuk teruk waktu petangnya.

Apabila mereka sampai, aku tetap mengukir senyum seperti biasa. Namun terlalu sedikit butir ayat yang keluar dari kerongkong kerana terlalu penat dan aku menceritakan keadaan anak yang kurang sihat. Sedangkan suami sedang berbual rancak bersama tetamu lelaki. Kadang-kala aku terfikir, bagaimana perasaan mereka? Adakah mereka berasa tuan rumah tidak melayan dengan elok? Entahlah, perlukah aku memberitahu keadaan sebenar aku? Fahamkah mereka? Mampukah aku menerima ucapan sedih daripada mereka jika mereka tahu? Betulkah mereka tidak merendahkan aku? Tidakkah itu semua boleh membuatkan aku bertambah sedih dan sakit?

"U ni tak fikir ke? Takkan ada orang lelaki yang boleh mengahwini perempuan yang tidak boleh memberikan zuriat atau berisiko? Tengok macam Era Fazira dengan Yusri! Akhirnya bercerai juga sebab katanya Era yang tak boleh!" Masih terngiang2 kata2 itu. Aku berasa malu ketika itu kerana suara seorang rakan yang telah kuluahkan isi hati untuk berkongsi masalah, akhirnya bercakap tanpa rahsia tentangku di tempat awam. Patutkah begitu? Sejak itu, biarlah aku menyimpannya sendiri. Serik dan dirasakan aku tidak perlukan sesiapa lagi untuk berkongsi kepedihan.

Namun kini, suamilah tempat aku meluah rasa. Itupun kadang2 dia sibuk dengan aktiviti komuniti kawasan. Aku terfikir juga, manalah tahu ditakdirkan maut tiba esok lusa, siapalah lagi orang terdekat yang akan menguruskan kita. Sudah tentu jiran tetangga. Bila diingatkan tentang Era Fazira(seorang artis terkenal tanah air), kini dia sudah pun mempunyai seorang anak bersama suami barunya. Lihatlah dunia! Allah telah membuktikan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya. Aku juga bersyukur sudah bahagia bersama keluarga sekarang.

"Mak masih ingat lagi. Sewaktu Mak susah dan solo dulu. Orang telah mengatakan Mak menyundal di waktu malam kerana balik ke rumah malam2. Sedangkan Mak menyambung pengajian al-quran di Masjid Shah Alam. Sedangkan Mak berniat untuk menyara keluarga dengan tauliah yang akan Mak dapat jika bersungguh belajar." Aku memahami kata2 Mak yang sedih dengan kata2 orang kampung. Tetapi semuanya sudah berubah. Kini Mak sudah buktikan yang dia mempunyai wawasan, dia telah berjaya dan senang dengan hidup barunya.

"Itulah juga sebabnya Mak berkahwin lagi supaya orang tidak mengata Mak ingin mengambil laki orang", Mak menyambung lagi. Ya, Abah sudah lama meninggal dunia ketika aku mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1995. Hidup Mak susah kerana hilang tempat bergantung. Dengan kesusahan itulah mengajarnya untuk lebih berjaya pada masa kini. Aku jugalah salah seorang anak yang tidak sempat berjumpa dengan arwah Abah sebelum dia meninggal kerana aku berada jauh di asrama Kuala Selangor dan sedang sibuk dengan SPM. Kerana itu, aku tidak diberitahu awal dan mereka juga tidak menyangka arwah Abah pergi juga menemuiNya walaupun sudah menjalani pembedahan otak setelah diserang strok. Sedangkan Abang Long yang berada di USA, sempat pulang untuk menemuinya. Sedihnya bila terkenangkan perkara lampau.

Namun, hatiku tetap betah dengan ujian. Mungkin kesusahan juga telah mengajarku. Pernah satu ketika, tiada sebarang benda yang boleh dimakan di rumah Mak. Peti ais juga kosong tanpa isi. Yang tinggal hanya beras dan garam. Itulah yang dikatakan kemiskinan bandar. Hidup bujangku dulu juga penuh kesukaran. Aku sudah biasa dengan keadaan itu. Tidak seperti suami, ibu dan ayah masih hidup di muka bumi ini. Tidak pernah berasa susah sepertiku. Aku terfikir, Allah akan memberi ujian pada hambaNya mengikut tahap kemampuan hambaNya.

No comments:

Post a Comment