Monday, December 21, 2009

KISAHKU-13

Aku demam. Batuk dan berbagai rasa yang mengundang apabila tidak sihat. Dua hari sebelum Krismas, aku telah mengambil cuti untuk menyelesaikan urusan peribadi. Entahkan urusan apa, aku sendiri tidak pasti. Tetapi aku ada alasan tersendiri, mahu berehat dan mahu...melihat reaksi ayah tiri atau Pakcik (panggilan untuk ayah tiri). Aku telah pergi ke rumah Mak bersama Daus dan suami untuk berjumpa Mak dan sememangnya ada sesuatu yang mahu dibincangkan.

Namun, belum sampai ke rumah Mak, badan dan seluruh tanganku menjadi lenguh tiba2. Tidak sempat aku mahu berkunjung, padahnya sudah ada. Aku batalkan saja niat untuk pergi ke rumah itu. Mungkin esok atau lusa, aku akan cuba juga berjumpa Mak.

Esoknya, aku singgah juga ke rumah itu. Persinggahan yang tidak dirancang dari awal dan seolah2 terlanjur untuk sampai ke situ. Kebetulan hari itu, orang lelaki akan bersolat Jumaat. Pakcik sudah tiada di rumah itu. Tibalah masanya aku menyusun kata pada Mak. Sesampainya aku di rumah itu, Mak terus menyambut cucu kesayangannya Daus yang merupakan cucu ke-10. Untungnya Mak sudah bercucu ramai dalam usia 56 kerana berkahwin awal dengan arwah Abah. Itu belum masuk cucu tiri lagi, mencecah 20 lebih kesemuanya. Berdetik di hati, aku memang sudah maklum ada sesuatu di rumah Mak tanpa boleh dilihat dengan mata kasar. Aku harus kuat dan berhati2 agar tidak terngadah. Aku mahu menjengah seketika suasana rumah itu dengan andaianku tersendiri. Sudah berbuih mulutku membaca ayat2 pendinding dan zikir sebelum sampai ke rumah itu.

"Mak sihat? Pakcik macamana? Sihat?" aku merenung wajah Mak yang terlalu gembira dengan kehadiran kami. Suami membisu seribu bahasa dan sibuk bersiap untuk pergi ke masjid. "Mak ok je. Takde apa2. Pakcik dah keluar. Dia macam tu jugaklah." Mak berkata selamba dan memang sudah tahu akan maksud pertanyaanku. Kehadiranku ke rumah itu juga adalah untuk meredakan marah Mak kerana aku seolah2 tidak sudi menjengahnya. Setelah apa yang dia tahu tentang tempohari, dia dapat rasakan ada jurang antara aku dengan dirinya sebagai isteri Pakcik. Perbalahanku juga dengan Mak menyebabkan wanita itu terlalu jengkel dengan sikap keras hatiku. Hanya kerana perbualan telefon tempohari.

"Mak, Pakcik macamana? Dia macam sakit tak?" aku bertanya untuk kepastian. "Dia jadi sakit tak tentu arah. Dia kata sakit belakang, suruh Mak gosok." Mak menjawab bernada sedih. "Tapi Mak ada baca2 tak? Takut nanti kang, dia serap kat Mak pulak!" aku inginkan kepastian lagi. "Tentulah Mak ada baca2 ayat pendinding sambil nak gosok belakang dia tu," tegas Mak. Aku masih sangsi dengan Mak. Kadang-kala aku rasakan ianya mungkin mainan Pakcik untuk menguasai Mak. Apa yang aku tahu dari ustaz atau panggilan biasanya Paksu, terlalu banyak benda yang berada dalam badanku dan kes yang agak berat sehingga dia tidak boleh selesaikan dalam masa 1 hari. "Sebenarnya memang betul lah Mak. Memang Pakcik punya." Belum sempat aku menghabiskan ayat, Mak sudah tidak sabar mahukan ayat seterusnya,"Lagi apa lagi Paksu cakap?". Mak sudah mula berkeras suara. "Sabarlah..Ana nak cerita ni. Ada 4 benda yang berada dalam badan Ana(panggilan keluarga) tapi 3 benda yang orang punya dan 1 antaranya sudah hapus terbakar. Itu yang menyebabkan kaki Ana berasap. Tapi ada 1 lagi yang liat. Paksu kata, benda tu bagitau yag dia dah lama tinggal dalam badan Ana. Benda tu sebenarnya belah ayah punya. Ana ada tanya dia, ayah yang mana satu sebab Ana ada 3 orang ayah. Dia kata, kalau kita cuba lawan yang ini, takutnya dia akan hantar yang lain dan lebih kuat. Ana fikir memang Pakcik punyalah sebab paksu cakap camtu tandanya orangnya masih hidup lagi. Pakcik je suami Mak yang masih hidup. Dia menuntut sendiri di Pulau Besar. Kenapa nak hantar pada anak Mak pula? Macam sengaja nak kenakan je,"aku sudah mula meninggi suara dan serkap jarang.

Aku menambah lagi, "Mak, sebenarnya yang ada pada Pakcik tu adalah ilmu orang Negeri. Ana banyak tanya Paksu dan cuba berkeras mahukan kisah sebenar. Dia memang berat nak bagitau pada awalnya, tapi Ana kata Ana dah sedia. Lagipun, Pakcik bukannya ayah kandung. Manalah tahu dia ada hajat tertentu yang terselindung. Paksu kata,kalau dia balik Pilah, bukannya kosong. Kalau boleh dia nak Mak tunduk sangat2 pada dia dan serahkan apa harta yang ada. Bukan setakat ilmu biasa, yang pelik2 pun ada. Ilmu Burung lah, macam2 lagi untuk kesenangan sementara (dunia). Yang ada pada Mak tu, lagi hebat. Pada anak2 perempuan Mak pun dah ada sikit2. Benganglah, dahlah dia tu cuma ayah tiri, buat macam ni pulak! Padanlah Mak boleh menanggung dia tanpa dia bagi Mak sesen pun. Kalau ada pun tak banyak. Entahkan apa niat dia Mak! Ana dah mula rasa tak suka! Dahlah anak2 dia sombong kata Mak macam2. Kononnya Mak sengaja taknak jaga ayah dia lah, sedangkan sakit Mak diorang tak ambil peduli. Bila cakap bapa dia ada menuntut sendiri, taknak cuba check dulu. Taknak mengaku kelemahan sendiri".

"Dahlah! Jangan kita pula yang jadi jahil macam dia dengan anak2nya. Mak pun memang dah lama tahu, dia ada buat Mak. Dia pun kalau pergi mana2 tu, mesti macam nak bertelagah je terutama dengan orang Negeri jugak. Tak tahu kenapa. Kita doakan aje dia berubah! Janganlah sampai kau tak balik Puchong pulak. Dek kerana macam ni, anak2 macam buang Mak, tak pedulikan Mak. Bukan salah Mak pun," Mak bertegas lagi. Terbit rasa kasihan pada Mak dengan apa yang terjadi, tapi aku cukup kesal kenapalah ada segelintir manusia yang lebih percayakan kuasa selain Allah yang kononnya boleh membawa tuah, itu dan ini. Jahilnya orang zaman dahulu, kurang didikan agama. Itulah yang dikatakan zaman 70-an, zaman Disco, zaman air gas(arak) dan apa yang lebih dikesalkan, perbuatan syirik yang menyekutukan Allah.

"Ana belum bersedia lagi Mak. Ana akan sampai juga ke rumah Mak tu, sabarlah!"aku terus memujuk Mak kerana tidak mahu dia terasa diketepikan. Belum sempat aku meneruskan kata, Mak sudah memutuskan talian handphone. Aku tidak terkejut dengan tindakan Mak, sememangnya aku jujur tidak bersedia kerana aku sendiri maklum tentang keadaanku sendiri.

Seingatku, aku sudah pernah berubat setelah aku mengetahui tentang perubahanku dulu. Ianya sebuah kisah silam yang aku sudah lupakan dan tiada kaitannya lagi sekarang. Aku fikirkan tentang keempat2 benda itu kepunyaan siapa. Aku masih ingat, Paksu ada memberitahu, "Fida akan tahu juga kelak dengan keizinan-Nya. Mungkin ditengoknya dah pernah ada benda lain masuk, sebab tu dia cuba hantar yang ini pula." Aku terfikirkan pula kata2 Pakcik satu masa dulu, "Rumah ni cuma rumah single storey biasa je Na, macam low cost. Tak cukup lagi..". Itulah kata2 Pakcik sewaktu kali pertama melihat rumah baru kepunyaan suami untuk kami tinggal. Adakah Pakcik kurang berkenan dengan suamiku kerana mungkin masih tidak cukup kaya sepertimana menantu2nya sekarang? Ataukah mungkin dia mahukan menantu yang lebih hebat dan berharta mengikut kehendaknya?

Aku biarkan sahaja soalan yang terkumpul itu di benak fikiran. Dengan izin Allah, ada jalan keluar dan penyelesaian. Itulah yang dikatakan lumrah hidup, manusia kadang-kala alpa dengan tanggungjawab yang lebih utama. Berada di bumi Allah yang sementara ini untuk menuju Akhirat yang lebih kekal abadi.

Aku sempat berjumpa Pakcik sebelum berangkat pulang dari rumah Mak. Pakcik seolah2 terkejut kerana tidak menyangka aku akan menyalaminya sebelum pulang. Aku biarkan sahaja keadaan itu. Setelah aku pulang dari rumah Mak, aku menjadi tidak sihat. Namun kukuatkan hati untuk menghabiskan surah Al-Baqarah selama 2 setengah jam di waktu malamnya untuk mengelak sesuatu mengikut semasa dalam perjalanan pulang. Namun jauh di sudut hati, aku juga berdoa agar hati tua itu (Pakcik) akan berubah dan bertaubat kepada-Nya. Hanya Allah Maha Pelindung dan Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment