Sunday, December 13, 2009

KISAHKU-10

Sebelum aku meneruskan penulisan, eloklah aku memohan maaf sekiranya terdapat tutur kata, perbuatan mahupun apa jua yang memberi kesan terhadap orang lain samada perasaan mahupun apa jua yang terselindung tanpa kusedari. Setelah bertahun2 lamanya kusimpan, ingin aku titipkan sebagai kenangan pahit dalam hidupku. Dan juga baru2 ini, setelah kutahu masih ada sisa yang entahkan dendam, entahkan apa, aku sendiri tidak dapat menduga.

'Ya Allah! Sesungguhnya aku insan yang teraniaya. Tutupkanlah hati orang yang berkenaan dengan niat buruknya terhadap keluargaku. Dan Kau bukakanlah hatinya untuk bertaubat dan menemui jalan kebenaran. Cukuplah sudah penderitaan ini. Aku sendiri tidak mengerti kenapa ini semua terjadi. Berikanlah aku jalan keluar ya Allah, hanya Kau Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar. Hanya Kaulah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu dan Kaulah maha Pelindung. Lindungilah keluargaku dari sebarang niat jahat manusia dan segala makhluk ciptaan-Mu. Amin Ya Rabbal Alamin...'

Aku tetap sabar dengan apa yang terjadi. Aku masih ingat lagi, sewaktu majlis perkahwinan semakin hampir, aku semakin sakit dan batuk tidak berhenti. Sehingga keluar kahak berdarah kerana tekakku luka . Namun, tiada apa yang doktor boleh buat kerana mereka sendiri tidak pasti penyakitku. Akhirnya aku berjumpa dengan seseorang yang alim setelah banyak kali aku mencuba cara moden tetapi tidak berhasil.

"Orang itu berniat untuk menghuru-harakan majlis kenduri kahwin nanti. Kalau boleh, dia mahukan salah seorang dari kamu tumbang ketika bersanding. Takpe..saya akan berikan ayat2 al-quran dan zikir amalan untuk dibaca sendiri sebagai pendinding. Kita hanya mohon dengan Allah kerana Dia lebih berkuasa dari segalanya. Air ini telah saya bacakan ayat2 suci dan jangan dilangkah. Pada hari kenduri nanti, semua makanan perlu direnjis dengan air ini supaya orang yang datang tidak boleh membuat santau. Ingat tu, jangan lupa. Lagi satu, jangan tidur awal sangat. Benda senang nak masuk."

Gerun aku mendengarnya. Biasanya bakal pengantin akan sibuk melengkapkan diri untuk majlis dan jemputan, tetapi aku sibuk dengan pendinding diri supaya tidak tumbang ketika majlis. Itulah keperitan yang dirasakan, sehingga aku terlupa untuk menjemput sebahagian rakan2. Aku menyambut hari perkahwinan dengan lesu dan tidak bermaya. Ditambah pula dengan jurukamera professional yang agak cerewet untuk mendapatkan 'pose' yang terbaik. Namun hasilnya, sungguh memuaskan dan aku senang dengan gambar2 yang diambil.

Aku sendiri tidak pasti apa yang tidak kena. Siapa yang tidak senang denganku, aku sendiri tidak dapat menjangka. Kenapalah tidak berterus terang, bukankah lebih mudah daripada melakukan perkara yang bukan2. Hai..itulah hati manusia. Tiada siapa yang dapat melihat isi hati sebenarnya. Takkanlah kerana aku ingin berkahwin dengan suami! Aku bukanlah cantik sangat macam artis, hidung pun tak mancung. Siapalah aku ini untuk orang mencemburui aku. Atau ada tutur kata yang tidak menyenangkan, mungkin. Kenapalah tidak berterus terang.

Sebenarnya, suami adalah insan kedua yang pernah datang dalam hidup. Aku pernah bertunang dengan orang lain sebelumnya tetapi tidak lama. Pada hari pertunangan yang petama, aku tertidur di kamar sendirian dan tidak mengingati apa yang berlaku. "Hei! Fida. Bangunlah! Tidur ke? Orang dah naik nak sarung cincin lah..." Rakan yang menunggu di luar bilik datang mengejutkan aku. Aku terkejut dengan keadaanku yang berpakaian cantik. Aku lupa yang hari itu adalah hari pertunangan. Setelah beberapa minggu bertunang, bekas tunangku sudah mula membenci aku. Dia tidak mahu meneruskan hubungan lagi. Kakaknya juga ada memberitahu yang adiknya tidak mahu menjamah makanan setelah dia cuba meletakkan air yang telah dibacakan ayat suci ke dalam makanan. Malahan pulang ke rumah juga tidak mahu.

Aku menganggap itu semua sebagai ujian. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Walaupun halangan datang menimpa, akhirnya jodohku tersurat untuk suami. Aku bersyukur kerana telah bahagia bersamanya. Walaupun ada terdetik di hati sesuatu yang tidak elok, aku cuba menepisnya. Namun naluriku tetap berkata, ada sesuatu yang tidak kena. Walau bagaimana sekalipun, aku tetap berdoa agar orang berkenaan bertaubat, lembutkanlah hatinya dan sentiasalah ingat, hidup kita hanyalah sementara di muka bumi kerana akhirat lebih kekal abadi.

Milik kita hanyalah kenangan, milik kita hanyalah impian dan milik segalanya hanyalah Allah S.W.T Penentu segalanya.

No comments:

Post a Comment