Tuesday, December 29, 2009

KISAHKU-15

Aku termenung seketika. Mengingati sesuatu yang aku rasakan sedikit kesal dengan apa yang telah aku katakan. Jauh di sudut hati ini, telah aku mengirimkan teks doa untuk dibaca oleh rakan yang telah pergi mengerjakan Umrah pada pertengahan tahun ini. Semuanya adalah untuk kesejahteraan keluargaku serta kedua ibu bapa. Walaupun Pakcik hanyalah ayah tiri, dia tetap seorang ayah bagi seorang anak tiri seperti aku. Dan sebenarnya aku mahukan kasih seorang ayah yang datang dari hati yang luhur seperti ayah sendiri. Aku mendoakan agar kami semua hidup bahagia dan diberi petunjuk dan hidayah untuk mendapat rahmat dariNya. Tiada mampu aku untuk mengubahnya melainkan hanya dengan doa diri ini yang benar2 mengharap kepada Penciptanya. Semuanya perlu keizinan Allah.

Kadang-kala jiwa seorang anak tetap terusik melihat si tua yang menanti anak kandung untuk datang sendiri menjenguk dirinya. Kasihan dengan keadaan Pakcik yang semakin tua tanpa kehadiran anak sendiri terutama di musim perayaan. Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha yang lalu, tiada seorang pun anak kandung yang menjengahnya di rumah Mak. Hanya dirinya sahaja yang pergi ke rumah anak2 yang masing2 mempunyai pangkat kedudukan yang tinggi. Sampai hati melihat ayah bersendirian tanpa anak kandung sedangkan Mak dikunjungi oleh anak2nya sendiri. Tidak terasakah dia dengan kehadiran kami yang boleh meraikan hari mulia itu bersama2 Mak sedangkan dia tidak? Jangankan Hari Raya tahun ini, hari2 biasa pun memang mereka seperti tidak sudi menjengahnya. Hanya dia yang sibukkan diri untuk anak. Seolah2 terbuang. Ataukah mungkin kerana Pakcik sudah berkahwin dengan Mak, anak2nya terasa jauh untuk bersamanya. Tidakkah mereka tahu tentang hukum? Ibu bapa tiri umpama ibu bapa sendiri. Hormatilah kedua2nya.

"Tok Abah tak jadi nak datang hari ni. Dia sibuk! Biasalah, dengan aktiviti masjidnya, kadang2 ada hal istana ke. Itu yang payahnya dengan dia, masa padat sangat. Tapi, tunda esok pulak. Tengoklah macamana..Pakcik yang ambil ke, Mak ke..Sebabnya, semalam masa jumpa Tok Abah, Pakcik elok je macam tak kisah Mak ajak Tok Abah tengokkan sendiri rumah Mak. Tapi tadi, dia macam berat pulak. Matanya pun pandang ke tepi je. Merah," kedengaran suara Mak melalui telefon seperti berada dalam kenderaan. 'Mesti ke kelas lah tu' bisik hatiku. "Takpelah Mak, sekurang2nya Mak dengan Pakcik dah jumpa Tok Abah untuk settlekan cepat. Kalau tak pun suruh Mat ambil je Tok Abah tu. Kalau Pakcik payah sangat. Bendanya tu dah mula lah. Dia tak sedar tu.."aku berseloroh. Aku terfikir mana mungkin 'suspek' utama pergi sendiri menyerah diri di Medan Lawan. Entahkan betul dia pergi, jangan2 mahu melarikan diri dengan keretanya setelah dirasuk oleh bendanya sendiri.

Permainan sudah bermula. Kami perlu tekadkan hati untuk membantu Pakcik terlepas dari angkara makhluk itu. Aku sudah mula faham, mana mungkin Pakcik boleh melawan sedangkan dia sendiri semakin tua dan tidak enak lagi digunakan oleh bendanya sendiri. Oleh kerana itu, ia memakan diri sendiri dan kadangkala tingkah lakunya dikawal oleh benda jahat itu. Bukan atas kehendaknya juga semua ini berlaku, walaupun pada mulanya dahulu ada perjanjian tertentu yang telah dimeterai di antara kedua2 pihak, janji tetap perlu ditunaikan sebagai balasan budi yang kononnya ditaburkan. Aku terfikir entahkan apa pula mainannya selepas ini. Aku juga harus bersedia. Andaikata apa2 yang berlaku, aku harus ada perisai sendiri. Hanya ayat2 Allah yang sentiasa terlekat di bibir untuk dialunkan. Itupun kalau termampu atau tidak panik.

Malam tadi juga aku sudah mula memujuk bapa mertua untuk manahannya dari pulang ke Ipoh hari ini. Mana tidaknya, tidaklah terasa gentar kalau ada orang tua di rumah. Lagipun suami cuti seminggu, bolehlah dia temankan ayahnya di rumah atau mengajaknya ke mana2 di sekitar sini. Namun, jika Mak selesaikan masalah Pakcik dan rumahnya sekalipun, masalah aku tetap tidak boleh selesai kerana masih ada sisa2 yang perlu dirungkaikan di rumahku sendiri. Mana tidaknya, bunyi2an yang biasa didengar di sekitar kawasan kejiranan adalah kepunyaan orang. Sepertimana kata Paksu, "bunyi2 tu orang lain yang punya." Kepunyaan siapa, aku tidak pasti. Apa yang aku harapkan, janganlah mengganggu kawasan rumahku. Aku juga maklum yang rumahku memang laluan benda2 halus. '3 benda lain yang pernah menumpang di badanku dulu, entahkan siapa yang punya,'detik hati. Terlalu banyak yang aku fikirkan sehingga penat dibuatnya. Akhirnya, aku biarkan saja ianya berlalu namun dalam masa yang sama aku perlahan2 menyusun tindakan dalam diam...

No comments:

Post a Comment