Tuesday, December 15, 2009

KISAHKU-12

Aku mengetuk pintu bilik orang penting syarikat kerana aku memerlukan tandatangannya. Siapa lagi kalau bukan Pengarah yang memang terkenal dengan budi bahasanya dan tinggi ilmunya dalam bidang perniagaan. Dia memang seorang yang baik dan pandai mengambil hati anak buahnya. Aku juga senang berkomunikasi dengannya dan sebagai orang yang patut dihormati, aku selalu berbual mesra dengannya kerana dia juga selalu berkunjung ke bilikku untuk berkongsi masalah kerja. Aku sendiri tidak pasti kenapa dia cukup senang denganku sedangkan aku bukanlah seorang yang sangat penting dalam perjalanan syarikat, tetapi itulah yang dia sering lakukan. Berkunjung ke bilik sambil menilik kerja yang kulakukan. Malahan ketuaku sendiri tidak menyelia sebegitu terhadapku. Maklumlah, aku cuma seorang kerani cabuk. Maka, aku sering menjadi bahan gossip di kalangan rakan2 sekerja kerana kunjungan 'big boss' yang kerap.

"Saya perlukan signature tuan untuk teruskan transaksi ini," aku menghulurkan dokumen sambil memandang ke arahnya. Aku membetulkan dudukku kerana tidak selesa. Maklumlah, jarang sekali aku masuk ke bilik orang2 besar sepertinya. Namun aku menanti dengan penuh debaran selagi kerjaku belum selesai. 'Besar juga bilik dia, siap ada sofa dan tempat berehat' detik hatiku.

"Nantilah dulu, kita borak dulu. Kerana Fida, saya sanggup buat apa sahaja asalkan Fida senang dengan saya. Fida tahu macamana saya pertahankan empayar syarikat ini dan anak2 syarikat untuk menjadi lebih baik. Semuanya idea saya," aku hanya mendengar kata2nya yang penuh dengan semangat menceritakan sejarah penubuhan syarikat. Namun tercalit di hatiku, ada banyak perkara yang aku tidak faham dengan ceritanya kerana ilmuku tidak sampai ke tahap itu. Matanya juga meliar mencari anak mataku kerana aku lebih suka menunduk untuk mengelak.

'Kenapalah dia menceritakan semua ini kepadaku? Bukankah aku tidak faham? Ilmu yang kuada tidak setanding dengannya,' gerutu hatiku. Sebenarnya masih banyak kerjaku sendiri yang perlu diselesaikan. Kerana itu, aku mahu pulang segera ke tempatku untuk memulakan semula kerja. Tetapi, apakan daya. Orang yang berada di depanku ini bukanlah calang2 orang untuk mengelak, tak fasal2 periuk nasiku juga tergugat. Mungkin dia sengaja mahu bersembang untuk mengisi masa lapangnya. Yakah begitu? Entahlah, aku sendiri tidak faham dengan kerja orang atasan.

Aku hanya tertunduk dan masih mengukir senyum untuk mengimbangi perasaan tidak selesa. Pekerja lain memang tidak akan perasan dengan apa yang berlaku kerana biliknya agak besar dan terselindung dari pandangan mata pekerjanya. "Tunggu kejap ye" tiba2 dia menyandar di kerusi empuknya. Tangannya mencapai sesuatu di bawah meja dan aku sendiri tidak tahu apa yang dia lakukan. Entah tiba2, dia bangun menunduk ke arahku sambil bercakap dan tangannya menyentuh daguku. Semuanya sekelip mata. Aku panik kerana tidak menyangka sikapnya yang semakin menjengkelkan sehingga berani menyentuh muka. Tiba2 hatiku mula berubah, sejuk dan luluh yang aku sendiri tidak tahu untuk mentafsirkannya.

"Ok?" aku tersentak seolah2 baru dikejutkan oleh alam khayalan. Aku sendiri tidak pasti apa yang 'ok'. Aku hanya mengangguk dan cuba membuka langkah dari bilik itu dengan segera. Kenapalah aku terlalu percayakan orang, sehingga dia boleh menyentuh daguku. Sebenarnya aku seperti terpukau ketika itu. Salah aku juga, lemah dan tidak berani menentang.

Tetapi perubahan semakin ketara. Aku sukar untuk melelapkan mata kerana asyik teringatkan dia. Aku cuba menepisnya tetapi lemah. Aku tidak mampu menolaknya. Bayangannya sahaja berada di mana2. Pernah satu hari, aku sedang bersama-sama rakan untuk meraikan hari lahirku di KFC salah sebuah shopping complex. Tiba2 dia menghubungiku untuk berjumpa. Ya, dia memang tahu tentang tarikh lahirku. Aku memang mudah berkongsi cerita dengannya kerana sebenarnya aku menganggapnya sebagai ayah sahaja. Maklumlah, umurnya lebih tua dari Mak dan dia juga sudah mempunyai anak teruna. Masakan aku boleh menyangka buruk dengan hubungan ini.

Sebuah kereta mewah melepasi kami. Driver kereta mewah itu menghilang bersama keretanya. Aku juga hairan kerana dia sanggup turun ke tempat seperti itu hanya semata2 untuk berjumpa aku. 'Mungkin ada apa2 yang ingin dibincangkan tentang kerja. Apa urusannya denganku? Tempat macam ni bukan standard orang2 macam ni,'bisik hati. Tapi dalam masa yang sama, aku juga tutut nantikan wajah itu dan debaran semakin kencang.

"Saya dah lama tak datang ke tempat yang macam ni. Rasanya dah berbelas tahun," dia memulakan perbualan. Aku sendiri tidak selesa dengan suasana itu kerana rasa bersalah dengan keadaan tempat yang mungkin dia tidak selesa. "Kenapa nak jumpa? Ada apa2 ke?" aku mahukan kepastian. Rakan di sebelah hanya memerhatikan kami berbual. "Hari ni kan Fida punya birthday, dah tentulah saya nak celebrate sekali," aku hanya tergelak mendengarnya. Aku cukup senang dengannya kerana dia kuanggap ayah adalah tempat aku boleh menumpang kasih. Kasih yang bagaimana? Kasih seorang ayah yang tidak akan putus walaupun aku berkahwin dengan orang lain kelak. Arwah Abah sudah lama meninggal dunia. Aku rindukan kasih itu. Lagipun dia mempunyai anak lelaki. Biarlah aku berbaik dulu. Bolehlah dia kenalkan padaku satu hati nanti, andaianku.

"Fida, akak rasa hubungan Fida ni bukanlah hubungan biasa. Takkanlah Fida tak boleh fikir. Memanglah Fida rasa biasa je sebab Fida staf biasa, takkan orang macam tu boleh terpaut. Tapi, lelaki ni ada bermacam2 citarasa. Tambah pula, orang yang dah beristeri dan berduit pula. Fida tak usahlah kawan dengan dia lagi,"rakan yang menemankan aku cuba menelah setelah memerhatikan sahaja perbualan kami tadi. Walaupun tidak banyak ayat yang keluar, tetapi mungkin dengan perbuatan ataupun pelbagai reaksi boleh dinilai oleh orang lain. Walaupun tidak bersentuhan.

Aku juga tidak sedar akan perubahanku. Aku juga bersalah kerana membiarkan hubungan ini. Memang pernah dia berhasrat untuk aku menyambung belajar supaya aku dapat berdiri sama dengannya dalam status kerjaya. Memang pernah dia berhasrat untuk memberikan aku bisnes butik untuk aku usahakan. Tetapi semuanya aku buat endah tak endah kerana aku fikirkan siapalah aku. Mungkin dia sedang berangan kerana tiada anak perempuan.

"Fida anggap saya macam ayah kan?" dia pernah bertanya. Aku mengangguk. Tidak faham dengan telahan orang tua itu. Aku sukar untuk menangkap apa yang difikirkannya. "Kalau ..ribu cukup tak? Gaji saya tak banyak!" dia merendah diri. Aku semakin tidak mengerti. Apa sangkut paut dengan gajinya? Adakah dia melamar aku untuk anaknya? Akal budak2ku masih tidak dapat membaca fikirannya. Bodohnya aku ketika itu. Akhirnya aku berterus terang mengatakan yang aku memang menganggapnya sebagai seorang ayah dan tidak lebih dari itu sepertimana yang pernah aku katakan. Aku tidak menyangka ianya menjadi serius sehingga ke tahap ini. Aku benci dengan keadaan itu kerana seolah2 aku telah mengkhianati perempuan lain.

"Sampai hati Fida nak pergi juga. Saya dah belikan rumah dah. Tak sangka nak pergi juga," dia seolah2 masih memujuk supaya aku tidak meletakkan jawatan di syarikat itu. 'Aku takde terhutang budi apa2 pun sebab tidak pernah menerima barang darinya,' gertak hatiku. Aku sendiri tidak faham dan tidak peduli dengan kata2 lelaki di depanku lagi. Walaupun hatiku ada terasa lembut lagi untuk tidak melupakan, aku tetapkan juga pendirianku untuk pergi.

Itulah yang aku masih ingat tentang kisah lampauku. Zaman bujang yang masih belum matang dengan ragam manusia. Kutahu, ada kesilapan yang kulakukan. Aku begitu lemah bersandarkan kasih seorang ayah yang telah salah faham terhadapku. Seingatku, aku cukup berhati2 dengan pemberian orang. Sebarang aset tidak pernah kuterima seperti rumah, kereta malahan barang2 yang lain. Aku akan ingat, berhati2lah dengan perasaan orang lain. Tiada istilah kawan baik antara lelaki dengan perempuan dalam Islam, malah hubungan angkat-berangkat juga tidak digalakkan. Semuanya terbatas.

Sehingga sekarang, aku begitu takut dengan pengalaman itu. Aku juga kesal dengan apa yang terjadi..

No comments:

Post a Comment