Thursday, September 8, 2011

Hari ini cukup indah buatku. Syukur alhamdulillah kerana dianugerahkan rasa bahagia ini setelah aku rasakan kekosongan jiwa tanpa nur, akhirnya aku mengerti apabila datangnya bulan yang penuh barakah yakni bulan Ramadhan yang lalu.

Pengisian jiwa pada bulan Ramadhan itu, membuakkan rasa penuh kecintaanku terhadap Maha Pencipta yang Esa. Satu-persatu ilham muncul tanpa diduga apabila aku di dalam kesempitan yang aku tidak tahu dengan cara apa yang perlu dibuat. Aku mohon ketepatan pilihan untukku memudahkan perjalanan hidup ini. Di samping amalan tadarrus di pejabat, menambahkan lagi rasa insaf kerana terdapat kelemahan di dalam bacaan al-Quran terutama dari segi sebutan ayat yang tersangkut kerana tidak faham akan maknanya dan jarang2 sekali membacanya. Dalam masa setahun, asyik2 membaca juzuk pertama kerana niat untuk berkhatam sentiasa ada tetapi tidak pernah terlangsai melainkan semasa mengandungkan Aus. Itulah seingat aku, usaha yang paling nekad untuk selesai berkhatam.

Kesempitan yang kumaksudkan adalah kekangan wang untuk memberi pendidikan yang sempurna untuk anak yang semakin membesar. Bukanlah terlalu mendesak sehingga tiada langsung sumber rezeki, tetapi aku sendiri leka dengan nikmat dunia yang terlalu banyak di depan mata. Perubahan teknologi yang terlalu mencabar masa. Belum pun sempat sesuatu alat ataupun barang dipakai, sudah terpamer keluaran baru yang lebih canggih tetapi terlalu mudah pula nilai sesuatu barang itu susut. Makanan pula boleh didapati bila-bila masa, boleh dipesan dari rumah dan sampailah makanan itu tanpa kita ke kedainya. Malah ramai manusia yang mati akibat makanan berlebihan, tidak seperti orang2 terdahulu, mati kerana kebuluran seperti yang masih ada di sesetengah negara Islam lain. Sayangnya sebutir nasi tidak dimakan, boleh kita buangkan saja setelah selesai makan yang masih bersisa lebihan itu. Sedangkan di tempat lain, ada orang yang terpaksa berbuka puasa dengan seteguk air dan terpaksa menyambung puasa sehingga hari esoknya dan seterusnya. Ada pula yang berebut makanan kerana bencana dan sebagainya. Belum lagi tempat tinggal, pakaian, dan lain2 keperluan mereka. Adakah di waktu itu pula baru rasa kesal bagaimana mahu menyempurnakan solat dan bermohon kesenangan. Ya Allah, jauhkanlah kami dari kesusahan itu kerana bimbang akan tahap iman dan kepayahan melakukan ibadah.

Aku bersyukur kerana aku masih boleh berpakaian bersih dan cantik untuk menghadap Allah. Itulah bekalanku ketika solat selain rukun-rukunnya, aku perlu pastikan pakaianku bersih supaya diperkenan doaku. Aku malu berhadapan dengan-Nya kerana dhaif diri ini terlalu sedikit amalanku di dunia tetapi bermacam2 harapan doa yang kupinta. Siapalah aku di sisi-Nya kerana terkadang2 solat pun lewat. Entah ke berapa juta giliranku untuk diperkenan doa saban hari berbanding dengan orang lain yang berjemaah di masjid mahupun di rumah atau bersendiri dengan tepat waktunya.

Terdengar aku dalam ceramah Ramadhan, Allah sukakan hambaNya yang bersujud lama kepada-Nya. Jika kita inginkan sesuatu, sujudlah dengan memperbanyakkan amalan solat sunat seperti terawih, tahajjud dan sebagainya serta witir di hujung waktu malam yakni hampir habis sahur yang terbaik kerana mungkin kita masih mahu menambah solat sunat yang lain di antara waktunya. Selain itu, banyakkanlah bersedekah kerana ianya dapat membersihkan diri kita serta membacalah al-Quran kerana ia adalah peguam bela kita kelak setelah kita mati.

Aku masih ingat lagi, aku bangun pada waktu malam pada Ramadhan yang lalu untuk menunaikan solat sunat dengan tekad dan harapan. Dengan rujukan Buku Panduan Solat Sunat, kerana inilah kali pertama aku bangun malam untuk bersolat setelah sekian lama aku tinggalkan ia sejak zaman persekolahan, banyak perkara ilmu agama yang kupelajari dulu telah hilang kerana tidak diamalkan. Tinggallah sisa-sisanya sahaja dan tidak begitu yakin bagaimana untuk melakukannya. Sedangkan cukuplah mudah. Itulah imanku pada waktu itu, walaupun mudah tetapi dek kerana sudah lama ditinggalkan, rasa payah. Mengapalah aku tidak lakukannya sebelum ini sewaktu aku tidak boleh tidur malam kerana pelbagai gangguan. Kenapalah aku tidak terfikir dengan cara bersolat malam, aku boleh memohon kepadaNya supaya menjaga keselamatan diriku sekeluarga dan jauhi kami dari bisikan syaitan dan kedatangannya. Betapa ruginya aku kerana tidak kenal akan hikmah solat.

Sujudku padaNya dengan bacaan tasbih, harapan dan segalanya kuluahkan padaNya kerana kesusahan yang kualami tidak dapat dirasai oleh orang lain tetapi hanyalah Allah saja yang Maha Mengetahui segalanya. Wahai Allah, dengan KebijaksaanMu yang Agung, berikanlah kami sekeluarga ketenangan hidup dan berilah ketepatan pilihan untukku memilih jalan yang paling mudah untukku menyekolahkan anak kerana di tempat tinggalku, masih belum wujudnya sebarang sekolah rendah mahupun menengah. Pastinya, kos yang tinggi perlu disediakan oleh kami untuk memberi pendidikan yang terbaik untuk anak kami ya Allah. Hindarkanlah kami semua dari segala kejahatan makhluk di muka bumi ini. Jauhilah kami dari hasad dengki manusia dan fitnah. Hajatku untuk menghantar anak mengikuti program English Intensive Class pada hujung minggu tidak dipersetujui oleh suami dan ibuku sendiri. Aku buntu untuk memilih tempat yang terbaik untuk anakku. Permudahkanlah urusan anakku untuk mengikuti kelas renang. Aku amat bermohon padaMu untuk permudahkan jalan itu dan keluarkan aku dari kebuntuan ini.

Bermacam-macam lagi yang kupinta daripada Allah tetapi siapalah sangat aku ini yang kerdil di kalangan manusia. Biarlah aku meminta padaNya, kerana Dialah tempatku bergantung harap. Setelah pelbagai ujian kutempuh, cukuplah sudah itu semua. Pernah satu ketika dulu, setiap kali penghantaran barang baru ke rumah kami, ada saja halangannya. Ada yang tidak nampak jalan, ada pula yang lori rosak dan sebagainya. Terlalu banyak ujian untuk kami menempah kesenangan. Sehingga wujud rasa buruk sangka terhadap orang lain yang mungkinkah semuanya berlaku di atas kawalan mereka yang berhasad dengki. Aku tetap nantikan keterbukaan hati mereka untuk bertaubat.. Aku hadapi dengan tabah dan lebih memuncak keyakinanku terhadap Allah kerana Dialah Penentu segalanya. Dengan kehendakNya, apa sahaja yang dikehendakiNya akan terjadi. Memang Dialah tempatku mengadu, tiadalah yang lain. Allah lah Penjaga keselamatan kami sekeluarga... Istighfar dan rasa kesal dengan buruk sangka tadi. Ya Latif Ya Hafiz.

Setelah beberapa hari, ilhamku untuk bertanyakan kelas extra untuk anak tiba-tiba terbit. Mana tidaknya, menghantar anak ke kelas intensif ke sekolah tadika yang lain agak mahal. Kemungkinan anak juga agak sukar berinteraksi dengan guru baru yang tidak dikenali dan cara pembelajarannya agak berbeza dengan tempat dia bersekolah sekarang. Akhirnya keputusan muktamad dengan jalan yang jauh lebih mudah hadir tiba-tiba apabila pihak tadika bersetuju mengadakan kelas intensif untuk Aus.

Mungkin inilah titik permulaan untuk mengatasi masalah menyekolahkan anak di sekolah rendah kelak. Sebenarnya aku terfikir untuk menyekolahkan Aus di salah sebuah sekolah yang agak sukar untuk memasukinya kerana Aus perlu menduduki peperiksaan dan temuduga terlebih dahulu. Hanya anak yang terpilih sahaja boleh memasukinya. Jika itulah jalan yang terbaik, semoga dipermudahkan jalan untuk mencapainya. Tidaklah aku memikirkan soal transit kerana semua sekolah yang ada adalah di luar kawasan daerah. Amatlah jauh serta memerlukan kos yang tinggi. Tambahan pula, aku berniat untuk menghantar Aus ke sekolah aliran agama supaya bukan setakat ilmu bahkan seimbang dari segi rohani dan jasmaninya. Oleh kerana itu, aku sanggup menghantar Aus untuk belajar renang agar kebolehan ini dapat menjadi bekalan Aus kelak. Kos untuk mengikuti kelas ini, tidaklah semahal yang aku jangkakan sebelum ini. Alhamdulillah....aku harap, anak yang dikatakan sebagai amanah ini diutamakan terlebih dahulu seiring pencarian harta lain untuk meneruskan hidup menuju ke akhirat. Jika tidak silap, berenang, memanah dan berkuda dikatakan sebagai sunnah Rasulullah S.A.W. Jika benarlah, kitalah yang tidak peka dengan sunnahnya kerana tidak tahu dan pasti ada hikmah di sebalik perkara sunnah ini.

Sebenarnya banyak perkara yang kita tidak sedar tentang sunnah baginda. Aku terdengar melalui ceramah Ramadhan, memasukkan makanan ke dalam mulut dengan menggunakan tangan kanan juga adalah amalan baginda. Tetapi ramai antara kita yang menggunakan tangan kiri untuk menyuap makanan Barat dengan memegang garfu di tangan kiri dan pisau di tangan kanan termasuklah diriku sendiri. Sepatutnya habis memotong dengan pisau, tangan kanan juga yang perlu menyuap makanan. Aku berharap, dengan pencarian ilmu untuk berbalik kepada fitrah, dapatlah kiranya aku kemudahan dalam menempuh hidup dengan tenang dalam iman. Mustahil hidup tanpa masalah. Hanya Allah sentiasa bersama orang yang beriman.

Sunday, January 16, 2011

2011

Detik waktu semakin pantas berlari. Aku pula leka dengan pelbagai urusan sehingga lupa akan sesuatu yang amat bernilai di dunia ini. Walaupun tidak semuanya, tapi aku akan terus berusaha gigih untuk mencapai hajat yang sepatutnya dilakukan oleh setiap ibu bapa. Tanggungjawab...terhadap anak. Dari segi apa? Otak sehabis daya berfikir untuk mencari maksud sebenar impian masa depan. Bukankah anak itu harta? Ya, aku harus menggalas tanggungjawab seiring impian itu supaya aku didoakan oleh anak yang soleh.

Lama sungguh aku tidak meluangkan waktu untuk menulis 'blog'. Terasa janggal malah kekangan idea dan tidak seperti dulu. Aku biarkan saja masa berlalu dengan pengalaman hidup yang sungguh menguji ketabahan. Mungkin itu tandanya aku sudah semakin matang. Aku tidak lagi terus melulu dengan terlalu banyak berfikir dan meluahkannya di 'blog'. Tetapi aku mula berfikir dengan cara yang lebih positif dari sudut yang berbeza walaupun sudah banyak perkara yang telah kulalui sepanjang tempoh 'senyap' itu. Setiap manusia boleh berubah. Kita pun tidak tahu lagi bagaimana penghujung hidup kita terutama apabila bertemu ajal. Ya..itulah maksudku...amalan. Bagaimana aku mahu mulakan? Dari mana?

Seingat aku, Ramadhan yang lepas betul2 banyak mengajarku tentang kehidupan. Mana tidaknya, boleh dikatakan aku akan pergi mendengar Ceramah Agama di jabatan tempat kerjaku pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Banyak sungguh ilmu yang telah kuperoleh dan kadang-kala terasa begitu kerdil diri ini dengan luasnya ilmu Allah yang Maha Kaya. Aku teringat kata2 seorang penceramah,"Ada baiknya kita memberi sedikit sumbangan kepada orang lain jika mahukan sesuatu daripada Allah. Rezeki yang kita dapat juga daripada Allah dan Allah sukakan orang yang pemurah." Ya! Benar kata2 itu sehingga aku teringatkan sesuatu iaitu fidyah. Sudahkah aku menyelesaikan semuanya? Ataupun zakat? Ataupun hutang? Ataupun apa2 juga bentuk pertolongan yang sepatutnya aku tolong tapi masih tertunggak.

Kucari pelbagai laman web terutama rumah2 anak yatim. Ya Allah...kasihan melihat mereka yang tiada kasih sayang ibu atau ayah. Keinsafan semakin menjalar dalam diri. Mungkin segala ujian sebelum ini adalah pertemuan kepada segala kekosongan yang terdapat dalam diri. Setelah penat mata menjamah internet, setelah letih otak berfikir mencari kekosongan itu, aku lepaskan diri dari keadaan tidak bermaya menuju kereta. Pemanduan dimulakan dengan membuka peti radio kereta. Sesekali menguap tanda mengantuk. Kereta bergerak perlahan sambil dihiburkan bualan 2 orang DJ radio IKIM. Ah...memang penat.

"Assalamualaikum....saya ..... dari Putrajaya." Terasa tidak begitu jelas kedengaran suara pemanggil radio tersebut kerana kurang tumpuan. 'Kenapalah tiada didendangkan lagu yang boleh menghilangkan mengantuk,' kata hati. Tapi kubiarkan saja siaran tersebut kerana mungkin ada topik hangat yang mahu dibincangkan. "Saya ada terbaca 1 blog ni. Sebenarnya saya baca semua kisah dalam tu". Cerah mataku tiba2 setelah dia menceritakan sedikit tentang blog tersebut. 'Alamak! Macam terkena je kat aku. Biar betul komen kat radio. Takpe2. Biar aku dengar lagi,' bisik hati. Sebenarnya aku sendiri tidak kisah dengan komen yang membina asalkan tidak melampaui batas.

"Ada lah dia sebut tentang emulsioner makanan yang tak halal. Memang la.... tapi memakan sushi tu sendiri sebenarnya syubhah. Kita tak tahu dari mana puncanya. Macamana nak dimakbulkan doa oleh Allah. Itu saja lah komen saya. Sekian". Aku tergamam seketika. "What!!! Siapa nama pemanggil tadi? Sushi tu was2. Dah lama aku makan pun." Persoalan itu berlegar2 di fikiran. Aku seolah2 tidak percaya dan tidak mungkin apa yang dimaksudkan pemanggil tadi berkenaan 'blog'ku. Entahlah..

Selang beberapa bulan selepas itu, tibalah aku di salah sebuah bandar di Malaysia. Aku bersama2 suami memang suka 'jalan2 cari makan' tambahan pula Aus tidak mahu ikut serta kerana sibuk bermain dengan sepupunya yang sebaya di rumah ibu mertua. Inilah masa yang kami gunakan untuk melepaskan rasa gian terhadap makanan Jepun yang sudah lama kami tinggalkan. Apa lagi kalau bukan sushi. Dengan kemudahan Papago, kami cuba mencari tempat makan sushi di kawasan berdekatan untuk mengisi perut yang lapar. Maklumlah sesekali balik ke kampung, pastinya banyak perubahan yang ada.

"Yes! Inilah dia....sushi kita. Dah lama tak pekena." Aku tersenyum tanda puas setelah kami tiba di tempat yang dituju, Sushi King. Dari satu hidangan ke hidangan yang lain, mata sentiasa meliar mencari sushi yang sentiasa berpusing menunggu giliran untuk dijamah dan tidak perlu dipesan. Sedang enak mengunyah sushi yang sedia berpusing tadi malah tiada sebarang reaksi oleh pelayan Cina apabila kami memesan 'bento' yang dihajati sebelumnya, tiba2 kami dikejutkan oleh seorang pelayan perempuan Melayu ketika dia sedang menuang air tambah 'ocha' kami. "Akak dah makan tu?!!! Takpelah dah makan...." ujar pelayan tersebut. Kami tersentak dengan teguran itu. Apalah yang tidak kena dengan makanan kami. "Apa bendanya? Kenapa?" tanya suami. "Sebenarnya yang itu ada alkohol, kita tak boleh makan." Lalu dia mengeluarkan sekeping kad berukuran lebih kurang 16 x 22cm dari celah2 tempat yang tersimpan menu di atas meja dan ianya memang agak tersorok bersama2 kertas yang lain. Menyirap darah mendengarnya lantas aku meludah kesemua isi makanan di mulut. Terus aku membaca isi kandungan kad itu.

'Dear Valued Customers, we serve pork-free and non-alcohol added products, except the following:
1. Unagi Kabayaki (alcohol content <0.05%)
2. Unagi Slice (alcohol content <0.05%)
3. Ikura (alcohol content <0.15%)
4. Saba Misoni (alcohol content <0.15%)
Canned Beers are sold at selected restaurants.
From: Management of Sushi King Sdn Bhd.

Dengan rasa terkilan setelah pelayan tadi memberitahu sushi yang kujamah tadi adalah yang ketiga tersenarai, aku rasa kesal dan tidak berpuas hati kerana makluman yang dibuat tidak dipamerkan malah sushi itu juga bercampur bersama2 sushi yang lain yang turut berputar menanti dijamah. Bermakna sesiapa saja boleh mengambilnya tanpa ada beza. Entah apa lagi yang kami makan sebelumnya, kami juga tidak pasti. Jika aku tahu begitulah keadaannya dari awal, jangankan makan malah masuk juga tidak mahu kerana sudah tentu kesemua yang ada di situ termasuk pekerjanya tidak kira muslim atau tidak, sama akan terlibat. Yang hairannya, kenapalah ada di kalangan orang Islam sendiri yang bekerja di situ. Tidakkah mereka boleh terlibat terutama jika pelanggan mahukan 'canned beers' untuk dihidangkan? Bukankah segala yang terlibat dengan arak adalah sama turut dilarang walaupun kita tidak meminumnya. Dek kerana mereka yang muslim ada bekerja di situlah, maka kami juga turut masuk ke restoran itu untuk menjamu selera. Mungkin mereka tidak tahu. Kalau tidak kerana teguran ikhlas pelayan tadi, sudah tentu aku juga tidak tahu adanya sushi khas yang meragukan. Entahlah....

"Sudahlah...". Suami cuba menenteramkan jiwaku kerana melihat suasana muram masih bersisa. "Next time kita tak masuk lagi ke situ". Kami pulang ke rumah ibu mertua dengan penuh pengajaran. Apabila menatap wajah Aus, aku merasa keajaiban Allah kerana itulah kali pertama Aus menolak pelawaan kami untuk keluar jalan2 bersama. Sebelum ini, memang Aus selalu dibawa pergi ke mana2 restoran sushi dan dia tidak mahu menjamahnya. Waktu itu Aus masih kecil, tapi sekarang dia sudah berusia 3 tahun, mungkin banyak makanan yang dia ingin cuba merasanya. Alhamdulillah dia terlepas dari ujian tadi....aku harap biarlah zuriat keturunanku terpelihara daripada segala yang terlarang. Tiba2 ingatanku berputar2 mencari bait2 ayat pemanggil radio IKIM yang lalu. Terasa sungguh menyentap jiwa dengan amalanku selama ini. Peringatan oleh Allah melalui hambaNya. Adakah ini permulaannya....??

Thursday, February 25, 2010

AKU INSAN BIASA

Aku rasa berdosa sekiranya aku telah melampaui batas rasa kasih seorang insan bernama 'ayah'. Aku lagi berdosa jika apa yang aku sangkakan sebelum ini hanyalah mainan pihak ketiga yang lebih suka memecahbelahkan umat manusia. Aku lebih berdosa jika aku telah membenci orang yang sepatutnya dikasihi anak2nya.

Kerana itu aku lebih rela bergantung harap kepada Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana setelah puas berusaha. Kerana aku takut jika aku tersilap telahan. Kerana aku bimbang diselubungi rasa kesal yang teramat jika segala telahanku tidak benar belaka...

Aku hanya berserah kepada Allah yang Maha Kuasa. Biarlah masa yang menentukannya....

Sunday, February 7, 2010

SIMPTOM ORANG TERKENA GANGGUAN DI DALAM RUMAH

SIMPTOM TERKENA GANGGUAN oleh Ustazah Fatimah Zaharah

1. Tidak mahu mandi

2. Makan banyak

3. Suka bergelap

4. Mata tidak tetap

5. Selalu mengelak bersetubuh jika sudah berkahwin

6. Bersendiri

7. Bercakap atau tergelak berseorangan

8. Selalu membenci pasangan atau seolah2 ada sesuatu yang tidak kena antara pasangan

9. Tidak menghiraukan pasangan atau anak2

Banyak lagi yang boleh dipaparkan namun segalanya adalah tabiat2 yang negatif. Jika perubahan negatif ini berlaku di dalam rumah kita, pastikan kita sentiasa dekat padaNya dan mengamalkan bacaan2 ayat suci sepertimana yang telah dipaparkan sebelum ini. Segalanya atas izin Allah.

Dengan adanya gangguann jin di dalam rumah kita, ia boleh mengakibatkan pelbagai kerumitan hidup apatah lagi jika sudah lama dan sebati dengan badan. Walau apapun halangan yang datang, ujian perlu ditempuh dengan sabar agar kita tidak goyah dengan iman. Sesungguhnya tugas syaitan adalah memecahbelahkan umat manusia dengan pelbagai cara. Salah satunya adalah perceraian. Maka, kuatkanlah hati dan teguhkanlah iman.

UBAT UNTUK ORANG YANG SAKIT ATAU TERKENA GANGGUAN

UBAT YANG TERBAIK oleh Ustazah Fatimah Zaharah

Terdapat ubat yang terbaik dari segi fizikal dan spiritual. Fizikalnya adalah madu dan spiritualnya adalah Al-Quran.

Ada juga cara lain untuk orang yang terkena gangguan, iaitu dengan DAUN BIDARA (daun untuk memandikan mayat). Cara2nya ialah:

1. Ambil 7 helai daun bidara. Jangan kurang atau lebih dari 7 untuk amalan ini kerana semuanya bermula dengan 7. Contohnya ada 7 hari dalam seminggu, 7 lapis petala langit dan sebagainya.

2. Tumbuk daun tadi sambil membaca 3 Qul yakni surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Annas serta Ayat Kursi.

3. Kemudian masukkan air ke dalam tumbukan daun tadi dan masukkannya ke dalam baldi.

4. Ambil 3 sudu air tersebut dan minum.

5. Kemudian, azan sambil mandi dengan air tersebut.

Dikatakan syaitan atau jin tidak sukakan DAUN BIDARA. Jika kita melakukan amalan tersebut berturut2 selama beberapa tempoh yang panjang, akhirnya jin tidak tahan dan kalah untuk menumpang kita lagi dan penyakit kita juga boleh hilang lama-kelamaan.

Selain itu, Surah Al-Baqarah juga adalah elok untuk orang yang mempunyai penyakit kulit. Dengan itu, ikhtiarlah walaupun ianya Surah yang panjang, ianya amat berfaedah.

AMALAN UNTUK ORANG YANG ADA GANGGUAN

1. Jangan tinggal bacaan 3 Qul (Wajib) iaitu Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Annas sebelum tidur dan setelah bangun dari tidur.

2. Ayat kursi (Wajib).

3. Surah Jin ayat 1 hingga 15.

4. Surah Assoffat ayat 1 hingga 10.

5. Surah Al-Baqarah. Untuk lebih memudahkan bacaan surah selama 3 jam ini, bolehlah kita membeli CD bacaan Surah Al-Baqarah untuk dipasang di rumah kita.

Mengikut pengalamanku sendiri, badan akan terasa bergetar tanpa boleh dikawal apabila bacaan surah Al-Baqarah diperdengarkan. Malahan, untuk membaca segala amalan di atas juga amat payah kerana kita akan terasa mengantuk dan mata terpejam sendiri seperti hanyut di alam lena.

Dengan cara lain, aku telah berikhtiar membeli Air Za'faran yang telah dibacakan ayat2 suci Al-Quran dan Jus Kurma atau Madu sebagai tenaga dan permulaan untuk lebih memudahkan aku mengamalkannya sendiri. Memang payah untuk mengesan apa yang tidak kena pada diri sendiri tambahan pula sudah bertahun2 lamanya. Namun dengan berkat doa dan usaha, akhirnya aku semakin pulih secara perlahan2 dengan izin Allah.

DOA APABILA MASUK KE TEMPAT BARU ATAU SEPANJANG MASA DI MANA2

'A'uzu bikalimatillahittammati min syarri ma kholaq'.

Maksudnya : Aku berlindung dengan kalimah Allah yang tamat dari seluruh kejahatan makhluk.

Nabi jamin sesiapa yang membaca doa ini tidak akan terkena gangguan. Walau bagaimanapun, segalanya adalah dengan izin Allah.