Tuesday, December 29, 2009

KISAHKU-15

Aku termenung seketika. Mengingati sesuatu yang aku rasakan sedikit kesal dengan apa yang telah aku katakan. Jauh di sudut hati ini, telah aku mengirimkan teks doa untuk dibaca oleh rakan yang telah pergi mengerjakan Umrah pada pertengahan tahun ini. Semuanya adalah untuk kesejahteraan keluargaku serta kedua ibu bapa. Walaupun Pakcik hanyalah ayah tiri, dia tetap seorang ayah bagi seorang anak tiri seperti aku. Dan sebenarnya aku mahukan kasih seorang ayah yang datang dari hati yang luhur seperti ayah sendiri. Aku mendoakan agar kami semua hidup bahagia dan diberi petunjuk dan hidayah untuk mendapat rahmat dariNya. Tiada mampu aku untuk mengubahnya melainkan hanya dengan doa diri ini yang benar2 mengharap kepada Penciptanya. Semuanya perlu keizinan Allah.

Kadang-kala jiwa seorang anak tetap terusik melihat si tua yang menanti anak kandung untuk datang sendiri menjenguk dirinya. Kasihan dengan keadaan Pakcik yang semakin tua tanpa kehadiran anak sendiri terutama di musim perayaan. Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha yang lalu, tiada seorang pun anak kandung yang menjengahnya di rumah Mak. Hanya dirinya sahaja yang pergi ke rumah anak2 yang masing2 mempunyai pangkat kedudukan yang tinggi. Sampai hati melihat ayah bersendirian tanpa anak kandung sedangkan Mak dikunjungi oleh anak2nya sendiri. Tidak terasakah dia dengan kehadiran kami yang boleh meraikan hari mulia itu bersama2 Mak sedangkan dia tidak? Jangankan Hari Raya tahun ini, hari2 biasa pun memang mereka seperti tidak sudi menjengahnya. Hanya dia yang sibukkan diri untuk anak. Seolah2 terbuang. Ataukah mungkin kerana Pakcik sudah berkahwin dengan Mak, anak2nya terasa jauh untuk bersamanya. Tidakkah mereka tahu tentang hukum? Ibu bapa tiri umpama ibu bapa sendiri. Hormatilah kedua2nya.

"Tok Abah tak jadi nak datang hari ni. Dia sibuk! Biasalah, dengan aktiviti masjidnya, kadang2 ada hal istana ke. Itu yang payahnya dengan dia, masa padat sangat. Tapi, tunda esok pulak. Tengoklah macamana..Pakcik yang ambil ke, Mak ke..Sebabnya, semalam masa jumpa Tok Abah, Pakcik elok je macam tak kisah Mak ajak Tok Abah tengokkan sendiri rumah Mak. Tapi tadi, dia macam berat pulak. Matanya pun pandang ke tepi je. Merah," kedengaran suara Mak melalui telefon seperti berada dalam kenderaan. 'Mesti ke kelas lah tu' bisik hatiku. "Takpelah Mak, sekurang2nya Mak dengan Pakcik dah jumpa Tok Abah untuk settlekan cepat. Kalau tak pun suruh Mat ambil je Tok Abah tu. Kalau Pakcik payah sangat. Bendanya tu dah mula lah. Dia tak sedar tu.."aku berseloroh. Aku terfikir mana mungkin 'suspek' utama pergi sendiri menyerah diri di Medan Lawan. Entahkan betul dia pergi, jangan2 mahu melarikan diri dengan keretanya setelah dirasuk oleh bendanya sendiri.

Permainan sudah bermula. Kami perlu tekadkan hati untuk membantu Pakcik terlepas dari angkara makhluk itu. Aku sudah mula faham, mana mungkin Pakcik boleh melawan sedangkan dia sendiri semakin tua dan tidak enak lagi digunakan oleh bendanya sendiri. Oleh kerana itu, ia memakan diri sendiri dan kadangkala tingkah lakunya dikawal oleh benda jahat itu. Bukan atas kehendaknya juga semua ini berlaku, walaupun pada mulanya dahulu ada perjanjian tertentu yang telah dimeterai di antara kedua2 pihak, janji tetap perlu ditunaikan sebagai balasan budi yang kononnya ditaburkan. Aku terfikir entahkan apa pula mainannya selepas ini. Aku juga harus bersedia. Andaikata apa2 yang berlaku, aku harus ada perisai sendiri. Hanya ayat2 Allah yang sentiasa terlekat di bibir untuk dialunkan. Itupun kalau termampu atau tidak panik.

Malam tadi juga aku sudah mula memujuk bapa mertua untuk manahannya dari pulang ke Ipoh hari ini. Mana tidaknya, tidaklah terasa gentar kalau ada orang tua di rumah. Lagipun suami cuti seminggu, bolehlah dia temankan ayahnya di rumah atau mengajaknya ke mana2 di sekitar sini. Namun, jika Mak selesaikan masalah Pakcik dan rumahnya sekalipun, masalah aku tetap tidak boleh selesai kerana masih ada sisa2 yang perlu dirungkaikan di rumahku sendiri. Mana tidaknya, bunyi2an yang biasa didengar di sekitar kawasan kejiranan adalah kepunyaan orang. Sepertimana kata Paksu, "bunyi2 tu orang lain yang punya." Kepunyaan siapa, aku tidak pasti. Apa yang aku harapkan, janganlah mengganggu kawasan rumahku. Aku juga maklum yang rumahku memang laluan benda2 halus. '3 benda lain yang pernah menumpang di badanku dulu, entahkan siapa yang punya,'detik hati. Terlalu banyak yang aku fikirkan sehingga penat dibuatnya. Akhirnya, aku biarkan saja ianya berlalu namun dalam masa yang sama aku perlahan2 menyusun tindakan dalam diam...

Monday, December 28, 2009

KISAHKU-14

Aku terasa tidak selesa. Ibu jari kaki kananku masih terasa sengal sehingga ke hari ini. Mana tidaknya, aku merasakan seolah2 ada sesuatu sedang menggigit ibu jariku dan kebas seperti sedang dihisap malam tadi. Aku tidak tahan dengan keadaan itu lalu membaca ayat2 pendinding tetapi ianya masih sakit. Amalanku tidak cukup untuk melawan. Aku masih ingat lagi Paksu ada mencalit minyak wangi pada badannya sendiri sebelum berurusan menarik keluar makhluk halus itu pada badanku. Aku terus mencapai minyak wangi tanpa alkohol dan memyapunya ke seluruh jari2 kaki dan tangan. Lega..memang boleh baik sedikit. Mungkin benda2 yang tidak elok memang bencikan bau wangi seperti itu.

Pagi2 lagi aku sudah menelefon Mak untuk bertanyakan hal yang sama. Pernah sebelum ini, Mak tidak sempat mengangkat panggilan telefonku. Pakcik yang mengangkatnya lalu berkata, "Takde kerja lain ke?". Dengan suaranya yang keras seolah2 sudah tahu akan tujuanku untuk memberitahu Mak hal sebenar. Berkenaan tentang diri Pakcik sendiri. Pakcik terus mematikan talian 'handphone'. Aku pula termangu sendiri kerana tidak menyangka Pakcik yang akan menjawabnya. Aku pasti, sudah tentu Pakcik sudah tahu yang belaan kepunyaannya telah mula berpaling kepadanya pula. Aku juga memang tahu kerana Pakcik sebenarnya pernah mengaku yang dia pernah menuntut ilmu pada tahun 70-an dan pada zaman itu, ramai orang yang cuba menuntutnya di Pulau Besar. Aku juga tahu yang dia pernah cuba membuang belaannya tetapi pulang semula kepada tuannya mengikut cerita Mak. Kini aku tahu yang belaannya sudah mula membelenggu aku pula dan mungkin juga Pakcik tidak sedar akan apa yang dia lakukan atau katakan kerana belannya sudah mula menguasai dirinya.

Pernah suatu hari, Mak pergi ke tingkat atas rumah besar itu untuk mengambil sesuatu. Tetapi Mak telah terlihat Pakcik berada di tingkat atas itu juga sedangkan baru sebentarnya tadi Mak baru berjumpa Pakcik di tingkat bawah. Setahu aku, itu adalah hantu raya yang menyerupai tuannya. Pernah juga aku terlihat yang Mak mengalami sakit yang pelik sehingga lebam hijau kebiruan di bahagian badannya dan mudah pengsan. Oleh kerana itu, Mak juga pernah merujuk seorang ustaz dan Tok Abah (Bekas Imam Besar di Shah Alam)untuk bertanyakan hal sebenar. Memang menurut kedua2 orang alim ini, sakit Mak adalah kerana ilmu Pakcik dan Mak mudah lemah semangat untuk melawan. Mak pernah bertanyakan apakah sebenarnya yang berada di rumah itu, kedua2nya enggan memberitahu kerana bimbang Mak akan menjadi lebih takut. Benda2nya juga amat besar, banyak dan kuat. Bukan sebarang orang yang boleh tumpaskan.

Akhirnya, aku sendiri juga tahu dari Paksu. Paksu juga mengakui apa yang ada pada Pakcik memang sangat berat. Baru minggu lepas aku dan suami telah berkunjung sendiri ke rumah Tok Abah untuk bertanyakan banyak perkara. Aku telah mengetahui banyak perkara yang aku tidak pernah dengar sebelum ini. Tok Abah bercerita tentang orang zaman dahulu yang suka pergi ke laut dengan memuja dengan meminta izin dengan penunggu laut untuk mendapat hasil tangkapan yang lebih. Itu merupakan hantu raya jenis laut dan sepatutnya kita mengambil iktibar dari kisah Nabi Khizhir(aku sendiri tidak pasti ejaannya) yang ada kaitan dengan laut. Hantu raya ada bermacam2 jenis, di antaranya dipanggil Gondoruwo. Dia merupakan ketua segala makhluk halus seperti Ketua Kampung dalam sesebuah tempat. Dia juga mempunyai ramai kawan seperti Pocong dan lain2. Penggunaan kunyit untuk orang selepas bersalin juga adalah untuk mengelak gangguan jenisnya tertentu. Setiap makhluk itu ada pantangnya masing2 seperti tebu hitam, kunyit hitam dan lain2 yang boleh menyebabkan makhluk itu lemah.

Kemudian dia telah memberikan kami ayat pendinding untuk ditambah lagi dengan amalan dari Paksu, Surah Al-Ikhlas 100 kali , (bacaan zikir 'Wala haula wala quwwata illa billahi aliyyil_azim' 70 kali) sebagai amalan harian, (Surah Al-Falaq 41 kali dan Surah Nas 41 kali) untuk menghantar semula kepada tuannya. "Ayat Kursi sebanyak 17 kali untuk 3 masa iaitu selepas Subuh, selepas Asar dan sebelum tidur(dibaca di tempat tidur). Niatkan untuk menjaga diri dari sebarang gangguan, menjaga keluarga dan harta benda. Ataupun hasad dengki orang lain atau gangguan syaitan ataupun saka dan minta pulangkan semula kepada tuannya. Minta juga Allah pulangkan balik kepada takdir yang baik. Minta yang baik2. Kemudian amalkan pendinding, bismillahirrahmanirrahim sebanyak 16 kali dan ayat 9 dalan surah Yasin sebanyak 6 kali selepas Subuh dan selepas Maghrib," Tok Abah memandangku dengan penuh harap.

Kami pulang dengan hati lega kerana banyak ilmu Allah yang kami dapat daripada beliau dan tidaklah aku menulis kesemuanya di dalam blog ini. Walau bagaimanapun aku tetap risaukan Mak kerana dia yang paling hampir dan berada di rumah itu. Pernah aku bermimpi, Pakcik mempunyai perempuan lain di rumah besar itu yang sebenarnya kepunyaan arwah Abah. Namun wanita itu bukanlah manusia biasa. Dengan berbaju labuh putih dan rambut panjangnya, dia telah menghulurkan tangannya dalam keadaan mencengkam untuk mengusir aku dan Adik supaya keluar dari rumah besar itu. Tinggallah Mak yang terseksa di dalam rumah itu dan tidak boleh diselamatkan. Apa yang aku tafsirkan sendiri, mimpi itu menandakan hak kepunyaan Pakcik mahukan kami semua keluar dari rumah itu untuk menjadi miliknya. Aku juga pernah memberitahukan mimpi itu pada Mak dan berkata,"Mana boleh! Rumah ni milik arwah Abah. Dia(Pakcik) tak boleh buat apa sebab kita ikut hukum faraid. Ini rumak Adik." Aku pula menambah,"Sebab tulah agaknya, dari awal lagi Pakcik pernah cakap dengan Ana yang rumah ni rupanya masih nama suami lama. Kalau nama Mak lah agaknya, dah tentu dia suruh tukar nama dia. Mak kena berhati2 sebab hari tu, masa Mak sakit, dia boleh tinggalkan Mak je!".

Aku masih ingat lagi, suatu hari Mak pernah sakit. Belum sempat kami sampai di kawasan rumah Mak kerana bimbangkan keadaan Mak yang baru sedar pengsan, Pakcik sudah menelefon aku supaya segera sampai di rumah itu kerana dia mahu keluar ke rumah anaknya yang akan mengadakan kenduri. Bukankah di waktu itu masih jam 9.00 pagi dan kenduri bermula tengahari, rumah anaknya hanya di Glenmarie yang tidak jauh untuk sampai? Boleh dia tidak menghiraukan Mak dengan keadaan yang sakit begitu? Sampai hati juga dia memaksa Mak untuk pergi juga ke rumah anaknya sedangkan Mak sedang sakit? Kerana pengalaman itulah, aku selalu menasihatkan agar berhati2 dengan suami sendiri.

"Mak, bila lagi nak pergi berubat? Ana dah tak sanggup lagi menahan dah! Malam tadi Ana rasa ibu jari kaki macam kena hisap. Sakit lah Mak. Apa bendanya tu? Mak pujuk lah Pakcik tu, dia kan suami Mak. Mak je yang boleh pujuk dia. Nanti kang, susah nak mati sampai bukak bumbung, lagi payah Mak. Mak pun kena berhati2 dengan Pakcik tu. Tak pasal kang, dia tinggalkan Mak je sebab Mak tak boleh bagi apa2 pada dia. Selagi tak dapat harta. Mak kena beringat, husband pun.. kubur tetap lain2. Kalau payah sangat, Ana ajak je orang yang pandai mengubat untuk datang ke rumah Mak tu semasa Pakcik ada di rumah. Biar dia rasakan. Ana tahu dia dengar tu, dah benda tu dia yang punya!" aku berlembut sambil bertegas. "Yela, nanti Mak nak pergi jumpa Tok Abah. Dengan pakcik sekali," Mak menjawab.

Memang itu yang aku harapkan. Berubat dan selesaikan segera! Kalaulah itu jalan terakhir, aku doakan ianya berjaya. Sebenarnya baru2 ini, Mak telah pergi ke rumah Tok Abah. Malangnya Tok Abah tiada di rumah kerana anaknya memberitahu Tok Abah baru sahaja keluar sekejap untuk mengisi minyak kereta. Kemudian dia tidak boleh sampai ke rumah kerana tidak menemui jalan pulang. Akhirnya Tok Abah sesat jalan sampai ke KL. Memang menghairankan tetapi itulah yang dikatakan halangan sudah bermula. Mungkin selepas ini, banyak lagi halangan dan aku yakin bahawa Allah Maha Berkuasa. Tiada kuasa lain yang setanding denganNya.

Monday, December 21, 2009

KISAHKU-13

Aku demam. Batuk dan berbagai rasa yang mengundang apabila tidak sihat. Dua hari sebelum Krismas, aku telah mengambil cuti untuk menyelesaikan urusan peribadi. Entahkan urusan apa, aku sendiri tidak pasti. Tetapi aku ada alasan tersendiri, mahu berehat dan mahu...melihat reaksi ayah tiri atau Pakcik (panggilan untuk ayah tiri). Aku telah pergi ke rumah Mak bersama Daus dan suami untuk berjumpa Mak dan sememangnya ada sesuatu yang mahu dibincangkan.

Namun, belum sampai ke rumah Mak, badan dan seluruh tanganku menjadi lenguh tiba2. Tidak sempat aku mahu berkunjung, padahnya sudah ada. Aku batalkan saja niat untuk pergi ke rumah itu. Mungkin esok atau lusa, aku akan cuba juga berjumpa Mak.

Esoknya, aku singgah juga ke rumah itu. Persinggahan yang tidak dirancang dari awal dan seolah2 terlanjur untuk sampai ke situ. Kebetulan hari itu, orang lelaki akan bersolat Jumaat. Pakcik sudah tiada di rumah itu. Tibalah masanya aku menyusun kata pada Mak. Sesampainya aku di rumah itu, Mak terus menyambut cucu kesayangannya Daus yang merupakan cucu ke-10. Untungnya Mak sudah bercucu ramai dalam usia 56 kerana berkahwin awal dengan arwah Abah. Itu belum masuk cucu tiri lagi, mencecah 20 lebih kesemuanya. Berdetik di hati, aku memang sudah maklum ada sesuatu di rumah Mak tanpa boleh dilihat dengan mata kasar. Aku harus kuat dan berhati2 agar tidak terngadah. Aku mahu menjengah seketika suasana rumah itu dengan andaianku tersendiri. Sudah berbuih mulutku membaca ayat2 pendinding dan zikir sebelum sampai ke rumah itu.

"Mak sihat? Pakcik macamana? Sihat?" aku merenung wajah Mak yang terlalu gembira dengan kehadiran kami. Suami membisu seribu bahasa dan sibuk bersiap untuk pergi ke masjid. "Mak ok je. Takde apa2. Pakcik dah keluar. Dia macam tu jugaklah." Mak berkata selamba dan memang sudah tahu akan maksud pertanyaanku. Kehadiranku ke rumah itu juga adalah untuk meredakan marah Mak kerana aku seolah2 tidak sudi menjengahnya. Setelah apa yang dia tahu tentang tempohari, dia dapat rasakan ada jurang antara aku dengan dirinya sebagai isteri Pakcik. Perbalahanku juga dengan Mak menyebabkan wanita itu terlalu jengkel dengan sikap keras hatiku. Hanya kerana perbualan telefon tempohari.

"Mak, Pakcik macamana? Dia macam sakit tak?" aku bertanya untuk kepastian. "Dia jadi sakit tak tentu arah. Dia kata sakit belakang, suruh Mak gosok." Mak menjawab bernada sedih. "Tapi Mak ada baca2 tak? Takut nanti kang, dia serap kat Mak pulak!" aku inginkan kepastian lagi. "Tentulah Mak ada baca2 ayat pendinding sambil nak gosok belakang dia tu," tegas Mak. Aku masih sangsi dengan Mak. Kadang-kala aku rasakan ianya mungkin mainan Pakcik untuk menguasai Mak. Apa yang aku tahu dari ustaz atau panggilan biasanya Paksu, terlalu banyak benda yang berada dalam badanku dan kes yang agak berat sehingga dia tidak boleh selesaikan dalam masa 1 hari. "Sebenarnya memang betul lah Mak. Memang Pakcik punya." Belum sempat aku menghabiskan ayat, Mak sudah tidak sabar mahukan ayat seterusnya,"Lagi apa lagi Paksu cakap?". Mak sudah mula berkeras suara. "Sabarlah..Ana nak cerita ni. Ada 4 benda yang berada dalam badan Ana(panggilan keluarga) tapi 3 benda yang orang punya dan 1 antaranya sudah hapus terbakar. Itu yang menyebabkan kaki Ana berasap. Tapi ada 1 lagi yang liat. Paksu kata, benda tu bagitau yag dia dah lama tinggal dalam badan Ana. Benda tu sebenarnya belah ayah punya. Ana ada tanya dia, ayah yang mana satu sebab Ana ada 3 orang ayah. Dia kata, kalau kita cuba lawan yang ini, takutnya dia akan hantar yang lain dan lebih kuat. Ana fikir memang Pakcik punyalah sebab paksu cakap camtu tandanya orangnya masih hidup lagi. Pakcik je suami Mak yang masih hidup. Dia menuntut sendiri di Pulau Besar. Kenapa nak hantar pada anak Mak pula? Macam sengaja nak kenakan je,"aku sudah mula meninggi suara dan serkap jarang.

Aku menambah lagi, "Mak, sebenarnya yang ada pada Pakcik tu adalah ilmu orang Negeri. Ana banyak tanya Paksu dan cuba berkeras mahukan kisah sebenar. Dia memang berat nak bagitau pada awalnya, tapi Ana kata Ana dah sedia. Lagipun, Pakcik bukannya ayah kandung. Manalah tahu dia ada hajat tertentu yang terselindung. Paksu kata,kalau dia balik Pilah, bukannya kosong. Kalau boleh dia nak Mak tunduk sangat2 pada dia dan serahkan apa harta yang ada. Bukan setakat ilmu biasa, yang pelik2 pun ada. Ilmu Burung lah, macam2 lagi untuk kesenangan sementara (dunia). Yang ada pada Mak tu, lagi hebat. Pada anak2 perempuan Mak pun dah ada sikit2. Benganglah, dahlah dia tu cuma ayah tiri, buat macam ni pulak! Padanlah Mak boleh menanggung dia tanpa dia bagi Mak sesen pun. Kalau ada pun tak banyak. Entahkan apa niat dia Mak! Ana dah mula rasa tak suka! Dahlah anak2 dia sombong kata Mak macam2. Kononnya Mak sengaja taknak jaga ayah dia lah, sedangkan sakit Mak diorang tak ambil peduli. Bila cakap bapa dia ada menuntut sendiri, taknak cuba check dulu. Taknak mengaku kelemahan sendiri".

"Dahlah! Jangan kita pula yang jadi jahil macam dia dengan anak2nya. Mak pun memang dah lama tahu, dia ada buat Mak. Dia pun kalau pergi mana2 tu, mesti macam nak bertelagah je terutama dengan orang Negeri jugak. Tak tahu kenapa. Kita doakan aje dia berubah! Janganlah sampai kau tak balik Puchong pulak. Dek kerana macam ni, anak2 macam buang Mak, tak pedulikan Mak. Bukan salah Mak pun," Mak bertegas lagi. Terbit rasa kasihan pada Mak dengan apa yang terjadi, tapi aku cukup kesal kenapalah ada segelintir manusia yang lebih percayakan kuasa selain Allah yang kononnya boleh membawa tuah, itu dan ini. Jahilnya orang zaman dahulu, kurang didikan agama. Itulah yang dikatakan zaman 70-an, zaman Disco, zaman air gas(arak) dan apa yang lebih dikesalkan, perbuatan syirik yang menyekutukan Allah.

"Ana belum bersedia lagi Mak. Ana akan sampai juga ke rumah Mak tu, sabarlah!"aku terus memujuk Mak kerana tidak mahu dia terasa diketepikan. Belum sempat aku meneruskan kata, Mak sudah memutuskan talian handphone. Aku tidak terkejut dengan tindakan Mak, sememangnya aku jujur tidak bersedia kerana aku sendiri maklum tentang keadaanku sendiri.

Seingatku, aku sudah pernah berubat setelah aku mengetahui tentang perubahanku dulu. Ianya sebuah kisah silam yang aku sudah lupakan dan tiada kaitannya lagi sekarang. Aku fikirkan tentang keempat2 benda itu kepunyaan siapa. Aku masih ingat, Paksu ada memberitahu, "Fida akan tahu juga kelak dengan keizinan-Nya. Mungkin ditengoknya dah pernah ada benda lain masuk, sebab tu dia cuba hantar yang ini pula." Aku terfikirkan pula kata2 Pakcik satu masa dulu, "Rumah ni cuma rumah single storey biasa je Na, macam low cost. Tak cukup lagi..". Itulah kata2 Pakcik sewaktu kali pertama melihat rumah baru kepunyaan suami untuk kami tinggal. Adakah Pakcik kurang berkenan dengan suamiku kerana mungkin masih tidak cukup kaya sepertimana menantu2nya sekarang? Ataukah mungkin dia mahukan menantu yang lebih hebat dan berharta mengikut kehendaknya?

Aku biarkan sahaja soalan yang terkumpul itu di benak fikiran. Dengan izin Allah, ada jalan keluar dan penyelesaian. Itulah yang dikatakan lumrah hidup, manusia kadang-kala alpa dengan tanggungjawab yang lebih utama. Berada di bumi Allah yang sementara ini untuk menuju Akhirat yang lebih kekal abadi.

Aku sempat berjumpa Pakcik sebelum berangkat pulang dari rumah Mak. Pakcik seolah2 terkejut kerana tidak menyangka aku akan menyalaminya sebelum pulang. Aku biarkan sahaja keadaan itu. Setelah aku pulang dari rumah Mak, aku menjadi tidak sihat. Namun kukuatkan hati untuk menghabiskan surah Al-Baqarah selama 2 setengah jam di waktu malamnya untuk mengelak sesuatu mengikut semasa dalam perjalanan pulang. Namun jauh di sudut hati, aku juga berdoa agar hati tua itu (Pakcik) akan berubah dan bertaubat kepada-Nya. Hanya Allah Maha Pelindung dan Maha Mengetahui.

Tuesday, December 15, 2009

KISAHKU-12

Aku mengetuk pintu bilik orang penting syarikat kerana aku memerlukan tandatangannya. Siapa lagi kalau bukan Pengarah yang memang terkenal dengan budi bahasanya dan tinggi ilmunya dalam bidang perniagaan. Dia memang seorang yang baik dan pandai mengambil hati anak buahnya. Aku juga senang berkomunikasi dengannya dan sebagai orang yang patut dihormati, aku selalu berbual mesra dengannya kerana dia juga selalu berkunjung ke bilikku untuk berkongsi masalah kerja. Aku sendiri tidak pasti kenapa dia cukup senang denganku sedangkan aku bukanlah seorang yang sangat penting dalam perjalanan syarikat, tetapi itulah yang dia sering lakukan. Berkunjung ke bilik sambil menilik kerja yang kulakukan. Malahan ketuaku sendiri tidak menyelia sebegitu terhadapku. Maklumlah, aku cuma seorang kerani cabuk. Maka, aku sering menjadi bahan gossip di kalangan rakan2 sekerja kerana kunjungan 'big boss' yang kerap.

"Saya perlukan signature tuan untuk teruskan transaksi ini," aku menghulurkan dokumen sambil memandang ke arahnya. Aku membetulkan dudukku kerana tidak selesa. Maklumlah, jarang sekali aku masuk ke bilik orang2 besar sepertinya. Namun aku menanti dengan penuh debaran selagi kerjaku belum selesai. 'Besar juga bilik dia, siap ada sofa dan tempat berehat' detik hatiku.

"Nantilah dulu, kita borak dulu. Kerana Fida, saya sanggup buat apa sahaja asalkan Fida senang dengan saya. Fida tahu macamana saya pertahankan empayar syarikat ini dan anak2 syarikat untuk menjadi lebih baik. Semuanya idea saya," aku hanya mendengar kata2nya yang penuh dengan semangat menceritakan sejarah penubuhan syarikat. Namun tercalit di hatiku, ada banyak perkara yang aku tidak faham dengan ceritanya kerana ilmuku tidak sampai ke tahap itu. Matanya juga meliar mencari anak mataku kerana aku lebih suka menunduk untuk mengelak.

'Kenapalah dia menceritakan semua ini kepadaku? Bukankah aku tidak faham? Ilmu yang kuada tidak setanding dengannya,' gerutu hatiku. Sebenarnya masih banyak kerjaku sendiri yang perlu diselesaikan. Kerana itu, aku mahu pulang segera ke tempatku untuk memulakan semula kerja. Tetapi, apakan daya. Orang yang berada di depanku ini bukanlah calang2 orang untuk mengelak, tak fasal2 periuk nasiku juga tergugat. Mungkin dia sengaja mahu bersembang untuk mengisi masa lapangnya. Yakah begitu? Entahlah, aku sendiri tidak faham dengan kerja orang atasan.

Aku hanya tertunduk dan masih mengukir senyum untuk mengimbangi perasaan tidak selesa. Pekerja lain memang tidak akan perasan dengan apa yang berlaku kerana biliknya agak besar dan terselindung dari pandangan mata pekerjanya. "Tunggu kejap ye" tiba2 dia menyandar di kerusi empuknya. Tangannya mencapai sesuatu di bawah meja dan aku sendiri tidak tahu apa yang dia lakukan. Entah tiba2, dia bangun menunduk ke arahku sambil bercakap dan tangannya menyentuh daguku. Semuanya sekelip mata. Aku panik kerana tidak menyangka sikapnya yang semakin menjengkelkan sehingga berani menyentuh muka. Tiba2 hatiku mula berubah, sejuk dan luluh yang aku sendiri tidak tahu untuk mentafsirkannya.

"Ok?" aku tersentak seolah2 baru dikejutkan oleh alam khayalan. Aku sendiri tidak pasti apa yang 'ok'. Aku hanya mengangguk dan cuba membuka langkah dari bilik itu dengan segera. Kenapalah aku terlalu percayakan orang, sehingga dia boleh menyentuh daguku. Sebenarnya aku seperti terpukau ketika itu. Salah aku juga, lemah dan tidak berani menentang.

Tetapi perubahan semakin ketara. Aku sukar untuk melelapkan mata kerana asyik teringatkan dia. Aku cuba menepisnya tetapi lemah. Aku tidak mampu menolaknya. Bayangannya sahaja berada di mana2. Pernah satu hari, aku sedang bersama-sama rakan untuk meraikan hari lahirku di KFC salah sebuah shopping complex. Tiba2 dia menghubungiku untuk berjumpa. Ya, dia memang tahu tentang tarikh lahirku. Aku memang mudah berkongsi cerita dengannya kerana sebenarnya aku menganggapnya sebagai ayah sahaja. Maklumlah, umurnya lebih tua dari Mak dan dia juga sudah mempunyai anak teruna. Masakan aku boleh menyangka buruk dengan hubungan ini.

Sebuah kereta mewah melepasi kami. Driver kereta mewah itu menghilang bersama keretanya. Aku juga hairan kerana dia sanggup turun ke tempat seperti itu hanya semata2 untuk berjumpa aku. 'Mungkin ada apa2 yang ingin dibincangkan tentang kerja. Apa urusannya denganku? Tempat macam ni bukan standard orang2 macam ni,'bisik hati. Tapi dalam masa yang sama, aku juga tutut nantikan wajah itu dan debaran semakin kencang.

"Saya dah lama tak datang ke tempat yang macam ni. Rasanya dah berbelas tahun," dia memulakan perbualan. Aku sendiri tidak selesa dengan suasana itu kerana rasa bersalah dengan keadaan tempat yang mungkin dia tidak selesa. "Kenapa nak jumpa? Ada apa2 ke?" aku mahukan kepastian. Rakan di sebelah hanya memerhatikan kami berbual. "Hari ni kan Fida punya birthday, dah tentulah saya nak celebrate sekali," aku hanya tergelak mendengarnya. Aku cukup senang dengannya kerana dia kuanggap ayah adalah tempat aku boleh menumpang kasih. Kasih yang bagaimana? Kasih seorang ayah yang tidak akan putus walaupun aku berkahwin dengan orang lain kelak. Arwah Abah sudah lama meninggal dunia. Aku rindukan kasih itu. Lagipun dia mempunyai anak lelaki. Biarlah aku berbaik dulu. Bolehlah dia kenalkan padaku satu hati nanti, andaianku.

"Fida, akak rasa hubungan Fida ni bukanlah hubungan biasa. Takkanlah Fida tak boleh fikir. Memanglah Fida rasa biasa je sebab Fida staf biasa, takkan orang macam tu boleh terpaut. Tapi, lelaki ni ada bermacam2 citarasa. Tambah pula, orang yang dah beristeri dan berduit pula. Fida tak usahlah kawan dengan dia lagi,"rakan yang menemankan aku cuba menelah setelah memerhatikan sahaja perbualan kami tadi. Walaupun tidak banyak ayat yang keluar, tetapi mungkin dengan perbuatan ataupun pelbagai reaksi boleh dinilai oleh orang lain. Walaupun tidak bersentuhan.

Aku juga tidak sedar akan perubahanku. Aku juga bersalah kerana membiarkan hubungan ini. Memang pernah dia berhasrat untuk aku menyambung belajar supaya aku dapat berdiri sama dengannya dalam status kerjaya. Memang pernah dia berhasrat untuk memberikan aku bisnes butik untuk aku usahakan. Tetapi semuanya aku buat endah tak endah kerana aku fikirkan siapalah aku. Mungkin dia sedang berangan kerana tiada anak perempuan.

"Fida anggap saya macam ayah kan?" dia pernah bertanya. Aku mengangguk. Tidak faham dengan telahan orang tua itu. Aku sukar untuk menangkap apa yang difikirkannya. "Kalau ..ribu cukup tak? Gaji saya tak banyak!" dia merendah diri. Aku semakin tidak mengerti. Apa sangkut paut dengan gajinya? Adakah dia melamar aku untuk anaknya? Akal budak2ku masih tidak dapat membaca fikirannya. Bodohnya aku ketika itu. Akhirnya aku berterus terang mengatakan yang aku memang menganggapnya sebagai seorang ayah dan tidak lebih dari itu sepertimana yang pernah aku katakan. Aku tidak menyangka ianya menjadi serius sehingga ke tahap ini. Aku benci dengan keadaan itu kerana seolah2 aku telah mengkhianati perempuan lain.

"Sampai hati Fida nak pergi juga. Saya dah belikan rumah dah. Tak sangka nak pergi juga," dia seolah2 masih memujuk supaya aku tidak meletakkan jawatan di syarikat itu. 'Aku takde terhutang budi apa2 pun sebab tidak pernah menerima barang darinya,' gertak hatiku. Aku sendiri tidak faham dan tidak peduli dengan kata2 lelaki di depanku lagi. Walaupun hatiku ada terasa lembut lagi untuk tidak melupakan, aku tetapkan juga pendirianku untuk pergi.

Itulah yang aku masih ingat tentang kisah lampauku. Zaman bujang yang masih belum matang dengan ragam manusia. Kutahu, ada kesilapan yang kulakukan. Aku begitu lemah bersandarkan kasih seorang ayah yang telah salah faham terhadapku. Seingatku, aku cukup berhati2 dengan pemberian orang. Sebarang aset tidak pernah kuterima seperti rumah, kereta malahan barang2 yang lain. Aku akan ingat, berhati2lah dengan perasaan orang lain. Tiada istilah kawan baik antara lelaki dengan perempuan dalam Islam, malah hubungan angkat-berangkat juga tidak digalakkan. Semuanya terbatas.

Sehingga sekarang, aku begitu takut dengan pengalaman itu. Aku juga kesal dengan apa yang terjadi..

KISAHKU-11

Aku masih mengharap agar tidak dibelenggu dengan keadaan ini. Aku masih terkejut dengan kata2 ustaz. Aku tidak menduga sesuatu yang lebih buruk telah datang dalam hidupku. Kenapa semua ini terjadi? Apakah salahku? Adakah aku telah berdosa kepada insan lain? Aku tidak boleh menjangkau kisah silam yang terselindung di sebalik kejadian ini. Aku lupa. Lupa kerana ianya sudah lama.

"Macamana awak rasa sekarang? Awak takut dengan saya? Atau tak suka?" Ustaz bertanyakan aku. "Saya ok je. Takde rasa apa," aku mengelak dari memandang mata ustaz kerana hatiku sebenarnya memang berdebar2. Kenapa badanku terasa bergetar, aku sendiri tidak boleh mengawalnya. Aku juga tidak senang dengan kehadirannya sedangkan aku mahukan pertolongannya. Hampir2 aku membatalkan saja temujanjiku dengan ustaz untuk datang ke rumah sebelum itu, tetapi rupa2nya dia sudah sampai di kawasan rumahku. 'Mungkin ada yang tidak kena dengan diriku' gesus hati.

Lalu dia membacakan ayat2 suci al-quran yang biasa didengar seperti surah Fatihah, Ikhlas, Falaq, Nas dan lain2nya. Namun aku seperti tidak boleh mengawal diri, terlalu mengantuk, gelisah dan dirasakan seperti mahu tumbang. Sedangkan apa yang dibaca hanyalah ayat2 al-quran. 'Kenapa ni? Kuatkan semangat!'gesa hatiku. Aku serba tidak kena, kadang2 duduk di sebelah suami, kadang2 di belakangnya kerana sering mengubah tempat. Anakku duduk dengan Babahnya kerana aku sendiri tidak pasti adakah selamat dirinya di sampingku ketika itu.

"Ini bukan rumah saja nak kena tengok, tapi diri sendiri juga." Ustaz bersuara. Aku semakin diam tidak mengerti. Mulut seperti terkunci kerana berdebar. "Ada apa2 masalah di pejabat? Dengan boss macamana? Ok je ke?" dia bertanya lagi. "Ok je," aku sendiri tidak mengawal pertuturan kerana berdebar2. Betul ke tidak jawapan yang diberi, aku sendiri tidak pasti. "Benda ni dah lama ni. Saya sendiri asyik keluar angin je. Kesannya pada saya," dia memberitahu sambil bersendawa.

"Awak duduk berlunjur kaki. Tanggalkan semua barang kemas supaya tiada apa halangan untuk dia keluar. Kita pujuk dia keluar," ustaz menyuruh dengan tenang. Aku semakin tidak mengerti apa yang dia ingin lakukan. Aku menurut sahaja. Berbagai ayat al-quran dibaca dan mulutnya tidak berhenti berkumat-kamit. Dia memegang jari kelingking di kanan kiri kakiku dengan beralaskan kain. 'Ssss...sakitnya,'desis hatiku. Aku sudah mula rasakan yang diriku ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya pegang ni, awak rasa sakit kan? Saya tak tekan kuat pun. Biasa je. Cuba abang pegang pula," ustaz menawarkan suami untuk memegang jari kelingkingku. Memang tidak sakit dengan sentuhan tangan suami dan tidak seperti ustaz tadi. "Itu tandanya, ada sesuatu yang tidak kena dengan diri awak sendiri. Kerana saya sudah bacakan ayat2 suci. Mari kita mulakan. Alang2 dah sampai dari jauh, biar kita berperang habis-habisan. Awak kena ingat Tuhan. Lawan dia," ustaz menyambung hujahnya. Aku pun mula berkumat-kamit membaca zikir dan bismillah untuk menahan sakit. Namun akhirnya...

"Sekarang rasa macamana? Ringan sikit tak? Dia dah keluar. Tapi saya tak boleh buat satu hari. Kena datang semula untuk tengok lagi. Berdoalah banyak2 pada Allah kerana Dia paling berkuasa. Kita hanya berusaha. Doa orang yang teraniaya akan termakbul tetapi kita sendiri kena dekat dengan-Nya. Doalah supaya tutupkan hajat orang tu untuk teruskan niat jahat dan bukakanlah pintu hatinya untuk bertaubat"panjang lebar ustaz menerangkan. "Orang hantar ke ustaz?"suami mencelah. "Wallahua'lam. Allah Maha Mengetahui. Biarlah patah balik kepada tuannya. Akak ni sabar banyak2. Insya Allah ada jalan keluar,"

Tiada sebutir kata pun yang keluar dari mulutku. Aku masih penat dan terasa lenguh2 semua kaki terutamanya tapak kaki. Sebenarnya aku telah tidak sedarkan diri. Jeritan yang nyaring tiba2 kedengaran menggemparkan suasana sunyi kawasan kejiranan serta kakiku tiba2 bergetar. Tanganku menadah seolah2 meratib sambil mulutku berkumat-kamit. Kemudian asap keluar melalui tapak kaki seketika. Itulah yang diceritakan semula oleh suami yang melihatnya. Ustaz juga memberitahu itulah cara orang yang menghantar dengan cara meratib dan berpantun dengan menggunakan ayat2 pemujaan. Mungkin jika aku sendiri yang melihat kejadian itu, aku sendiri menjadi gerun.

Kini aku mula mengimbau kisah silam. Masa lampau yang cuba diingati berselang-seli dengan wajah2 yang pernah aku temui sebelum ini. Aku sendiri tidak pasti. Payahnya untuk mengingati sesuatu yang kita sendiri tidak sedar akan kesilapan lampau. Kejamkah aku dengan kesilapan lalu sehingga aku diperlakukan sekejam ini? Aku tidak mengerti. Hati mula tertanya2, siapakah dia...

Sunday, December 13, 2009

KISAHKU-10

Sebelum aku meneruskan penulisan, eloklah aku memohan maaf sekiranya terdapat tutur kata, perbuatan mahupun apa jua yang memberi kesan terhadap orang lain samada perasaan mahupun apa jua yang terselindung tanpa kusedari. Setelah bertahun2 lamanya kusimpan, ingin aku titipkan sebagai kenangan pahit dalam hidupku. Dan juga baru2 ini, setelah kutahu masih ada sisa yang entahkan dendam, entahkan apa, aku sendiri tidak dapat menduga.

'Ya Allah! Sesungguhnya aku insan yang teraniaya. Tutupkanlah hati orang yang berkenaan dengan niat buruknya terhadap keluargaku. Dan Kau bukakanlah hatinya untuk bertaubat dan menemui jalan kebenaran. Cukuplah sudah penderitaan ini. Aku sendiri tidak mengerti kenapa ini semua terjadi. Berikanlah aku jalan keluar ya Allah, hanya Kau Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar. Hanya Kaulah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu dan Kaulah maha Pelindung. Lindungilah keluargaku dari sebarang niat jahat manusia dan segala makhluk ciptaan-Mu. Amin Ya Rabbal Alamin...'

Aku tetap sabar dengan apa yang terjadi. Aku masih ingat lagi, sewaktu majlis perkahwinan semakin hampir, aku semakin sakit dan batuk tidak berhenti. Sehingga keluar kahak berdarah kerana tekakku luka . Namun, tiada apa yang doktor boleh buat kerana mereka sendiri tidak pasti penyakitku. Akhirnya aku berjumpa dengan seseorang yang alim setelah banyak kali aku mencuba cara moden tetapi tidak berhasil.

"Orang itu berniat untuk menghuru-harakan majlis kenduri kahwin nanti. Kalau boleh, dia mahukan salah seorang dari kamu tumbang ketika bersanding. Takpe..saya akan berikan ayat2 al-quran dan zikir amalan untuk dibaca sendiri sebagai pendinding. Kita hanya mohon dengan Allah kerana Dia lebih berkuasa dari segalanya. Air ini telah saya bacakan ayat2 suci dan jangan dilangkah. Pada hari kenduri nanti, semua makanan perlu direnjis dengan air ini supaya orang yang datang tidak boleh membuat santau. Ingat tu, jangan lupa. Lagi satu, jangan tidur awal sangat. Benda senang nak masuk."

Gerun aku mendengarnya. Biasanya bakal pengantin akan sibuk melengkapkan diri untuk majlis dan jemputan, tetapi aku sibuk dengan pendinding diri supaya tidak tumbang ketika majlis. Itulah keperitan yang dirasakan, sehingga aku terlupa untuk menjemput sebahagian rakan2. Aku menyambut hari perkahwinan dengan lesu dan tidak bermaya. Ditambah pula dengan jurukamera professional yang agak cerewet untuk mendapatkan 'pose' yang terbaik. Namun hasilnya, sungguh memuaskan dan aku senang dengan gambar2 yang diambil.

Aku sendiri tidak pasti apa yang tidak kena. Siapa yang tidak senang denganku, aku sendiri tidak dapat menjangka. Kenapalah tidak berterus terang, bukankah lebih mudah daripada melakukan perkara yang bukan2. Hai..itulah hati manusia. Tiada siapa yang dapat melihat isi hati sebenarnya. Takkanlah kerana aku ingin berkahwin dengan suami! Aku bukanlah cantik sangat macam artis, hidung pun tak mancung. Siapalah aku ini untuk orang mencemburui aku. Atau ada tutur kata yang tidak menyenangkan, mungkin. Kenapalah tidak berterus terang.

Sebenarnya, suami adalah insan kedua yang pernah datang dalam hidup. Aku pernah bertunang dengan orang lain sebelumnya tetapi tidak lama. Pada hari pertunangan yang petama, aku tertidur di kamar sendirian dan tidak mengingati apa yang berlaku. "Hei! Fida. Bangunlah! Tidur ke? Orang dah naik nak sarung cincin lah..." Rakan yang menunggu di luar bilik datang mengejutkan aku. Aku terkejut dengan keadaanku yang berpakaian cantik. Aku lupa yang hari itu adalah hari pertunangan. Setelah beberapa minggu bertunang, bekas tunangku sudah mula membenci aku. Dia tidak mahu meneruskan hubungan lagi. Kakaknya juga ada memberitahu yang adiknya tidak mahu menjamah makanan setelah dia cuba meletakkan air yang telah dibacakan ayat suci ke dalam makanan. Malahan pulang ke rumah juga tidak mahu.

Aku menganggap itu semua sebagai ujian. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Walaupun halangan datang menimpa, akhirnya jodohku tersurat untuk suami. Aku bersyukur kerana telah bahagia bersamanya. Walaupun ada terdetik di hati sesuatu yang tidak elok, aku cuba menepisnya. Namun naluriku tetap berkata, ada sesuatu yang tidak kena. Walau bagaimana sekalipun, aku tetap berdoa agar orang berkenaan bertaubat, lembutkanlah hatinya dan sentiasalah ingat, hidup kita hanyalah sementara di muka bumi kerana akhirat lebih kekal abadi.

Milik kita hanyalah kenangan, milik kita hanyalah impian dan milik segalanya hanyalah Allah S.W.T Penentu segalanya.

Tuesday, December 8, 2009

Celebrity Morph by MyHeritage

MyHeritage: Family tree - Genealogy - Celebrity

KISAHKU-9

'Kipas terbuka lagi!'rasa terkejut setelah tiba di rumah bila melihat kipas masih berputar menandakan dari pagi ianya terpasang. 'Mungkin aku terlupa untuk menutupnya sebelum pergi kerja pagi tadi'pujuk hatiku.

Tempohari, air paip melimpah apabila setibanya aku di parkir kereta. Terkejut juga aku kerana tidak pernah kami terlupa untuk memeriksa semua keadaan rumah sebelum keluar ke mana2. 'Kenapa selalu terlupa? Ke ada sesuatu yang mainkan aku? Atau ini adalah bentuk halangan yang dibuat oleh sesuatu benda ghaib kerana aku telah cuba berhubung seseorang untuk datang ke rumah melihat sendiri apa yang tidak kena dengan rumah ni,'hatiku berdesis lagi.

Pernah suatu hari, tiba2 bunyi sesuatu seperti tercampak. Terkejut aku apabila mendapati gambar kahwin suami yang tergantung di dinding terjatuh tetapi seolah2 terletak dengan elok. Namun gambar itu kami lekat semula. Selang beberapa minggu pula, gambar kahwin aku pula yang terjatuh dengan agak kuat tetapi kali ini kaca habis bersepai di lantai. Tapi aku memujuk hatiku kerana mungkin bingkai gambar kami tidak menggunakan tali tetapi hanya double tape.

Sebenarnya, memang ada sesuatu yang tidak kena sebelum itu. Satu malam, anakku merengek seolah2 mahukan susu. Setelah aku bancuhkan, dia menolak susu yang aku hulurkan menandakan dia bukan inginkan susu. 'Macam ada sesuatu,'aku menelah. Aku cuba tidur tapi tidak boleh lalu pura2 tidur. Tidak lama kemudian, pintu bilik terbuka sendiri. Aku terkejut kerana tiada sesiapa di luar melainkan kami yang sedang tidur di dalam bilik. Pintu juga biasanya dikunci. Masakan pula boleh terbuka. 'Tapi mungkin terlupa menguncinya dan ada angin yang menolaknya,'hatiku memujuk.

Aku juga pernah rasa tidak mahu tinggal di rumahku dan berniat untuk membeli rumah lain. Aku rasa tidak selesa dengan suami dan seolah2 mahu saja berpisah dengannya. Tapi kutahan emosiku dan mungkin hanya ujian hidup berumahtangga. Sedangkan tiada apa yang tidak kena dengan hidup kami seharian. Cuma dirasakan tidak rasi..! Apa yang tidak rasi, aku sendiri tidak tahu. Seolah2 hatiku sering memberontak sedangkan suami memang seorang yang baik perlakuan. Kadang-kala, balik ke rumah pun dirasakan malas kerana tidak begitu rasi. Entahlah...

Namun suatu hari, aku mendengar ceramah dari seorang ustaz di jabatanku. "Sebenarnya memang tugas iblis dan syaitan untuk memecahbelahkan umat manusia. Kerana itu, banyak berlakunya perceraian di kalangan masyarakat kita. Sehingga di dalam rumah pun, ada syaitan yang bernama 'DASIM' yang cuba untuk meretakkan hubungan suami isteri." Ustaz memanjangkan cerita tentang satu kes perceraian yang hanya kerana dilihatnya seorang perempuan masuk ke rumah bersama suaminya dan menyebabkan si isteri meminta cerai. Sedangkan si suami masuk ke rumah berseorangan dan berlaku pertelingkahan.

Ya, mungkin juga. Semenjak ceramah itu, aku pun mula memasang CD al-quran sehingga rosak dan ditukar ganti. Perasaan curiga, tidak rasi, seolah2 ada orang lain di dalam rumah, semuanya sudah tidak timbul lagi. Tetapi apabila bacaan al-quran berkumandang, kadang-kala tanganku seolah2 bergetar di bahagian jari telunjuk dan badanku juga bergetar. Kalau tidak pun, ibu jari kakiku terasa sakit dan ianya bergetar sendiri.

Itulah yang berlaku semalam apabila aku memasang CD quran. Apa yang tidak kena, aku sendiri tidak pasti. Aku juga mengharap ada orang lain yang boleh memberi komen tentang perubahanku kerana aku sendiri tidak sedar akan perubahan diri ini. Tidak kira berada di mana2. Ini kerana, pernah satu malam aku terdengar bunyi anak kucing mendayu2 seolah merayu menagih simpati di banglo yang kusewa di A Famosa Resort. Aku terkejut kerana bunyi anak kucing yang sama seperti di rumah dan bagaimana pula ada anak kucing tengah2 malam ni sedangkan tiada di waktu siangnya. Masakan pula dia ikut bersama kami ke Melaka tapi bagaimana?

Aku semakin keliru. Biarlah masa yang menentukan. Aku juga berharap kami betul2 sebulat hati membawa Pak Su (hanya panggilan) dan seorang ustaz untuk melihat sendiri rumahku. Katanya mereka boleh melihat benda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Itulah kisah rumahku, tidak habis2 dengan ragam penghuninya.. Yang aku tahu, penghuninya cuma kami bertiga anak beranak. Tiada yang lain setakat ini...

Monday, December 7, 2009

KISAHKU-8

Sejuknya hari ini. Alat penghawa dingin pejabat yang mungkin telah rosak sehingga membuatkan orang di dalamnya terasa kesejukan. Aku tidak tahankan keadaan sejuk. Lebih rela berjalan2 untuk memanaskan badan tetapi kurasakan amat penat. Manalah tidak, baru semalam aku pergi ke 'The Curve' dan 'Subang Parade', sudah tentu terasa letih.

Hilang butir kata. Itulah keadaanku bila kesejukan. Ketar dan kadang-kala gigi terketip sendiri menahan sejuk. Tapi tidak setiap hari aku menahan sakit. Hanya kadang2 dan boleh secara tiba2 ianya terasa. Ianya juga tidak perasan dari mata kasar kerana aku tetap kekal dengan perlakuan yang biasa dilakukan. Cuma diam tertunduk tanpa kata dan ini tidak membuatkan orang terfikir kesakitanku kerana aku sememangnya seorang pendiam. Dan masih boleh membuat kerja seperti biasa. Jika dirasakan pedih, aku hanya mengadap komputer melayari internet atau tidur seketika. Aku harap tidak ada salah sangka terhadapku. Aku harap aku tidak dikatakan sombong. Tapi sebenarnya aku redha jika orang berkata begitu, mungkin mereka tidak memahami kenapa sebenarnya aku. Aku sendiri tidak bersedia untuk memberitahu.

"Kak Fida macam sakit. Ok ke?" Cik Ika menegurku ketika keluar dari surau di unit kami. Dia merupakan salah seorang ketua unit di sini. Aku hanya menggelengkan kepala. Begitulah aku jika orang menanya. Aku hanya menidakkan apa yang mereka lihat. Ataupun aku hanya berkata perlahan,"Taklah. Cuma penat dan mengantuk". Kenapalah aku tidak mahu berterus terang. Tapi fahamkah mereka jika aku memberitahu.

"Takut tengok kak fida. Muka semakin cengkung." Ani menegur perubahanku. "Kan puasa, biasalah kurus."aku menjawab. Namun aku terfikir,'yekah begitu? Atau memang perubahan ini disebabkan...ah!Aku takkan mengalah.'

Pernah sewaktu di musim raya aidilfitri. Jiran2 mahu berkunjung ke rumahku. Aku tetap tidak akan menolak walaupun sepenat manapun aku. Itulah menjadi amalan, tetamu dikatakan membawa rezeki. Sebenarnya rezeki berjumpa dan berkunjung kerana entah bila lagi kita akan dikunjungi tetamu di rumah. Aku pula baru sahaja pulang dari hospital kerana anakku semput dan batuk teruk waktu petangnya.

Apabila mereka sampai, aku tetap mengukir senyum seperti biasa. Namun terlalu sedikit butir ayat yang keluar dari kerongkong kerana terlalu penat dan aku menceritakan keadaan anak yang kurang sihat. Sedangkan suami sedang berbual rancak bersama tetamu lelaki. Kadang-kala aku terfikir, bagaimana perasaan mereka? Adakah mereka berasa tuan rumah tidak melayan dengan elok? Entahlah, perlukah aku memberitahu keadaan sebenar aku? Fahamkah mereka? Mampukah aku menerima ucapan sedih daripada mereka jika mereka tahu? Betulkah mereka tidak merendahkan aku? Tidakkah itu semua boleh membuatkan aku bertambah sedih dan sakit?

"U ni tak fikir ke? Takkan ada orang lelaki yang boleh mengahwini perempuan yang tidak boleh memberikan zuriat atau berisiko? Tengok macam Era Fazira dengan Yusri! Akhirnya bercerai juga sebab katanya Era yang tak boleh!" Masih terngiang2 kata2 itu. Aku berasa malu ketika itu kerana suara seorang rakan yang telah kuluahkan isi hati untuk berkongsi masalah, akhirnya bercakap tanpa rahsia tentangku di tempat awam. Patutkah begitu? Sejak itu, biarlah aku menyimpannya sendiri. Serik dan dirasakan aku tidak perlukan sesiapa lagi untuk berkongsi kepedihan.

Namun kini, suamilah tempat aku meluah rasa. Itupun kadang2 dia sibuk dengan aktiviti komuniti kawasan. Aku terfikir juga, manalah tahu ditakdirkan maut tiba esok lusa, siapalah lagi orang terdekat yang akan menguruskan kita. Sudah tentu jiran tetangga. Bila diingatkan tentang Era Fazira(seorang artis terkenal tanah air), kini dia sudah pun mempunyai seorang anak bersama suami barunya. Lihatlah dunia! Allah telah membuktikan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya. Aku juga bersyukur sudah bahagia bersama keluarga sekarang.

"Mak masih ingat lagi. Sewaktu Mak susah dan solo dulu. Orang telah mengatakan Mak menyundal di waktu malam kerana balik ke rumah malam2. Sedangkan Mak menyambung pengajian al-quran di Masjid Shah Alam. Sedangkan Mak berniat untuk menyara keluarga dengan tauliah yang akan Mak dapat jika bersungguh belajar." Aku memahami kata2 Mak yang sedih dengan kata2 orang kampung. Tetapi semuanya sudah berubah. Kini Mak sudah buktikan yang dia mempunyai wawasan, dia telah berjaya dan senang dengan hidup barunya.

"Itulah juga sebabnya Mak berkahwin lagi supaya orang tidak mengata Mak ingin mengambil laki orang", Mak menyambung lagi. Ya, Abah sudah lama meninggal dunia ketika aku mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1995. Hidup Mak susah kerana hilang tempat bergantung. Dengan kesusahan itulah mengajarnya untuk lebih berjaya pada masa kini. Aku jugalah salah seorang anak yang tidak sempat berjumpa dengan arwah Abah sebelum dia meninggal kerana aku berada jauh di asrama Kuala Selangor dan sedang sibuk dengan SPM. Kerana itu, aku tidak diberitahu awal dan mereka juga tidak menyangka arwah Abah pergi juga menemuiNya walaupun sudah menjalani pembedahan otak setelah diserang strok. Sedangkan Abang Long yang berada di USA, sempat pulang untuk menemuinya. Sedihnya bila terkenangkan perkara lampau.

Namun, hatiku tetap betah dengan ujian. Mungkin kesusahan juga telah mengajarku. Pernah satu ketika, tiada sebarang benda yang boleh dimakan di rumah Mak. Peti ais juga kosong tanpa isi. Yang tinggal hanya beras dan garam. Itulah yang dikatakan kemiskinan bandar. Hidup bujangku dulu juga penuh kesukaran. Aku sudah biasa dengan keadaan itu. Tidak seperti suami, ibu dan ayah masih hidup di muka bumi ini. Tidak pernah berasa susah sepertiku. Aku terfikir, Allah akan memberi ujian pada hambaNya mengikut tahap kemampuan hambaNya.

Sunday, December 6, 2009

KISAHKU-7

Seronoknya melihat anakku yang sedang bermain gelungsur yang baru dibeli oleh Babahnya. Hilang sekejap demamnya yang sudah 3 hari kurang selera makan. Baru petang tadi suami mengajak kami untuk pergi ke The Curve di Kota Damansara. Mungkin ke tempat makan yang boleh membuka selera makan Daus, fikirku.

"Babang tak jumpa apa yang dicari. Robot yang Babang nak, takde. Daus dah sibuk nakkan robot lagi." Mata suami meliar keliling deretan kedai. "Kan dah banyak robot di rumah. Lebih baik tak usah belikan. Belilah benda lain, macam Junior Engineer ke.. di Toys R Us. Ia ada banyak tools dan boleh dia bertukang. B tengok banyak sungguh dia beggar, set kerusi yang B beli di Toy City pun dia selalu bukak skrunya."

Akhirnya, kami memilih gelungsur di Toys R Us kerana memikirkan mungkin Daus masih belum pandai bermain 'shoot' bola sebagai pilihan kedua. Kemudian kami singgah ke Restoran Padang untuk mengalas perut. "Berselera sungguh dia makan. Agaknya, rasa happy bila dah dapat mainan." aku mencelah sambil menjeling ke arah anakku. Dari tadi dirasakan sunyi kerana masing2 menikmati makanan yang terhidang di depan mata.

Aku mula teringatkan kenangan sewaktu pergi ke Safari. Daus sepanjang perjalanan menangis kerana ketakutan menaiki trak yang berdawai untuk mengelak dari binatang buas. Terasa geli hatiku walaupun ada juga rasa kasihan dengan ragam anak. "Mak ingat nak ajak Abang Long dengan Ayu pergi Melaka. A Famosa Resort. Yelah, lagipun Ayu kan dah habis pantang. Sekurang2nya biar dia lupakan yang dulu tu." Itulah kata2 yang telah membawa kami ke sana.

"Ainul Mardiah...Yelah..Pergilah.." Abang Long tersekat2 menyebut baris ayat sambil menatap wajah itu. Kedengaran yang lain, menahan sedu termasuk aku, renek2 jernih mengalir ke pipi lalu kuseka dengan cepat. Sebagai seorang muslim, tidak elok kita meratap tangis di atas kematian. Sedihnya anak kecil Along yang baru beberapa jam dilahirkan, pergi jua menemui-Nya.

"Mama..nak susu." Aku tersentak. Anakku! Alhamdulillah aku masih punya seorang anak yang sihat seperti Daus. Tapi aku telah memarahinya dan demam keesokan harinya. Mana taknya, dia bermain pampers kotor, tentulah aku meninggi suara. Biasalah, Daus memang mudah terasa dan mudah sakit jika kita meninggi suara terutama suara Mama dan Babahnya. Orang kata, orang berpenyakit lelah memang mudah begitu.

Kerana itulah, suami sanggup membelikan sesuatu yang menarik perhatiannya. Untuk mengubah perhatiannya secara keterlaluan terhadap DVD cerita robot atau Upin Ipin. Tapi, itulah anak. Manakan pula kita tak sayang, sanggup berkorban duit untuk anak. Bila mereka besar, pastikah mereka mengingati kita? Entahlah..

Thursday, December 3, 2009

KISAHKU-6

"Siapa awak ni? Macamana awak boleh masuk ke rumah saya? Saya tak suka orang masuk ke rumah tanpa kebenaran!" aku terkejut setelah terlihat ada seorang perempuan bertelekong sedang berdiri di atas meja makan. 'Pelik!'bisik hatiku.

"Saya nak tumpang di sini. Lagipun saya nak bermain bola jaring." lembut dia berkata dengan wajah ayunya yang boleh menggugat keimanan seseorang lelaki jika melihatnya. Pakaiannya pun sudah ditukar kepada t-shirt berwarna ungu. Rambutnya lurus setakat bawah bahu. Memang cantik dan jernih air mukanya. Memakai seluar coklat cair tetapi kurang jelas di bahagian kaki.

'Ah! Jangan mudah terpedaya. Aku tak kenal dia siapa. Silap2 haribulan, suami aku digodanya. Tak sukalah aku. Lagipun, mana ada sekolah kat sini. Kawasan perumahan baru, belum membangun sangat', kataku dalam hati. Lalu aku bertanya lagi, "Tapi macamana awak masuk? Saya tak pernah bagi kunci pada sesiapa pun. Takkan dari developer" Kadang-kala timbul juga rasa curiga pada suami, manalah tahu dia yang membawa perempuan ni masuk ke rumah.

"Saya memang dapat kunci lebih awal dari awak. Tempat ni pun saya dah tahu awal sebelum awak masuk lagi. Kunci pun saya dah dapat tahu awal dari developer." Mudahnya dia menutur kata. "Saya memang tak suka orang yang saya tak kenal nak tumpang2 di rumah ni. Lagipun, husband pun tak bagi. Nanti saya tanya dia," aku menguji benarkah bukan suamiku yang memberi kunci. Dia diam tidak menjawab dengan muka yang penuh mengharap. "Tak usahlah. Apa pula orang yang kita tak kenal nak tumpang. Tak boleh! Tak Boleh," suamiku menegaskan pendiriannya. Lantas aku memberitahu ayat yang sama kepadanya.

'Siapa pula yang datang ni. Pelik juga orang yang aku tak kenal berkunjung ke rumah. Macam ada hajat je' desis hati. Mereka kelihatan seperti golongan sekitar 50-an dan aku kesiankan orang tua. Peliknya, hatiku lembut dan boleh duduk sekali bersama2 mereka yang sedang makan serta perempuan tadi. Perempuan itu ingin mengemas meja makan setelah selesai tetapi aku tetap bertegas, "Tak payah nak buat baik dengan aku pula, aku memang tak suka orang tak kenal nak menumpang."

Keesokan harinya, perempuan itu sudah tidak ada di dalam rumahku lagi. Aku mencari2 di manakah dia untuk kepastian. Akhirnya aku mengintai ke belakang rumah. Terkejutnya aku!!!

"Astaghfirullahalazim..." Aku terjaga terus terduduk kerana terlalu terkejut. Aku bermimpi rupanya. Masakan pula manusia biasa boleh berdiri tegak di atas pagar berdawai dan pastinya ia boleh lendut dengan berat badan. Perempuan itu boleh berdiri seperti itu sambil bertelekong. Tak mungkin manusia biasa.

Jam di dinding menunjukkan baru pukul 3 pagi. Aku sukar melelapkan mata kerana masih terbayang mimpi tadi. Mungkinkah perempuan dan tetamu tadi adalah penghuni asal tempat ini. Aku terbayang pula hutan yang berdekatan dengan rumahku. Mujurlah aku bertegas tidak membenarkan dia menumpang. Kalau tidak???

Itulah pengalaman tahun lepas yang aku tidak dapat lupakan sehingga sekarang. Memang selalu berlaku perkara aneh di rumahku sehingga sekarang. Kadang2 pintu bilik terbuka sendiri walaupun ianya berkunci dan tiada orang lain berada di luar melainkan kami 3 beranak di dalam bilik. Aku juga telah memasang CD bacaan al-quran. Kali ini Mak pula yang bagi pinjam 4 CD kesemuanya. Teringin miliki CD sendiri tetapi tunggulah ada duit lebih. Maklumlah sudah 2 kali CDku rosak. Dengan harapan, amanlah rumahku...amanlah hidupku.

Wednesday, December 2, 2009

KISAHKU-5

Hari selalu mendung. Semendung perasaan aku yang keliru. Sikap manusia yang kadang2 mengguris hati. Aku teringat sewaktu suami terlibat dengan kerja sukarela sebagai AJK Keselamatan di kawasan kejiranan. Sentiasa berkorban masa untuk kerja sukarela sehingga aku terasa dilupakan.

Setiap aduan penduduk berkenaan Security Guard yang bertugas, suami terpaksa bergegas untuk memantau sendiri keadaan sebenar. Jika ada hal keluarga yang 'urgent', dia selalu dipersalahkan kerana tidak membuat pemantauan. Pernah 1 hari, aku terpaksa bergegas sendiri ke hospital untuk menghantar anak yang sakit tanpa mengharapkan suami. Malahan, sewaktu ketiadaan aku berkursus 5 hari, tiada siapa yang menggantikan suami untuk melakukan tugas sedangkan anakku sedang sakit ketika itu. Kejamnya manusia. Hanya mengharapkan yang terbaik dari orang lain tetapi diri sendiri tidak pernah berjasa mahupun menolong.

"B harap janganlah ada orang yang tidak berpuas hati dengan mengatakan Babang telah makan duit terkumpul penduduk dari bayaran security untuk membeli kereta baru. Sekiranya ada, B tak halalkan kata2 itu kerana kedua2 kereta sebenarnya kepunyaan B. Selama ni pun Babang yang buat kerja sorang, orang lain takde yang datang membantu. Yang penting Babang sentiasa buat baik pada orang lain walaupun sebenarnya orang tak buat baik pada kita. Siapalah kita nak judge orang".

Itulah yang aku hamburkan kerana kemarahan. Orang hanya tahu mengata, tapi tidak mahu membantu. Tetapi semuanya sudah lama berlalu kerana suamiku sudah meletak jawatan setelah habis tempoh penggal di pertengahan tahun ini.

'Bunyi apakah itu?'desis hatiku. Kedengaran bunyi yang kurang menyenangkan seperti serangga di bilik ke3. "Set! Set! Set!" membingitkan telinga. 'Aku tak pasti, betulkah ianya serangga yang dinamakan pelesit? Biarlah, aku tak kacau dia pun'. Aku pun bergegas memberitahu suami tentang apa yang aku dengar setelah dia pulang ke rumah.

Pagi Ahad selepas solat subuh di bilik ke2, terlintas di hatiku untuk membaca Al-Quran kerana sudah seminggu aku tidak membacanya. Rindu sungguh pada ayat2 Allah, Dialah tempat aku mengharap. Al-Fatihah...Kemudian aku membaca surah Yasin namun setelah ayat pertama dibacakan, 'Bunyi apa tu? Macam lipas nak terbang je. Aku ni dah lah geli lipas.' Aku tetap terus membaca sambil membuka langkah untuk keluar dari bilik.

Tiba2, kelihatan seekor serangga seperti lipas yang gemuk sedang terbang dari kabinet buku. Tanpa sebarang ayat, aku pun berlari keluar sambil memegang naskah suci itu. Aku menyambung bacaan semula sambil melihat ke dalam bilik untuk pastikan apakah itu. Terkejutnya aku kerana ianya seekor belalang. Aku pun menghabiskan bacaan Yasin supaya apa yang aku jangkakan 'pelesit' keluar dari rumahku.

Beberapa jam kemudian, aku terkejut semula. Belalang tadi melekat pula pada beg anakku. "Babang! Ada lagilah benda ni. Nak buat macamana? B dah halau pun dia taknak pergi. Jangan2 memang pelesit tak. Babang tangkaplah." Aku sepenuh hati memberitahu suami untuk menarik perhatian. Biasalah, dia memang khusyuk dengan menonton, mata sentiasa melekat ke TV. Muka tak beralih bila kita bercakap.

"Hish!Takkanlah pelesit. Kalau macam tu, B jelah yang tangkap! Kalau tak pun, biar tuannya yang datang tuntut." Suamiku berseloroh bersahaja. Dia mendengar rupanya. "Ai! Kita pulak yang disuruhnya. Cakap jelah takut." Aku menyindir sambil tersengih mengingatkan ada juga lelaki yang takut dengan benda yang setakat belalang tu.

'Peliknya, seolah2 benda ni memang nak aku tangkap. Dia tak lari ke mana pun,'bisik hatiku. Lalu aku memasukkannya ke dalam bekas dan menutupnya. "Babang! Cepatlah tengok sini. Tadi B letak lada hitam dalam bekas ni, dia macam menggelupur. Mungkin belalang memang takut dengan lada hitam. Kemudian B letak pula garam, saja nak 'testing' betulke pelesit. Langsung dia pengsan. Cepatlah sini." Aku memanggil dari dapur. Suami masih dengan TVnya.

"Kenapa Fida? Ada apa di rumah?"Pn. Z yang merupakan salah seorang Boss di unit kami mencelah bertanyakan hal sebenar. Pagi2 lagi aku sudah berceritakan hal semalam di pejabat. Aku mengulang semula ceritaku tadi untuk mendapat kepastian.

"Bila Fida dengar benda tu datang?"Pn. Z bertanya lagi. Aku cuba mengingati semula "Hari Khamis, waktu malam". Lalu Pn. menjangkakan benda yang sama seperti aku. Dia memberitahu bahawa pelesit memang akan datang pada malam Jumaat. Ianya kepunyaan seseorang. Mungkin di kawasan kejiranan sendiri. Kadang-kala tuannya tidak membelanya dengan elok dan mereka ada perjanjian. Dengan itu, dia mengacau orang.

'Siapa punyalah agaknya. Di kawasan bandar pun ada yang membela ke..Mungkin kepunyaan keturunan yang atas kemudian menurun ke anak2 muda yang tak tahu apa. Atau sebab sekarang sudah mula musim haji. Mungkin tuannya pergi ke Mekah. Ditinggalkan belaanya di sini. Tapi tiada siapa pula yang pergi haji. Mungkin di kawasan kejiranan lain tapi sesat ke mari. Entahlah!' desis hatiku.

"Tapi saya lepaskan juga. Saya called Mak nak tanya macamana. Mak kata kena lepaskan sebab takut tuannya marah dan dendam. Jangan sampai mati. Bagitahu pada dia, jangan datang ganggu lagi ke sini. Kalau datang, nanti aku bunuh." Aku menghabiskan cerita tadi di pejabat. Sempat juga menyembang pagi sebelum waktu bekerja bermula. Sebenarnya aku masih terkejut dengan kejadian semalam.

KISAHKU-4

06hb Ogos dan 09hb Ogos. Tarikh2 itu membawa makna dalam hidupku. Pada bulan Ogoslah berlangsungnya perkahwinan kami dan kelahiran permata hati. Kebetulan kedua2nya bulan yang sama, kami telah membuat kenduri pada tahun lepas tetapi tidak untuk tahun ini. Maklumlah, tidak selalu musim, lebat buahnya. Tidak semua waktu, poket kita sentiasa penuh.

Begitulah anniversary tahun ini, bukannya tidak bermakna tetapi disambut dengan kesederhanaan dan penuh keinsafan supaya kami lebih pandai menguruskan kewangan. Mak telah membelikan kami sebuah kek berkrim untuk dirai bersama2 kaum keluarga. Terharunya aku bila teringatkan keinginan Mak yang mahu melihat cucunya Daus disambut dengan jamuan di rumahnya. Kata Mak,"Biarlah ada kegembiraan untuk cucu Mak".

Perasaan segan berputik bila berada di kalangan mereka. Maklumlah, mereka yang lain semuanya berpelajaran lebih tinggi dan menjawat post yang setara dengan kelulusan. Masing2 mengejar ilmu Master, PHD, Degree walaupun ada yang sudah stabil income bulanan. Tetapi aku hanyalah pemegang Diploma yang sekadar di pinggiran.

Namun, aku bersyukur kerana hidupku tetap bahagia kerana bahagia itu susah untuk ditafsirkan. Bagiku, sekarang ini juga aku sudah cukup bahagia bersama orang tersayang dan rasa dihargai. Seperti kata Mak, 'hidup ini bukan boleh dinilai dengan semua kelulusan dan pangkat kedudukan yang ada tetapi darjat kita di sisi Allah. Semua yang kita ada adalah landasan sementara untuk kita menuju ke sana (akhirat). Yang penting kita berusaha sambil bersyukur kepada-Nya'.

Sekurang2nya kami sudah boleh mengecap kesenangan dengan adanya 2 buah kereta dan rumah sendiri walaupun tidak sehebat mereka. Jarak umur yang terlalu jauh dengan adik-beradik yang lain membuatkan jurang antara kami. Aku berada di tengah2 jurang itu kerana Abang Long, Kak Ngah dan Kak Lang masing2 jarak setahun kemudian aku 7 tahun dan terakhir adik yang sedang belajar di UIA, 8 tahun.

Siapalah tahu, mungkin di penghujung usia giliran aku pula yang tiba. Seperti mak, apabila berumur 50-an, barulah dia boleh mengecap kesenangan.

KISAHKU-3

"Dari mata kasar memang tak nampak. Kena scan juga, baru boleh tahu. Sebenarnya awak ada 4 ketulan keseluruhannya. Ketumbuhan ni U kena refer pada appointment yang akan datang." Kata2 doktor bagaikan petir berdentum di telinga. Semakin terukkah sakitku?

Ya Allah, tabahkanlah aku. Hari lahirku ke-31 akan disambut bersama AidilAdha. 27 November 2009...Sudah tiba ke masanya untuk aku pergi? Pergi ke mana Fida? Engkau masih takut dengan mati? Sepatutnya kau rasa bersyukur kerana sekurang2nya Allah telah memberi peringatan agar kau bersedia menemui-Nya. Ajal boleh datang bila2 masa. Orang yang tidak ada 'signal', tiba2 saja boleh mati. Kau beruntung Fida. Banyakkan amalanmu.

"Baby nak beg yang mana satu? Pilihlah yang elok. Sempena birthday B" Seronoknya aku bila suami membelikan aku sebuah beg dan kuali bersadur marble. Memang menjadi idaman punyai kuali itu tapi selalu terlepas membelinya kerana harganya agak mahal. Lagipun aku suka dengan kelengkapan memasak, tapi takdalah pandai memasak pun. Kadang-kala suami juga yang kena membantu. Mungkin sebab itu juga dia suka membeli alat memasak.

"Terima kasih Babang. B suka apa yang Babang belikan." Boleh ke aku menikmati hari seperti ini pada masa akan datang? Sudahlah Fida, kau tak patut banyak berfikir kerana akan mengurangkan imunisasi badanmu sendiri. Seperti kata Doaa," Stress and worry about something can weak your immune system which by turn may harm you more than u can imagine. Keep ur worried upon ALLAH and do ur best :)..."

Tiba2 aku teringat kenalanku Doaa, seorang doktor Ginekologist Egypt yang selalu memberi nasihat padaku. Dialah tempat aku luahkan segala masalah kesihatan walaupun ada jurang antara benua, aku boleh menghubunginya secara maya. Begitu juga dengan Maryanfaith yang berada di Filipina, kadang-kala aku rasa rindu untuk bersua. Walaupun jauh dan berlainan agama, aku sering mendapat tempat mengadu untuk simpatinya.

Hidup ini semakin berwarna dengan orang2 kesayangan, rakan2 dan pengalaman baru. Tapi sampai bila...yang tinggal hanyalah Allah yang sentiasa bersama kita.

KISAHKU-2

"Kereta kancil dah habis bayar, kita tambah satu lagi kereta barulah! Senang sikit nak berjalan jauh. Jangan beli yang membebankan kita, cukup sekadar kemampuan dan rasa senang nak bayar. Anak kita selalu sakit, sekurang2nya, dia selesa naik dan kurang hentakan bila jalan tak elok." Aku masih ingat lagi kata2 tadi. Aku memang niat untuk membeli kereta yang baru untuk kemudahan. Akhirnya sebuah saga BLM 1.3 dapat kubeli pada bulan April.

"Hari ni B balik kursus. Kereta tu siapa yang nak ambik? Nanti Babang terus ambik Daus lah. Daus macamana? Semput lagi ke dia?", aku sengaja mengingatkan suami yang aku akan pulang dari Kursus Better Spoken English hari ini. "Oklah, Babang tumpang Arafat pergi kerja, kan dia yang jual kereta tu. Nanti Babang ambik Daus. Dia asyik bertanyakan Mama mana. Kesian dia, jadi tak sihat bila B pergi kursus 5 hari. Tapi kalau Babang lambat, B lah yang ambik Daus. Dia rindu tu"

Seronoknya bukan kepalang bila kursus sudah tamat. Bila tiba di rumah, kereta baru masih belum muncul. Tapi bila terkenangkan anak yang baru kuambil dari nursery, keadaannya yang kurus kering mengejutkan aku dan timbul rasa kesal serta terharu melihatnya yang terlalu rindukan aku. "Maafkan Mama ye...Mama pergi kursus. Daus kena belajar berenggang dari sekarang. Kalau Mama dapat elak kursus lama, Mama takkan pergi. Tapi kursus juga penting untuk kerja Mama." Sedihnya aku menatap wajah yang murung dan tidak mengerti apa2 tentang ketiadaan aku kerana berkursus.

Itulah yang aku fikirkan, bagaimanalah agaknya jika aku pergi untuk selamanya. Bagaimana keadaan anakku nanti. Aku tetap meniti hari2 menanti dengan penuh persoalan. Bagaimanakah masa depanku kelak. Sempatkah aku menatap wajah anakku tika dia besar nanti. Aku tetap berusaha dan tawakkal kepada Allah untuk kesekian lamanya di atas muka bumi ini. Semuanya atas izin Allah.

Namun aku tetap yakin, hidup ini sudah diatur penuh rapi oleh Penciptanya. Jangan mudah diperdaya hanya dengan ujian yang sekelumit cuma kerana ada orang lain yang lebih susah tidak dijangka. Syukur Ya Rabbi, Kau anugerahkan aku harta yang paling bernilai dalam hidupku. Tidak ingatkah kau Fida, kau pernah diberitahu ahli fisioterapi yang kau berisiko jika mengandung. Orang pernah tertawakan kau kerana mana mungkin seorang lelaki boleh menerima perempuan yang berisiko sepertimu. Tapi, Allah Maha Kuasa. Dia yang menentukan segalanya. Lihat, dengan izin Allah, kau boleh punyai seorang anak yang comel dan badannya antap macam Babahnya. Dan dirimu tidak seperti yang dijangkakan, kau boleh hidup seperti orang lain dengan kaki yang boleh berjalan seperti biasa. Tidak ingatkah engkau semua itu.

"Kita kahwin bukan untuk sehari dua tapi sehingga akhir hayat. Biarlah apa orang nak kata, soalan you tu terlalu complicated. Percayalah, Tuhan yang tentukan semuanya. Siapalah kita nak menjangka masa depan. Kalau ada rezeki, ada lah anak. Kalau takde, kita ambillah anak angkat. Lagipun family I memang ramai yang ambik anak angkat. Kita cuba je dulu. Kahwin bukan semata2 untuk itu. Jauh lagi perjalanan hidup ni." Kata2 suami menguatkan semangat untuk aku teruskan niat mengahwininya. Terima kasih Babang, terima kasih suamiku.

KISAHKU-1

Sebagai penutup tirai 2009, ingin aku tatapkan sebuah kisah hidupku yang menjadi pedoman dan ingatan sepanjang hayatku.

Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah segala dosa2ku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Siapalah aku di sisi-Mu! Engkau Maha Pencipta seluruh alam. Aku hamba yang lemah dan hanya bergantung kepada pertimbangan-Mu. Amatlah sedikit amalanku terhadap-Mu ya Allah bahkan terlalu banyak kesalahan yang telah aku lakukan di atas muka bumi-Mu ini. Apakah darjatku pada-Mu ya Allah.

Aku bersyukur kepada-Mu kerana hingga ke hari ini aku masih bernadi. Aku kagum dengan kekuasaan-Mu yang telah menjadikan aku seorang manusia yang kuat dan tabah hadapi segala dugaan kerana aku yakin dengan kekuatan Pentadbir seluruh alam, Engkau memberikan nikmat yang tidak terhingga nilainya.

Dengan kekuasaan-Mu lah, aku masih bernyawa dan menghirup udara-Mu serta merasa kasih sayang keluarga tercinta. Dapatkah aku menempuhi tempoh hidup yang panjang lagi? Aku tidak dapat menduga percaturan-Mu yang telah disusun rapi di atas kehendak-Mu.

Malah aku juga tidak menduga ada insan lain yang pergi dulu atas kehendak-Mu jua ya Allah terutamanya kerana wabak H1N1. Aku bersyukur ke atas nikmat2Mu yang tak terhingga. Kerana kasih sayang-Mu aku masih di sini. Aku bermohon pada-Mu agar penyakitku pulih seperti sediakala. Aku yakin pada-Mu kerana Engkau Maha Berkuasa ke atas sesuatu.

Ya Allah, berikanlah ketabahan terhadap kesakitan yang aku lalui ya Allah. Sesungguhnya aku insan yang lemah dan aku bimbang aku hilang keimanan terhadap-Mu. Perteguhkan imanku agar sentiasa mengingati-Mu. Engkaulah tempat aku mengadu susah senang.

Berikanlah aku jalan keluar untuk menyelesaikan segala kekusutan hidup ini. Aku akur akan kebesaran-Mu ya Hafiz, ya Latif. Berilah petunjuk pada kami semua agar sentiasa berada di jalan kebenaran. Ya Allah, hilangkanlah kegusaran dan kesakitanku. Aku berlindung pada-Mu atas segala kemungkaran dan kejahilan serta berilah aku ilham agar mendapat jalan hidayah.

Ya Allah, sakitnya azab-Mu di dunia ini, apatah lagi di akhirat. Sudah bertahun2 aku merasakan kesakitan itu, namun tiada seorang pun yang dapat menjangka walaupun diri ini. Engkaulah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Engkaulah Pengatur Hidup yang paling hebat. Engkau Maha Pelindung. Aku insan lemah yang tidak sabar akan dugaan-Mu, dhaifnya aku ya Allah. Aku amat memerlukan-Mu dalam menempuh hidup ini.

Jauhilah kami semua dari ujian yang kami tidak mampu menempuhi-Nya, lindungilah kami dari segala kejahatan makhluk di muka bumi ini.Ya Allah, panjangkanlah umur kami dan kurniakanlah kesihatan yang baik. Aku bermohon pada-Mu agar elakkan diriku dari sebarang fitnah dan bahaya.

Aku semakin lemah untuk bercakap dan tidur menjadi keselesaanku untuk menghilangkan rasa sakitku walaupun sebenarnya tidak. Bukanlah maksudku untuk tidak mahu bermesra sesama jiran tetangga, rakan2 serta orang di sekelilingku, tetapi kesakitan yang semakin dirasa mengurangkan pergerakanku serta percakapan yang kadang-kala dirasakan penat. Engkau Maha Mengetahui. Mungkin terlalu banyak dosa2ku sehingga ditarik nikmat2ku.

Ya Allah, bulan hadapan merupakan penentuan untukku menerima keputusan. Aku berharap agar aku dapat belas kasih-Mu dengan keputusan dari doctor pakar bedah nanti. Entahkan berita baik, entahkan buruk, hanya Engkau sebenarnya yang menentukan takdirku. Engkau lah yang telah membuatkanku cinta dan kasih terhadap sesama insan kerana sepanjang kesakitanku, ada insan yang telah memberi sokongan serta panduan sehingga aku merasakan diri ini amat rasa kasih pada-Mu di atas nikmat itu.

Kadang-kala aku terfikir, adakah aku akan melakukan perkara yang sama sepertimana insan lain mengasihiku? Aku berharap segala jasa dan kasih suami serta kaum keluarga tidak kulupa malah ganjaran yang lebih baik terhadap kami semua di atas kesabaran perjalanan ini. Nikmat2Mu tidak terhingga. Kami sebagai hamba-Mu hanya merancang tetapi Engkau yang menentukan.

Pintaku, berilah aku peluang untuk pulih semula dari sakitku ini dan panjangkanlah umurku agar dapatku beramal dan bertaubat kepada-Mu serta dapat melihat sendiri anak2 ku (insya Allah) membesar di depan mataku sebagai hasil iman yang kuat dan menjadi insan yang berjasa kepada masyarakat. Sesungguhnya aku memang inginkan zuriat keturunanku hidup dalam keadaan aman bahagia dengan berlandaskan syariat-Mu.

Aamiiin…Tiada noktah perjuangan dalam kehidupan. Mati itu pasti dan hidup itu insya Allah.

NOR AFIDAWATI BINTI MASUAN
10.09.2009

Itulah yang aku ucapkan di kala kesusahan dengan ujian yang menimpa. Namun aku tetap tabah dengan pelbagai kemungkinan yang akan terjadi kelak. Sampai bila akan aku kekal dengan ketabahan, aku sendiri tak pasti. Cukuplah, jangan orang lain ingin mencemburui hidup aku sekeluarga. Aku takkan berundur kalah hanya kerana sesuatu yang bukan kerana-Nya.