Thursday, September 8, 2011

Hari ini cukup indah buatku. Syukur alhamdulillah kerana dianugerahkan rasa bahagia ini setelah aku rasakan kekosongan jiwa tanpa nur, akhirnya aku mengerti apabila datangnya bulan yang penuh barakah yakni bulan Ramadhan yang lalu.

Pengisian jiwa pada bulan Ramadhan itu, membuakkan rasa penuh kecintaanku terhadap Maha Pencipta yang Esa. Satu-persatu ilham muncul tanpa diduga apabila aku di dalam kesempitan yang aku tidak tahu dengan cara apa yang perlu dibuat. Aku mohon ketepatan pilihan untukku memudahkan perjalanan hidup ini. Di samping amalan tadarrus di pejabat, menambahkan lagi rasa insaf kerana terdapat kelemahan di dalam bacaan al-Quran terutama dari segi sebutan ayat yang tersangkut kerana tidak faham akan maknanya dan jarang2 sekali membacanya. Dalam masa setahun, asyik2 membaca juzuk pertama kerana niat untuk berkhatam sentiasa ada tetapi tidak pernah terlangsai melainkan semasa mengandungkan Aus. Itulah seingat aku, usaha yang paling nekad untuk selesai berkhatam.

Kesempitan yang kumaksudkan adalah kekangan wang untuk memberi pendidikan yang sempurna untuk anak yang semakin membesar. Bukanlah terlalu mendesak sehingga tiada langsung sumber rezeki, tetapi aku sendiri leka dengan nikmat dunia yang terlalu banyak di depan mata. Perubahan teknologi yang terlalu mencabar masa. Belum pun sempat sesuatu alat ataupun barang dipakai, sudah terpamer keluaran baru yang lebih canggih tetapi terlalu mudah pula nilai sesuatu barang itu susut. Makanan pula boleh didapati bila-bila masa, boleh dipesan dari rumah dan sampailah makanan itu tanpa kita ke kedainya. Malah ramai manusia yang mati akibat makanan berlebihan, tidak seperti orang2 terdahulu, mati kerana kebuluran seperti yang masih ada di sesetengah negara Islam lain. Sayangnya sebutir nasi tidak dimakan, boleh kita buangkan saja setelah selesai makan yang masih bersisa lebihan itu. Sedangkan di tempat lain, ada orang yang terpaksa berbuka puasa dengan seteguk air dan terpaksa menyambung puasa sehingga hari esoknya dan seterusnya. Ada pula yang berebut makanan kerana bencana dan sebagainya. Belum lagi tempat tinggal, pakaian, dan lain2 keperluan mereka. Adakah di waktu itu pula baru rasa kesal bagaimana mahu menyempurnakan solat dan bermohon kesenangan. Ya Allah, jauhkanlah kami dari kesusahan itu kerana bimbang akan tahap iman dan kepayahan melakukan ibadah.

Aku bersyukur kerana aku masih boleh berpakaian bersih dan cantik untuk menghadap Allah. Itulah bekalanku ketika solat selain rukun-rukunnya, aku perlu pastikan pakaianku bersih supaya diperkenan doaku. Aku malu berhadapan dengan-Nya kerana dhaif diri ini terlalu sedikit amalanku di dunia tetapi bermacam2 harapan doa yang kupinta. Siapalah aku di sisi-Nya kerana terkadang2 solat pun lewat. Entah ke berapa juta giliranku untuk diperkenan doa saban hari berbanding dengan orang lain yang berjemaah di masjid mahupun di rumah atau bersendiri dengan tepat waktunya.

Terdengar aku dalam ceramah Ramadhan, Allah sukakan hambaNya yang bersujud lama kepada-Nya. Jika kita inginkan sesuatu, sujudlah dengan memperbanyakkan amalan solat sunat seperti terawih, tahajjud dan sebagainya serta witir di hujung waktu malam yakni hampir habis sahur yang terbaik kerana mungkin kita masih mahu menambah solat sunat yang lain di antara waktunya. Selain itu, banyakkanlah bersedekah kerana ianya dapat membersihkan diri kita serta membacalah al-Quran kerana ia adalah peguam bela kita kelak setelah kita mati.

Aku masih ingat lagi, aku bangun pada waktu malam pada Ramadhan yang lalu untuk menunaikan solat sunat dengan tekad dan harapan. Dengan rujukan Buku Panduan Solat Sunat, kerana inilah kali pertama aku bangun malam untuk bersolat setelah sekian lama aku tinggalkan ia sejak zaman persekolahan, banyak perkara ilmu agama yang kupelajari dulu telah hilang kerana tidak diamalkan. Tinggallah sisa-sisanya sahaja dan tidak begitu yakin bagaimana untuk melakukannya. Sedangkan cukuplah mudah. Itulah imanku pada waktu itu, walaupun mudah tetapi dek kerana sudah lama ditinggalkan, rasa payah. Mengapalah aku tidak lakukannya sebelum ini sewaktu aku tidak boleh tidur malam kerana pelbagai gangguan. Kenapalah aku tidak terfikir dengan cara bersolat malam, aku boleh memohon kepadaNya supaya menjaga keselamatan diriku sekeluarga dan jauhi kami dari bisikan syaitan dan kedatangannya. Betapa ruginya aku kerana tidak kenal akan hikmah solat.

Sujudku padaNya dengan bacaan tasbih, harapan dan segalanya kuluahkan padaNya kerana kesusahan yang kualami tidak dapat dirasai oleh orang lain tetapi hanyalah Allah saja yang Maha Mengetahui segalanya. Wahai Allah, dengan KebijaksaanMu yang Agung, berikanlah kami sekeluarga ketenangan hidup dan berilah ketepatan pilihan untukku memilih jalan yang paling mudah untukku menyekolahkan anak kerana di tempat tinggalku, masih belum wujudnya sebarang sekolah rendah mahupun menengah. Pastinya, kos yang tinggi perlu disediakan oleh kami untuk memberi pendidikan yang terbaik untuk anak kami ya Allah. Hindarkanlah kami semua dari segala kejahatan makhluk di muka bumi ini. Jauhilah kami dari hasad dengki manusia dan fitnah. Hajatku untuk menghantar anak mengikuti program English Intensive Class pada hujung minggu tidak dipersetujui oleh suami dan ibuku sendiri. Aku buntu untuk memilih tempat yang terbaik untuk anakku. Permudahkanlah urusan anakku untuk mengikuti kelas renang. Aku amat bermohon padaMu untuk permudahkan jalan itu dan keluarkan aku dari kebuntuan ini.

Bermacam-macam lagi yang kupinta daripada Allah tetapi siapalah sangat aku ini yang kerdil di kalangan manusia. Biarlah aku meminta padaNya, kerana Dialah tempatku bergantung harap. Setelah pelbagai ujian kutempuh, cukuplah sudah itu semua. Pernah satu ketika dulu, setiap kali penghantaran barang baru ke rumah kami, ada saja halangannya. Ada yang tidak nampak jalan, ada pula yang lori rosak dan sebagainya. Terlalu banyak ujian untuk kami menempah kesenangan. Sehingga wujud rasa buruk sangka terhadap orang lain yang mungkinkah semuanya berlaku di atas kawalan mereka yang berhasad dengki. Aku tetap nantikan keterbukaan hati mereka untuk bertaubat.. Aku hadapi dengan tabah dan lebih memuncak keyakinanku terhadap Allah kerana Dialah Penentu segalanya. Dengan kehendakNya, apa sahaja yang dikehendakiNya akan terjadi. Memang Dialah tempatku mengadu, tiadalah yang lain. Allah lah Penjaga keselamatan kami sekeluarga... Istighfar dan rasa kesal dengan buruk sangka tadi. Ya Latif Ya Hafiz.

Setelah beberapa hari, ilhamku untuk bertanyakan kelas extra untuk anak tiba-tiba terbit. Mana tidaknya, menghantar anak ke kelas intensif ke sekolah tadika yang lain agak mahal. Kemungkinan anak juga agak sukar berinteraksi dengan guru baru yang tidak dikenali dan cara pembelajarannya agak berbeza dengan tempat dia bersekolah sekarang. Akhirnya keputusan muktamad dengan jalan yang jauh lebih mudah hadir tiba-tiba apabila pihak tadika bersetuju mengadakan kelas intensif untuk Aus.

Mungkin inilah titik permulaan untuk mengatasi masalah menyekolahkan anak di sekolah rendah kelak. Sebenarnya aku terfikir untuk menyekolahkan Aus di salah sebuah sekolah yang agak sukar untuk memasukinya kerana Aus perlu menduduki peperiksaan dan temuduga terlebih dahulu. Hanya anak yang terpilih sahaja boleh memasukinya. Jika itulah jalan yang terbaik, semoga dipermudahkan jalan untuk mencapainya. Tidaklah aku memikirkan soal transit kerana semua sekolah yang ada adalah di luar kawasan daerah. Amatlah jauh serta memerlukan kos yang tinggi. Tambahan pula, aku berniat untuk menghantar Aus ke sekolah aliran agama supaya bukan setakat ilmu bahkan seimbang dari segi rohani dan jasmaninya. Oleh kerana itu, aku sanggup menghantar Aus untuk belajar renang agar kebolehan ini dapat menjadi bekalan Aus kelak. Kos untuk mengikuti kelas ini, tidaklah semahal yang aku jangkakan sebelum ini. Alhamdulillah....aku harap, anak yang dikatakan sebagai amanah ini diutamakan terlebih dahulu seiring pencarian harta lain untuk meneruskan hidup menuju ke akhirat. Jika tidak silap, berenang, memanah dan berkuda dikatakan sebagai sunnah Rasulullah S.A.W. Jika benarlah, kitalah yang tidak peka dengan sunnahnya kerana tidak tahu dan pasti ada hikmah di sebalik perkara sunnah ini.

Sebenarnya banyak perkara yang kita tidak sedar tentang sunnah baginda. Aku terdengar melalui ceramah Ramadhan, memasukkan makanan ke dalam mulut dengan menggunakan tangan kanan juga adalah amalan baginda. Tetapi ramai antara kita yang menggunakan tangan kiri untuk menyuap makanan Barat dengan memegang garfu di tangan kiri dan pisau di tangan kanan termasuklah diriku sendiri. Sepatutnya habis memotong dengan pisau, tangan kanan juga yang perlu menyuap makanan. Aku berharap, dengan pencarian ilmu untuk berbalik kepada fitrah, dapatlah kiranya aku kemudahan dalam menempuh hidup dengan tenang dalam iman. Mustahil hidup tanpa masalah. Hanya Allah sentiasa bersama orang yang beriman.