Wednesday, January 13, 2010

KISAHKU-22

Kami bersolat di Surau An-Nur di Seksyen 20 Shah Alam. Setelah menyantap makanan di Pizza Hut dengan pelbagai juadah, kami tidak lupa untuk menghadap Allah. Sedapnya makanan di situ dengan beberapa tawaran yang menarik membuatkan kami memesan bermacam jenis makanan. 'Regular Pizza Set' dengan citarasa 'Chicken Supreme', ditambah dengan 'Iced Milo', 'Fruity Fizzi' dan 'Mocha Frappe' serta 'Cheese Baked Rice', 'Chicken Wings', Aiskrim dan 'Bolognise Spaghetti'. 'Mushroom Soup', 'Garlic Bread' dan salad pula menjadi pembuka selera sementara menunggu makanan yang lain siap. Sungguh mengenyangkan.

Sesampainya kami di surau, kami segera menunaikan solat Maghrib kerana bimbang waktu Isyak semakin hampir. Sempatlah kami mendengar pembelajaran Al-Quran di kalangan masyarakat tempatan. Inilah kali pertama buat Daus menjejakkan kaki ke surau melihat orang bersolat jemaah. Apabila terkenangkan suasana tenang itu, lahir sebuah keinsafan. Selepas selesai solat Isyak, kami pergi menuju ke destinasi seterusnya kerana ada hal yang perlu diselesaikan iaitu rumah Tok Abah.

Sebenarnya memang sebelum ini kami ingin berjumpa Tok Abah tetapi banyak hal lain yang menjadi halangan. Lagipun kami akan menjemput orang untuk membaca Surah Al-Baqarah di rumah, sudah tentu suami akan sibuk menyusun masa dan bicara bersama Tok Imam terdekat untuk tujuan itu. Orang yang dijemput juga tidaklah ramai memandangkan bacaan surah itu yang cukup panjang.

Namun beberapa hari lagi bacaan surah itu akan dialunkan, aku teringatkan nasib malang yang menimpa diri hanya perbuatan manusia yang suka menganiaya. Aku berfikir sambil mendengar lagu melalui 'earphone'. Ketika itu kerja di pejabat sudah dibereskan. Tiada apa lagi yang perlu dibuat, melainkan jiwa yang tiba2 terusik dengan peristiwa lalu. Terkenangkan rakan2 yang sama 'batch' masuk kerja denganku, ada yang sudah berganjak ke depan dengan kerjaya yang semakin baik. Aku hanya di sini dengan tiada perubahan melainkan nasib yang diatur oleh hasad dengki insan lain. Walaupun aku bersyukur dengan nikmat yang dikecapi, aku terfikir juga ujian yang datang adalah bahagian masing2. Tambahan pula, aku tidak menanggung sebarang pinjaman belajar daripada mana2 sumber. Itu juga dikatakan cukup beruntung.

Dalam kesedihan, tiba2 ada sesuatu yang lebih membuatkan aku sedih. Aku sendiri tidak pasti apakah perasaan itu. Diri hampir2 tidak boleh dikawal kerana perasaan sedih yang bercampur baur membuatkan aku menangis keesakan. Entah kenapa jiwa terasa terlalu lemah sehingga aku tidak dapat mengawal diri dan mata pandanganku menjadi kabur dengan duniaku tersendiri. Mujurlah ada rakan2 pejabat yang datang ke tempatku dan menegur akan perubahan itu. Suara menyuruhku membaca istighfar kedengaran berada dekat denganku serta sentuhan di lenganku yang membuatkan aku tersedar. Lantas aku mencari kitab suci al-Quran terjemahan yang berada di atas meja. Aku menyelak satu persatu helaiannya untuk membaca Surah Al-Jin dan As-Soffat. Mereka yang lain kemudiannya bersurai setelah melihat keredaan aku.

Kebetulan malam itu kami ada masa berjumpa Tok Abah. Kami memanggilnya Tok Abah kerana dia merupakan datuk saudara kepada Mak. Nama sebenarnya aku tidak tahu. Dia juga merupakan Pawang Diraja Negeri Selangor setelah bersara daripada menjadi Tok Imam Besar Negeri Selangor. Banyak rahsia istana yang diketahuinya tetapi tidak pernah diceritakannya kerana dikatakan sulit dan rahsia. Sesampainya kami di hadapan rumahnya, kelihatan tetamu lain sedang berada di rumahnya menyebabkan kami menunggu seketika dan tidak mahu mengganggu tetamu itu. Setelah mereka selesai, tibalah giliran kami untuk bertemunya. Dengan bacaan ayat2 suci al-Quran, dihembuskan pula ke dalam air yang kami bawa. Dia berkata,"Nampaknya ada lagi di rumah ni...". Aku mendengarnya dengan teliti. Tetapi tidak bertanyakan lebih lanjut.

Selagi tidak mengajak Tok Abah sendiri datang ke rumah, aku berasa tidak puas. Maklumlah, sudah banyak peristiwa yang terjadi tahun lepas dan pernah juga didatangi alamat melalui mimpi berkenaan penghuni asal tempat itu. Memang ada yang tidak kena dengan rumahku dan diriku sendiri. Setelah kami berbincang, akhirnya Tok Abah bersetuju untuk datang ke rumah kami tetapi belum ditetapkan lagi tarikhnya. Oleh kerana Tok Abah memang padat dengan jadual mengajar di Masjid Negeri ataupun hal2 istana, kami perlu akur dengan masa yang tidak boleh ditetapkan itu melainkan masa lapangnya.

Setelah pulang ke rumah, aku sanggup bersengkang mata untuk memastikan suami tidak lupakan pesanan Tok Abah. Apabila tepat jam 12.00 malam di mana waktu benda ghaib itu mula berkeliaran, kami memulakan operasi 'spray' di seluruh rumah dengan air yang baru dibacakan Tok Abah tadi. Aku menemankan suami melakukan operasi itu sambil memerhatikannya. Sepertimana kata Tok Abah, jika terasa seram sejuk ketika melakukannya, perlu diteruskan juga dan jangan berhenti. Daus pula sudah terlena di katilnya.

Keesokan harinya kami kembali bertugas seperti biasa. Walaupun Daus ada merengek ketakutan pagi itu seolah2 ternampakkan sesuatu dengan berkata "Hantu...", tetapi aku sudah tidak pedulikan lagi semua itu kerana Allah Maha Kuasa dari segalanya. Hanya kitalah yang perlu yakin dengan kuasa Allah dan jangan biarkan jiwa kita kosong tanpa sebarang pengisian yang berfaedah..

No comments:

Post a Comment