Friday, January 15, 2010

DAUS

Bahagian 1

Ramai orang memanggilnya Daus. Nama sebenarnya Ahmad Nor Firdaus, nama yang cukup cantik maksudnya. Dia semakin pintar berinteraksi bersama kedua ibu bapanya walaupun baru berusia 2 setengah tahun. Sikapnya yang manja betul2 menambat hati mereka dan kadang kala agak pemalu terhadap orang yang kurang dikenali.

Kelahirannya yang mendatangkan seribu kenangan membuatkan mereka semakin dewasa dalam membesarkan anak sendiri. Pada awalnya agak kekok memegang bayi yang baru dilahirkan tetapi ibunya semakin belajar akan erti sebuah kehidupan yang lebih bermakna itu. Berbeza dengan ayahnya atau panggilannya sebagai Babah, lebih mudah serasi dengan bayi sekecil itu kerana sudah biasa beradik ramai. 'Mama' panggilan untuk ibunya. Mama sentiasa berusaha untuk memberi kasih sayang yang sempurna untuk Daus. Keadaan Mama yang sentiasa inginkan keselesaan Daus memberi galakan terhebat untuknya supaya lebih cermat menggunakan wang demi membesarkan anak tercinta.

Namun kehidupan sebuah keluarga tidak sentiasa yang disangka. Daus selalu mengalami demam panas dan kadang-kala sesak nafas. Akibat selalu demam selsema, akhirnya Daus mengalami asma ketika usianya 1 tahun. Dia juga sudah putus menyusu ibu. Mungkin kerana itu, antibodi badannya sendiri tidak kuat melawan serangan penyakit itu. Boleh dikatakan setiap minggu Mama dan Babah akan menghantar Daus yang sedang sesak nafas ke Hospital Putrajaya, tempat Daus dilahirkan untuk mendapatkan rawatan segera. Kali pertama Daus disumbatkan kerana corong pernafasan gas bagi membantu pernafasannya, dia sudah mula menangis dari awal kerana tidak biasa dengan keadaan itu. Akhirnya, setelah dirasakan selesa dengan pernafasan yang baik, dia sudah mula biasa dan senang dengan keadaan itu.

Pernah Mama cuba bawakan Daus ke klinik pakar kanak2 swasta di Puchong, sanggup berhabis duit RM300 sebulan untuk meredakan sakit Daus. Tetapi kerana kesempitan wang, rawatan sedemikian tidak lagi diikuti. Akhirnya Mama cuba berusaha dengan cara lain supaya penyakit Daus berkurang. Mana tidaknya, semakin lama semakin kerap Daus sakit sehingga Daus terpaksa dimasukkan ke wad selama 3 hari. Oleh kerana itu, Mama usahakan cara perubatan Islam dengan memberi Daus makan Jus Kurma dan Air Za'faron. Berbulan juga usaha itu diamalkan dan alhamdulillah, Daus sudah semakin pulih daripada semputnya itu.

Daus kini sudah semakin cerdik berbicara. Ngomelannya bercerita dan berceloteh betul2 mencoret kenangan sejak dia mula2 pandai bercakap dengan perkataan 'Mama' dan 'Babah'. Selalunya mereka akan bertanya Daus setiap hari tentang bagaimana Daus di sekolah. Tetapi sekarang, Daus pula yang akan bertanya itu dan ini pada mereka. Pernah selepas Babah pulang dari surau, Daus terus bertanyakan Babah,"Abah dah makan?". Aku tersenyum mendengarnya. Pandai betul anak kecil ini mengambil hati orang tuanya. Daus memang suka mengambil berat. Jika Mama atau Babah sakit, dia akan mengurut mereka di tempat yang sakit. Pernah juga dilihatnya Mama berbekam, Daus turut memerhatikan Mama tanpa rasa takut dan bertanya itu dan ini dengan bahasa pelatnya kepada orang yang membuat bekam pada Mamanya.

Itulah Daus, anak kecil yang tidak mengerti apa2 kesusahan yang dilalui Mama dan Babahnya. Walaupun jauh di sudut hati, biarlah kesusahan itu ditelan mereka berdua demi membesarkan anak kesayangan supaya menjadi insan yang soleh dan cemerlang dunia dan akhirat.

Search this link : Baby Aus

No comments:

Post a Comment