Monday, January 4, 2010

KISAHKU-16

Aku meneliti setiap bait kata di dalam rencana ini. Berkenaan Adat Perpatih yan ingin kukenal dengan dalam dan kerana Pakcik yang kusedar pernah menjadi Penghulu suatu masa dahulu. Bagaimana agaknya adat di kalangan daerah tertentu di negeri itu, aku belum tahu. Sengaja menyelongkar kisah sejarah yang mungkin ada kaitannya dengan apa yang pernah terjadi pada tahun lalu. Tibalah masanya aku menyelinap setiap sejarah masa dahulu sebagai pengetahuan dan pedoman pada tahun baru ini. 2010 yang bakal mencorak warnanya dengan penuh kepelbagaian rasa yang belum diketahui. Antara isi kandungannya ialah:

'Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masihi. Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.


Struktur Masyarakat Adat Perpatih

Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan.

Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga.

Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.

Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.

Prinsip-prinsip Adat Perpatih

Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.

1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.

3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.

5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pembahagian harta

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalahfahamkan. Sebenarnya, pemberian pusaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).'

Aku ingin merungkai pula beberapa perkataan yang dirasakan amat penting untuk diketahui. Dikatakan juga puak yang terawal sahaja yang berkaitan dengan perlantikan jawatan dan puak yang terkemudian adalah tidak berkaitan. Aku mula menelah sendiri, mungkin tidak semua yang terlibat secara langsung dengan adat ini. Lalu aku menyelam perkataan yang agak mengelirukan, 'saka dan berkedim'.

'Saka merupakan merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan memelihara diri. Saka ini dikatakan terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa. Saka ini biasanya diwarisi turun-temurun oleh waris walaupun tanpa pengetahuan mereka. Saka ini biasanya perlu dijaga dengan dijamu acak (telur, ayam panggang, pulut kuning) sesuai menurut persetujuan tuan asalnya. Biasanya pemilik saka akan memanggil saka mereka dengan pelbagai panggilan termasuk akuan, datuk, sahabat, pendamping dan lain-lain panggilan.

Saka ini perlu diwariskan kepada orang lain sebelum tuannya mati. Sekiranya tidak, pemilik saka sukar mati atau sakanya membuat onar dengan mengganggu jiran-jiran pemilik lamanya.

Pada kebiasaannya saka ini diwarisi di kalangan keluarga pemilik asal, tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa saka ini boleh diwariskan kepada kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula terdiri sama ada menerusi perbuatan seperti bersalaman atau menerusi lafaz seperti: “engkaulah sahabat aku dunia dan akhirat.”

Ilmu saka ini biasanya dituntut sebagai cara memelihara diri atau harta benda daripada musuh. Terdapat pelbagai jenis saka, bergantung kepada tujuan dan matlamat pemilik asal dan jenis saka/jin yang dirapati. Selain itu, ia juga boleh digunakan bagi menewaskan musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Saka ini boleh digunakan bagi membantu pemiliknya dalam kerja seharian, seperti bertani, memburu dll. Sebagai contoh saka telinga, membolehkan tuannya mendengar pergerakan haiwan semasa memburu.

Jenis-jenis saka

Saka merujuk kepada semua jenis jin/syaitan yang didampingi oleh seseorang dan ini termasuk:-

1. Bajang
2. Toyol
3. Polong
4. Pelesit
5. Hantu raya
6. Saka haiwan contohnya saka harimau
7. Puntianak
8. Langsuir
9. Penanggal
10. Pocong

Berkedim atau dalam loghat Negeri Sembilan disebut 'kodim' adalah satu upacara di mana seseorang diterima masuk menjadi ahli sesuatu suku dalam masyarakat Adat Perpatih. Seseorang itu boleh menjadi ahli sesuatu suku atas dua sebab:

(1) Orang luar yang bukan daripada kalangan masyarakat Adat Perpatih tetapi ingin menjadi ahli sesuatu suku atas sebab-sebab perkahwinan.

(2) Seseorang dalam masyarakat Adat Perpatih yang ingin menukar sukunya kepada suku lain atas sebab mahu berkahwin dengan seseorang dalam suku asalnya atau untuk kepentingan pembahagian harta pusaka.

Berkedim ini mempunyai tiga taraf iaitu :
(i) Kedim adat dan pesaka (untuk membolehkan mewarisi harta pesaka atau membeli harta dalam suku yang disertainya)
(ii) Kedim adat pada lembaga (untuk tujuan persaudaraan)
(iii) Kedim Tarik (lazimnya untuk anak angkat yang dibawa menyertai suku ibu angkatnya). Taraf kedim ini akan ditentukan oleh muafakat ketua-ketua adat dalam suku berkenaan.

Upacara berkedim bermula dengan Buapak dan Dato' Lembaga mengistiharkan kepada anak-anak buah perut dan suku yang hadir. Ini diikuti dengan acara bercicah darah dan tepung tawar. Bercicah darah ialah semua yang terbabit dalam upacara itu memasukkan jari ke dalam bekas yang berisi darah. Darah yang digunakan ialah darah kambing, lembu atau kerbau yang disembelih sebelum upacara bermula. Semasa bercicah darah mereka yang terbabit akan melafazakan taat setia dan bersaudara dengan suku yang disertainya. Upacara berakhir dengan doa selamat.

Orang Minangkabau merupakan penduduk asal kawasan yang kini dikenali sebagai Sumatra Barat di Indonesia. Kebudayaan mereka adalah bersifat keibuan (matrilineal), dengan harta dan tanah diwariskan dari ibu kepada anak perempuan, sementara urusan ugama dan politik merupakan urusan kaum lelaki (walaupun sesetengah wanita turut memainkan peranan penting dalam bidang ini). Kini sekitar separuh orang Minangkabau tinggal di rantau, majoriti di bandar dan pekan besar Indonesia dan Malaysia. Orang Melayu di Malaysia banyak yang berasal dari Minangkabau, mereka utamanya mendiami Negeri Sembilan dan Johor.

Walaupun suku Minangkabau kuat dalam pegangan agama Islam, mereka juga kuat dalam mengamalkan amalan turun-temurun yang digelar adat. Beberapa unsur adat Minangkabau berasal dari fahaman animisme dan agama Hindu yang telah lama bertapak sebelum kedatangan Islam. Walaubagaimanapun, pengaruh agama Islam masih kuat di dalam adat Minangkabau, seperti yang tercatat di dalam pepatah mereka, Adat basandi syara', syara' basandi Kitabullah, yang bermaksud, adat (Minangkabau) bersendi hukum Islam dan hukum Islam bersendi Al Qur'an.



Di Minangkabau Adityawarman digelari dengan Dato' Ketumanggungan yang mengasaskan Adat Koto Piliang, sistem adat menurut asas aristokrasi atau raja beraja.

Berbeza dengan adiknya seibu Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang yang mengazazkan sistem adat Bodi Caniago atau adat Perpatih sempena dengan namanya.



Adityawarman dipercayai telah menubuh kerajaan Pagar Ruyung dan memerintah di kawasan Sumatra tengah dari 1347 hingga 1375 dan menguasai perdagangan emas di sana. Beberapa artifak yang ditemui dari era pemerintahan Adityawarman ini termasuk batu-batu yang mengandungi inskripsi dan beberapa tugu-tugu. Artifak-artifak ini kebanyakkanya dijumpai di Bukit Gombak, sebuah bukit yang berdekatan dengan kawasan Pagar Ruyung moden, dan dipercayai telah berdiri sebuah istana di sana.

Masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan

Pada permulaan abad ke-14, orang-orang Minangkabau mula tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini lebih bertamadun daripada penduduk asal iaitu, Orang Asli, dan berjaya tinggal secara damai dengan mereka. Dengan itu berlakulah pernikahan antara orang-orang Minangkabau dengan penduduk asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda. Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih seorang pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba adalah dari Tanah Datar dan Payakumbuh.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil 'Penghulu' dan kemudiannya 'Undang'. Sebelum wujudnya institusi Yang di-Pertuan Besar, Negeri Sembilan berada di bawah naungan kerajaan Melayu Johor.'

Aku sudah semakin faham. Mungkin apabila seseorang telah menerima sesuatu jawatan tertentu, bermakna dia akan menerima sekali sebarang saka yang disertakan bagi tujuan tertentu seperti untuk menjaga kampung, pertahankan diri dan sebagainya. Mungkin juga amalan2 yang terdahulu sudah tidak dilakukan tetapi 'saka' yang selama ini perlu diwarisi, boleh membelenggu pewarisnya. Oleh kerana itu, ada juga yang tidak diketahui Pakcik akan apa yang ada pada dirinya selain ilmu yang dituntutnya sendiri. Aku biarkan sahaja persoalan itu, kerana semuanya sudah terlanjur. Tiada gunanya lagi dikesalkan. Tidak ada seorang pun yang mahukan sesuatu yang tidak baik dalam hidup. Hanya kitalah yang perlu lebih tawadduk dan bertaqwa kepada Allah untuk berlindung daripadaNya.

No comments:

Post a Comment