Wednesday, January 6, 2010

KISAHKU-18

Aku membaca Ayat Kursi. Itulah yang selalu dilakukan, mulutku sentiasa berkumat-kamit menyebut kalimah Allah walau berada di mana sekalipun melainkan tandas atau tempat kotor. Mungkin inilah yang dikatakan hikmah. Jika ujian seperti ini tidak berlaku dalam hidup, kita alpa mengingati Allah. Terutama pergi ke mana2 di 'shopping mall', kita lebih enak membuai rasa menikmati pandangan mata dengan pelbagai barangan dan servis di sana sini. Tambahan pula 'food court' yang tersedia dan 'sale' dengan tawaran yang hebat, boleh melalaikan kita untuk mengerjakan ibadah solat. Kadang-kala ianya menjadi keutamaan yang kedua ataupun ketiga ataupun entah yang ke berapa. Mata lebih mengejar benda keduniaan berbanding mencari pintu surau.

Kenangan bersama keluarga masih diingat ketika tahun baru. Kami menaiki 'tren' KLIA Transit dari Putrajaya Sentral sambil menghantar bapa mertua untuk pulang ke Ipoh. Setelah selesai menghantarnya untuk menaiki tren luarbandar, kami bercadang pergi ke KLCC dengan menaiki Rapid KL. Anakku amat gembira dengan perjalanan itu kerana inilah kali pertama dia menaiki tren. Matanya sentiasa meliar melihat ke luar untuk menikmati keindahan bandar sepanjang perjalanan tanpa tidur.

Akuaria KL..tempat tuju yang pertama setelah mengalas perut dengan sedikit Roti Boy dan air tin sebelum ke tempat yang kami belum pernah masuk. Dengan harga tiket RM58 untuk 2 orang kerana Daus belum mencapai 3 setengah tahun, akhirnya kami sampai juga menjelajah akuarium terbesar itu. Dengan 'show' teater berkenaan 'Fish Feeding', Daus amat seronok dengan kecekapan penyelam profesional melakukan tugas mereka memberi makan pelbagai jenis ikan, kura2 gergasi dan belut besar. Aku juga dapat merasakan pengalaman itu sungguh menceriakan kerana sememangnya aku juga sukakan ikan. Kerana itu terdapat beberapa jenis ikan yang kubela di rumah termasuk lampam, sepat dan puyu. Apabila pulang, kami sempat membelikan Daus sebuah bantal berbentuk ikan Nemo sebagai kenangan di Akuaria.

Keesokan harinya pula, kami singgah ke Klang untuk menikmati Sushi dan Bento. Memang sudah menjadi kegemaranku, Unagi(Belut) Bento berharga RM38 satu set yang mengandungi Cawanmushi(Telur Kukus bersama kicap cair dan cendawan), Udang Tempura, sayur, salad, buah dan semangkuk nasi. Suami pula dengan Chicken Bento yang sudah menjadi kebiasaannya apabila datang ke situ. Aku tidak begitu sukakan dengan ayam di kedai Jepun kerana berasa was-was dengan cara penyembelihannya walaupun aku tahu ada pekerja Melayu yang bekerja di situ. Entah kenapa, aku kurang berminat.

Di samping itu, kami memesan Cream Oyster 2 set kerana tawaran harganya murah dengan RM9.90 satu set. Ini yang paling digemari kami kerana ianya memang lazat dimakan sehingga tidak boleh berkongsi set yang sama. Set Sushi dengan Raw Salmon, tidak ketinggalan dipesan kerana ia adalah kegemaran suami. Hot Ocha yang boleh ditambah tanpa caj adalah minuman yang kami pesan. Ia merupakan minuman kebiasaan di kedai Jepun dan diperbuat daripada Green Tea. Wasabi yang pedas peda dan berangin di hidung apabila memakannya serta Jeruk Halia adalah pembuka hidangan sebelum hidangan makanan yang seterusnya. Namun aku tidak sukakan wasabi kerana tidak kena dengan seleraku. Daus pula hanya memakan Cawanmushi yang satu2nya makanan yang kena dengan seleranya.

Aku masih ingat lagi, kami telah singgah di Restoran Saba, Cyberjaya bersama2 bapa mertua. Citarasa orang tua memang payah untuk ditelah. Dia tidak begitu gemarkan nasi Arab kerana tidak biasa memakan makanan2 Asia Barat. Kami serba salah dengan keadaan itu dan tidak menyangka yang selera tuanya tidak begitu gemarkan makanan orang sana. Walaupun dia hanya menjamah sedikit untuk mengisi perut, minuman teh yang dipesan memikat hatinya kerana mengandungi rasa daun pudina. Kebab Shawerma juga menambat hatinya kerana apabila menjelang malam, dia lebih sukakan makanan ringan kerana usianya yang tua perlu mengawal diet makan. Kami memang suka singgah ke Saba, harganya yang agak berpatutan dan makanannya yang banyak dan sedap menjadi daya tarikan pengunjungnya. Makanan yang paling digemari ialah Ayam Kabsah(Ayam yang dimasak dengan rempah) ataupun Hanith(ayam berempah yang dibungkus masak di dalam aluminium foil).

Apabila teringatkan banyak tempat2 makanan yang sedap, pernah juga kami singgah ke Flaming Steamboat di Sunway pada bulan Disember lalu. Ianya sebuah tempat yang menyediakan pelbagai makanan laut dengan kuah tomyam ataupun sup. Memang sedap kerana kita boleh menikmati pelbagai jenis 'seafood' yang jarang dijumpai di pasaran biasa dan hanya di tempat2 tertentu yang ada. Selain makanan laut, pelbagai rasa aiskrim dan kuih muih yang terdapat di situ sehingga penuh sesak perut dibuatnya dengan hanya bayaran yang hanya RM21.95 seorang. Seperti biasa, Daus dicaj tanpa bayaran kerana masih kecil dan itu yang lebih menyenangkan apabila berkunjung ke tempat yang 'free' untuk anak2 di bawah 3 tahun.

Sedang aku memikirkan banyak tempat yang aku sudah kunjungi, aku semakin rasakan hari2 yang mendatang dengan penuh makna kerana selera makanku sudah semakin pulih, aku semakin sedar akan keadaan sekeliling terutama rakan2 sepejabat yang ada dirasakan aku lupa tentangnya suatu masa dulu serta perasaan seperti ingin mati sudah tiada. Semangatku kini semakin pulih, cuma yang tinggal hanya kesedaran tentang perkara yang kadang-kala aku tidak begitu pasti. Namun itu semua aku tempuhi dengan sabar kerana masa boleh mengubahnya. Setelah apa yang aku rasakan sekarang, aku mulai sedar yang mungkin setelah aku berubat dengan Paksu dan Tok Abah, aku mula menjejaki dunia yang dirasakan baru tanpa ada halangan lagi...

Apa yang aku harapkan, hanya belas kasihan daripada orang berkenaan untuk tidak berupaya mengenakan aku lagi dengan hati yang terbuka dan taubat. Cukuplah sudah semua ini, biarlah hanya dia sahaja yang mengetahui tentang apa yang dia lakukan. Walaupun aku pernah bermimpi tentang kelibat seorang lelaki muda kurus yang berpakaian T-shirt putih bergambar di bahagian depannya dan berseluar hitam, namun imanku tidak dapat mentafisr siapakah dia. Kulitnya agak cerah tetapi wajahnya samar2 tidak dapat dilihat. Hanya hati ada terusik tentang seseorang. Aku juga tahu ada seorang lelaki yang telah menghentikan keretanya agak lama di depan rumahku pada suatu malam yang bising berbunyi serangga, tanpa diketahui apa tujuannya. Apa yang kudengar hanyalah bunyi enjin kereta tetapi tiada seorang pun yang aku nampak keluar dari perut kereta.

Pernah suatu masa dulu, setelah diketahui aku sudah bertunang, aku telah terserempak dengan seseorang yang amat dikenali. Wajahnya yang masam mencuka amat memeranjatkan aku yang tidak biasa dengan reaksi wajahnya seperti itu. Mata yang menjeling ke arahku menyebabkan aku cukup takut untuk menegur malah senyum pun kelat. Namun aku biarkan saja ianya berlalu kerana difikirkan tidak mungkin kerana aku bertunang dengan orang lain, dia bersikap seperti itu. Dia juga merupakan seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah tempatan. Aku tidak faham apa yang tidak kena antara aku dan dia.

Siapalah aku untuk menelah kesemuanya. Siapalah aku untuk mengadili setiap perbuatan manusia lain sedangkan aku sendiri lemah dan pasti banyak melakukan kesilapan yang sengaja mahupun tidak. Namun sebenarnya, Allah Maha Mengetahui dari segalanya bahkan Dialah Maha Adil Saksama untuk menentukan di manakah kita di sisiNya kelak. Maafkan aku seandainya tersilap kata meluka rasa...

2 comments:

  1. bestnye tempat makan akak..tapi jue tak makan makanan jepun

    ReplyDelete
  2. Ada 1 lagi tempat yang lebih dekat. Seoul Garden di IOI Mall. Sama konsep macam Flaming Steamboat. Tapi dikatakan ia lebih sedap kerana bukan setakat steamboat, malah ada makanan bakar. Jom try

    ReplyDelete