Tuesday, January 5, 2010

KISAHKU-17

"Puncanya bukan satu." Itulah yang Tok Abah ucapkan sewaktu berada di rumah Mak. Akhirnya sampai juga hajatku untuk menjemput Tok Abah datang ke rumah Mak. Aku dan suami yang menjemput Tok Abah di rumahnya di Shah Alam. Kebetulan aku 'MC' hari Khamis itu kerana badan terasa amat lenguh. Aku hanya duduk di sebelah Mak dan Pakcik di sebelahnya, mendengar dengan penuh teliti.

"Rumah tu rumah baru ke, rumah lama? Dah lama tinggal situ?"Tok Abah bertanya. "Rumah baru,"aku menjawab. Tok Abah berkata,"Itulah...lain kali kalau nak masuk rumah baru, bacakan Surah Al-Baqarah. Solat dan makan sekali kat dalam rumah tu menandakan kita nak tinggal di situ. Ingat ye, baca sampai habis surah Al-Baqarah tu lebih kurang selama 3 jam. Lepas tu, baru boleh pindah masuk".

"Budak kecil, jangan keluar di waktu senja. Senja memang waktu benda tu berkeliaran. Waktu rembang pun, tengahari. Kalau ada hal penting sangat sampai kena keluar, bacakan Surah Al-Kauthar. Letakkan ibu jari di langit2 dan calitkan pada dahi dan ubun2 anak kecil sebelum keluar." Aku hanya mengangguk sambil menulis setiap apa yang dicakapkannya. Air yang sudah tersedia di depanku juga sudah dibacakan dengan ayat2 suci tertentu untuk di'spray' dengan arah lawan jam di sekitar rumah sambil membaca selawat as-syifa' dan diminum.

Setelah kami menjamah Nasi Beriyani Syed Bistro, Tok Abah memulakan semula bacaannya. Dia meminta izin untuk pergi ke tingkat atas rumah besar itu. Mak dan Pakcik membuntuti Tok Abah di belakang. Aku hanya memerhatikan mereka menaiki tangga curam itu dan tidak mahu turut serta. Kedengaran Tok Abah mengetuk pintu di sesuatu sudut tetapi tiidak pasti di bahagian mana. Aku menunggu di bawah dengan penuh tanda tanya. Setelah mereka semua turun ke bawah, aku segera bertanyakan Mak tentang apa pandangan Tok Abah.

"Di bilik2 lain takde, cuma di sudut ampaian baju ada benda tu. Dengar Tok Abah ketuk2 tadi? Benda tu ada di situ," terang Mak. Sebenarnya aku tidak berani bertanyakan Pakcik kerana orang tua itu sedang marah padaku. Dia tidak dapat menerima apa yang aku katakan seolah2 aku menuduhnya menghantar itu dan ini. Sedangkan aku sudah maklum, 3 benda yang berada di badanku dulu adalah kepunyaan orang dan hanya 1 kepunyaannya. Itupun kerana secara tidak langsung. Ada juga yang dia tidak tahu akan kemunculan benda yang dia tidak tuntut sendiri. Kerana itu aku membuat kesimpulan yang mungkin setelah dia menerima jawatan dalam kawasannya, ataupun daripada keturunan sendiri dan secara tidak langsung menerima sekali 'saka' yang dia sendiri tidak tahu.

Setelah beberapa hari meninggalkan pejabat kerana bercuti tahun baru, aku memulakan tugas seperti biasa. Aku sempat mencari maklumat tentang beberapa perkara yang perlu jelas keterangannya di ruang maya. Akhirnya aku sendiri yang berasa takut lalu menelefon Mak. "Ana rasa macam tak sedap hati,"aku memulakan perbualan. Mak pula bertanya,"Kenapa pula? Mak ingat lagi masa kau nak kahwin dulu, sakit teruk. Jangan2 ada orang yang minat dengan Mat tak? Ada Mak dengar, anak Cik R minat dia. Cik R tu pun dah lumpuh sekarang. Kalau tak pun, J bekas tunang kau dulu. Manalah tahu."

"Apalah Mak ni! Jangan nak tuduh2 orang pulak. Bukan kerana kahwin dengan Mat lah atau bertunang dengan J. Masa Ana tunang dengan J pun, ada yang tak kena. Ana boleh tertidur masa nak sarung cincin dulu. Maknanya sebelumnya lagi. Tok Abah pernah cakap dulu, orang dekat,"aku menyangkal semua telahan Mak yang suka serkap jarang. "Mungkin Abang Lan kot!"Mak menambah lagi.

Aku hanya mengeluh kerana penat memikirkan siapa pula yang menjadi onak dalam rumahtanggaku. Bukan baru, tapi sudah lama. Memang aku biarkan orang lain berfikir tentang benda lain untuk mengalih pemikiran orang yang membaca blog ini. Sudah tentu aku melangkah dalam senyap untuk tidak diketahui oleh orang lain yang membacanya. Tidak semua yang aku coretkan sebagai tatapan, pasti ada rahsia terselindung di sebalik penulisan ini.

Walaupun aku tahu, memang orang dekat yang terlibat tetapi bukan bermakna kaum keluarga yang melakukannya. Aku biarkan sahaja ianya berlalu kerana aku sendiri tidak pasti entah apa yang akan dilakukannya selepas ini. Tidaklah aku bodoh membiarkan segalanya diketahui orang. Sepertimana yang pernah aku coretkan dulu, kenapalah tidak berterus terang. Bukankah senang jika aku tahu akan hajat dirinya.

Memang aku tidak suka dengan ucapan cinta lelaki. Aku tidak percayakan kata2 itu. Bagiku, hanya orang yang benar2 berhajat sahaja yang akan datang bertemu Mak. Aku lebih suka berkawan dan tidak bermakna aku menerima sesiapa. Rakan2 pejabat (lelaki) yang aku kenal semuanya sudah berkahwin sekarang dan memang dulu sudah menjadi kebiasaan, selepas waktu pejabat aku akan keluar minum bersama2 rakan sepejabat. Aku selalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak sempat berbual di waktu pejabat. Kerana itu aku suka melepak selepas waktu pejabat untuk merehatkan minda. Hanya rakan pejabatlah yang dapat menjadikan pengalaman kerana duniaku hanya kerja. Paling tidak pun, jiran2 di sekeliling rumah.

Pilihan suami yang aku buat pun, adalah daripada kenalan orang tengah dengan cara bertandang ke rumah. Aku lebih suka dengan lelaki yang berterus terang ingin berkawan serius untuk tujuan perkahwinan. Aku tidak suka berpacaran ke sana sini tanpa hubungan yang tidak pasti. Aku terlalu konservatif dan selalu bercanggah dengan citarasa anak muda. Mungkin kerana itu, aku pernah berkawan dengan 'ayahanda' yang aku menganggapnya ayah. Dalam hati2 aku melangkah, masih ada lagi kesilapan yang aku lakukan. Aku sedar akan itu tetapi tidak yang lain. Aku sukar untuk menelah kerana aku memang kurang berkomunikasi dengan lelaki melainkan rakan pejabat atau jiran rapat. Semuanya sudah berlalu. Aku masih berfikir mencari jawapan.

2 comments: