Thursday, January 7, 2010

KISAHKU-19

Aku sangat terkejut apabila mendapat tahu daripada orang terdekat tentang orang yang pernah bermasam muka denganku dulu setelah aku bertunang, kini telah membeli rumah yang berdekatan rumahku. Hal ini juga sudah kuketahui pada tahun lepas. Rumahnya 'double storey', tetapi aku tidak pasti di kawasan mana. Bagaimanalah aku mahu bertentang muka dengan lelaki itu yang aku sendiri tidak tahu apa salahku padanya. Akhirnya kami berjiran juga untuk kali yang kedua. Apabila teringatkan kisah lalu, aku mula berasa gerun dengan renungan matanya yang tajam.

Pernah juga terdetik di dalam hati, mungkin dia cuba mengekoriku. Tetapi aku menepis semua sangkaan itu kerana mungkin dia membeli rumah yang berdekatan dengan keluarga angkatnya. Setahu aku, dia merupakan seorang yang berbangsa cina dan dibela oleh keluarga angkatnya dari kecil. Sehingga kini aku rasakan dia masih membujang. Dia juga pernah membeli rumah apartment di Puchong dengan dilengkapi pelbagai perubahan reka bentuknya berserta hiasan yang cantik. Namun rumahnya itu sudah dijual untuk membeli rumah 2 tingkat yang lebih besar daripada rumah lama. Maklumlah, rumah di kawasanku ada yang sudah siap dan ada pemiliknya. Maka perlulah dia membeli daripada pemilik pertama untuk memilikinya.

Walaupun sudah lama dia berpindah, aku tidak pernah terjumpa dengannya. Mungkin juga aku yang tidak tahu akan perubahan dirinya yang sudah semakin dimamah usia. Dia lebih tua daripada Abang Long yang berumur 41. Ingin saja aku tersenyum dengannya jika terjumpa di mana2 jika dia sudi berbaik denganku. Apalah salahku agaknya sehingga dia amat membenciku. Apalah gunanya berjiran jika kita mahu bermusuh atau bermasam muka. Bukankah lebih baik jika bermesra kerana masing2 berasal dari kampung yang sama. Tapi apalah dayaku jika orang tidak sudi, hanya dia sahaja yang tahu kesilapanku dulu kerana aku tidak maklum tentangnya.

Aku masih ingat, Abang Long pernah berkawan baik dengannya. Dia sedaya upaya mengejar impian untuk sama2 berjaya di arena kerjaya. Maklumlah, adik-beradikku pula memang ramai yang ke menara gading, menjadi bahan contoh kepadanya untuk berusaha lebih lagi. Ada juga terdengar daripada ahli keluarga, dia memang sukakan kakakku. Kak Ngah yang dulu pernah menjadi seorang peguam dan kini sudah bertukar bidang kepada pekerjaan Eksekutif di salah sebuah syarikat terkemuka. Hanya aku yang ketinggalan jauh, tidak sama mencapai tahap mereka. Kerana itu, dia telah cuba semungkin boleh untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kami sekeluarga. Tetapi aku tidak pasti sejauh mana kebenaran kata2 itu kerana mereka juga samar2 dengan kenyataan itu. Dia juga tidak pernah berterus terang.

Biarlah! Aku yakin masa dapat mengubahnya. Dengan izin Allah, akhirnya kejernihan yang dicari akan muncul di kalangan kita untuk membuang kekeruhan yang mungkin pernah wujud dulu. Walaupun aku sendiri tidak mengetahui, aku tetap berdoa agar Allah membuka sinar ke jalan silaturrahim yang baik dan berpanjangan..

No comments:

Post a Comment