Wednesday, January 27, 2010

DAUS

Bahagian 3

Daus demam. Sudah lama dia tidak terkena demam. Oleh kerana itu, mereka berdua mengajaknya pergi ke Cyberjaya untuk menikmati Nasi Arab yang biasa dimakannya dan amat digemari. Demi anak kesayangan itu, mereka sanggup pergi ke luar dari kawasan tempatan untuk memastikan anak mereka berselera untuk makan.

Dalam perjalanan, Daus sudah termuntah kahak dan habis bajunya basah. Mungkin tersalah makan semalam, penyakitnya mula datang semula. Akhirnya, tidak jadilah mereka untuk makan di situ juga dan terpaksalah 'beli bungkus'. Untuk menarik perhatian anak itu, mereka telah belikan coklat 'Smarties' kegemarannya sebagai pembuka selera. Setelah sampai di rumah, kami pun makan bersama. Pada mulanya memang Daus tidak mahu menjamah, tetapi setelah Babah membuka bungkusan juadah itu, terhidulah bau Nasi Ayam Hanith itu yang cukup menyelerakan. Akhirnya Daus makan juga.

Keesokannya, terpaksalah Babah mengambil cuti 'emergency' kerana bimbangkan anak kecil itu. Memang begitulah keadaannya jika Daus demam atau sakit, pasti salah seorang daripada Babah atau Mama akan bercuti. Babah pula seperti sudah biasa untuk menjaga Daus setelah usia Daus mencecah 1 tahun lebih dan berputus susu badan. Mama pula pergi kerja seperti biasa.

Apabila tiba di rumah, Mama pulang dengan membawa pelbagai makanan untuk menaikkan selera Daus. Kebetulan hari Selasa adalah hari adanya Pasar Malam di Putrajaya, Mama singgah sekali dalam perjalanan pulang untuk membeli keperluan makan terutama untuk Daus. Bermacam2 jenis makanan seperti kuih talam, lapis, putu piring, bihun sup dan nasi kerabu untuk 3 beranak. Anak itu tidak menghiraukan lagi bungkusan yang dibawa Mama malah terus meluru ke arah Mama sambil menyapa dan bersalam. Mama pula mencium anak itu dengan penuh rasa kasih.

"Daus bila dah besar, jangan lupakan Mama dan Babah ye.. Mama dan Babah sanggup menggadai wang semata2 untuk anak Mama. Bila Daus sakit, Mama dan Babah akan jaga Daus sebab sayang Daus. Jadi orang yang baik dan berjaya ye...". Itulah kata2 Mama yang sentiasa mengingatkan Daus, anak sekecil itu. Biarlah Daus sentiasa mendengarnya, agar dia tidak lupa akan jasa orang tua, agar dia tahu akan kesusahan membesarkannya, agar dia tahu akan kasih sayang yang ditabur untuknya. Walaupun terlintas di dalam hati mereka, adakah anak kecil ini akan menjaga orang tuanya apabila dewasa kelak? Anak kecil itu hanya tersenyum kerana dapat merasakan kasih itu daripada mereka. Hanya merekalah tempatnya bergantung buat masa ini. Mereka mengusap ubun2 anak itu dengan penuh rasa sayang dan sinar mata yang redup sambil berharap...

Search this link : Baby Aus

Sunday, January 24, 2010

KISAHKU-24

"B tolong bukak pintu ni!". Aku bergegas mengambil kunci 'grill' setelah mendengar suara suami memanggilku sambil membawa beberapa naskah Al-Quran dan rehal. Kelihatan orang2 surau sudah sampai di laman rumah dan ada yang masih mencari tempat 'parking' di luar. Sedang aku membuka pintu 'grill', terlihat seseorang yang memang cukup kukenali di luar pagar depan rumah jiran. Tidak menyangka orang itu sudi datang ke rumahku juga untuk sama2 membaca Surah Al-Baqarah. Rasanya inilah kali pertama aku melihatnya berwajah sayu, sedih dan tidak mencuka seperti dahulu. Tetapi lelaki itu akhirnya berpaling dan beredar dari situ sedangkan orang lain sedang sibuk meletak kenderaan masing2. 'Kenapalah tak masuk?'tanya hati.

Pada mulanya aku bimbangkan diri jika aku tumbang tiba2 ketika orang sedang membaca surah itu. Tetapi aku ingatkan pada kata2 Mak yang hanya orang yang ada membela makhluk halus sahaja yang akan panas dan tidak akan senang duduk dengan bacaan surah itu oleh orang lain. Orang yang terkena buatan orang, aku tidak pasti. Akhirnya majlis itu berjalan dengan lancar dan disertai bacaan tahlil di akhirnya. Aku berasa sungguh lega. Tiada apa yang berlaku dan orang surau yang datang boleh menyantap makanan yang terhidang dengan penuh selera. Tiada hidangan yang istimewa, cuma Kuah Arab bersama roti, bubur kacang durian dan buah tembikai. Aku menempahnya dengan Mak. Kebetulan pula majlis diadakan selepas zohor, Tok Imam berpesan supaya jangan menghidang nasi atau makanan yang berat2. Bihun sudah memadai. Tetapi kami memilih menu tadi untuk menggantikan Nasi Arab Saba' atau Nasi Beriyani Syed Bistro sebagai menu yang asal.

Kami bekalkan Kuah Arab dan roti untuk orang yang membaca surah itu ataupun bubur untuk tetamu yang hadir sebagai berkat, buah oren, surah Yasin terjemahan, coklat dan sapu tangan sebagai buah tangan kepada orang yang hadir. Tidaklah ramai sangat tetamu yang hadir kerana tidak ramai jemaah surau pada waktu zohor malah semua jemaah hadir ke rumah kami seramai hampir sepuluh orang. Termasuk kanak2 meramaikan lagi majlis kami. Dalam sibuk menghantar makanan ke rumahku, Adik terlupa sertakan sekali agar2 yang juga dipesan untuk majlis itu. Setelah majlis selesai, barulah Mak dan Adik datang semula membawa agar2 yang Adik terlupa tadi. Kak Lang tiba semasa kami sedang sibuk mengemas. Tidaklah penat sangat, pinggan dan cawan plastik pakai buang digunakan untuk memudahkan kami.

Setelah semuanya selesai dan para tetamu pulang, aku merasakan seluruh keadaan rumah menjadi ceria dan badan juga terasa ringan. Tidak seperti sebelum ini, segalanya dirasakan berat dan sentiasa suram dan sedih. Sedang aku dan suami makan bersama dan inilah kali pertama aku dapat rasakan yang aku betul2 gembira dan perasaan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini, aku terfikirkan sesuatu. "B nak tanyalah, ada tak orang yang datang tadi tak jadi nak masuk ke rumah kita? Maksudnya, ada tak orang surau yang tak jadi nak join bila setibanya di depan rumah?"aku bertanya suami. Daus yang sudah terlena kerana sibuk bermain di waktu siangnya menyenangkan lagi untuk aku bertanya soalan yang mungkin difikirkan remeh oleh kaum lelaki. "Takdelah! Semua yang sampai kat depan rumah, semuanya masuklah. Tunggu apa lagi. Nak diikutkan, semua jemaah surau datang melainkan ada seorang yang dikatakan sibuk dan ada hal, dari surau lagi dia sudah beransur dan memang tak datang sini,"suami menjawab selamba. Aku terkejut dengan jawapan itu, ayat yang tidak sepatutnya keluar dari mulutnya. Apa yang aku sangkakan sebelum ini adalah salah rupanya.

"Tapi B nampak orang yang B pernah ceritakan dulu." Aku menceritakan semula kepada suami apa yang aku nampak ketika orang surau sibuk ingin masuk ke rumah. Aku berasa hairan, orang yang aku nampak bukanlah dari rombongan surau. "Orangnya macamana? Kulit tak cerah ke? Orang yang tak jadi tadi tak cerah pun kulitnya. Tapi dari surau lagi memang tak join dah.." suami mahukan kepastian. "Orangnya kulit cerah lah. Dia memang orang Cina. Kan B dah pernah cakap dulu," aku berkata tegas. Aku tertanya2? Adakah inilah jawapannya? Makhluk halus itu sudah menyerupai tuannya. Oleh kerana majlis bacaan itu akan dilakukan, bendanya itu tidak berani untuk masuk ataupun melihat dari jauh apa yang kami sedang usahakan. Benarkah apa yang aku fikirkan? Sehingga ke hari ini aku masih tertanya2....

Wednesday, January 20, 2010

DAUS

Bahagian 2

"Daus! Bangun..nak pergi sekolah tak? Cepat bangun Butuk..". Akan kedengaran suara Babah yang mengejutkan Daus setiap hari sekolah. Panggilan 'Butuk' dan bermacam lagi panggilan manja sentiasa terbit dari mulut Babah dan Mama. Daus memang selalu bangun lewat terutama jika dia tidur lewat pada malam sebelumnya. Hanya jika dia mahu membuang hajat saja, bangun awallah dia.

Jari jemarinya digerakkan menandakan dia mendengar akan suara itu. Cuma matanya saja yang berat untuk dibuka. Mama pula bergegas menyidai kain di bilik belakang sedangkan dia boleh melakukannya pada waktu malam. Entah kenapa Mama juga sukakan kerja 'last minute' sejak kebelakangan ini. Mungkin dia juga sibuk melayan TV sehingga tengah malam. Setelah selesai menyidai, dia akan menyediakan susu untuk Daus dalam perjalanannya ke sekolah.

Sewaktu usianya belum setahun, Daus selalu mengejutkan Mama pagi2 lagi kerana mahukan susu. Mama pula selalu bangun awal kerana mendengar rengekan Daus dan menyebabkan dia selalu bersiap awal. Kalau dulu jam 6.30 pagi sudah siap untuk bertolak tapi tidak lagi sekarang. Waktu itu kadang-kala Mama baru bangun dan terkocoh2 menyiapkan diri. Daus pula tidak mahu dihantar Babah untuk ke sekolah. Dia tetap mahukan Mama walaupun Mama sudah lewat. Akhirnya Mama lewat sampai di tempat kerja seminit dua.

Setiap kali pulang dari bekerja pula, Mama akan terus mengambil Daus dari sekolah. Itulah rutin biasa yang dilakukan Mama. Jika Mama terlewat kerana kesesakan jalan atau banyak kerja di pejabat, Babahlah yang akan mengambilnya. Namun Daus tidak kisahkan siapa yang mengambilnya pulang kerana jika dengan Babah, bolehlah Daus mengecek sesuatu dari Babah untuk dibelikan.

Tambahan pula 'mini market' Save More' sentiasa di depan mata setiap kali perjalanan balik dan Daus akan meminta untuk berhenti di situ. Itulah Daus, semenjak dia pandai bercakap, banyaklah permintaannya itu dan ini. Sedangkan iklan makanan di kaca TV pun pandai dia meminta untuk dibelikan. Celoteh Daus semakin rancak, ragamnya semakin hebat. Tanda dia seorang anak yang cerdik meniti perkembangan normal anak2 kecil seumurnya. Mama dan Babah amat bersyukur dengan kurniaan Ilahi itu. Syukur Ya Rabbi..

Search this link : Baby Aus

Tuesday, January 19, 2010

KISAHKU-23

Hari2 berlalu begitu sahaja. Apa yang dihajatkan masih belum tercapai kerana ada aral melintang. Aku tetap bersedia dengan apa juga rintangan yang datang. Walupun rasa sakit masih dirasakan, namun keputusan doktor pakar yang mengatakan sakitku itu hanyalah ketumbuhan biasa, sudah boleh melegakan. Apa yang pasti aku takutkan pada mata pisau bedah sekiranya perlu dilakukan. Kalau boleh aku ingin mengelak daripada sakit setelah rawatan secara moden itu.

"Ok..result dah pun keluar. Ianya hanya ketulan biasa dengan saiz yang sedikit kecil." Aku dan suami mendengar dengan penuh teliti. Berdebar2 dengan kata2 doktor selanjutnya. Setelah diterangkan tentang 'result ultrasound' itu, membuktikan ketulan yang tumbuh semakin mengecil dari saiz 2cm kepada 1cm dan juga terdapat ketulan yang aku sendiri tidak perasan sebelum ini. Memandangkan ianya adalah saiz yang berbentuk bulat dan terlalu kecil, menandakan ianya tidak perlu kepada biopsi lagi. Agak sukar jika mahu dilakukan. "Tetapi kita hanya boleh jamin 95% sahaja daripada ujian yang dilakukan, selebihnya kita tak pasti kerana bimbang ada serpihan yang kita tak dapat nak ambil," tambah pakar lagi.

Ya, aku mesti ada usaha sendiri untuk mengelak serangan penyakit kronik. Cuma yang menghairankan, seolah2 ada kebetulannya antara 4 ketulan yang boleh diketahui doktor dengan 4 benda yang ada pada badanku yang aku sendiri tidak tahu jenisnya. Sekurang2nya aku sudah berusaha dengan Air Za'faron dan madu untuk diamalkan. Mengapa tidak kita sebagai muslim mengamalkan perubatan Islam? Adakah kita tidak yakin dengan ayat2 Allah. Setelah berbulan aku mengamalkan cara itu, akhirnya berhasil juga. Ketulan sudah mula mengecut.

Baru2 ini, rasa sakit timbul semula di bahagian yang sama. Aku pula cuba membaca Surah Al-Kauthar dan mencecah ibu jari ke langit2 untuk disapu ke tampat yang sakit. Alhamdulillah, sakitku boleh berkurang dan ketulan juga dapat dirasakan semakin mengecut dan lembut. Pernah juga aku turut terasa seolah2 bahagian ketulan itu seperti ditarik2 dan mengecut setelah membaca keseluruhan Surah Al-Baqarah. Kadang-kala aku terfikir, benda halus memang boleh meresap ke pembuluh darah manusia dan berpotensi menyebabkan pelbagai penyakit seperti tumor, barah, demam, gout dan sebagainya. Hanya kitalah yang perlu berusaha dengan mendekatkan diri kepada-Nya dengan mencintai ayat2 Allah serta mengamalkannya.

Aku tidak menghadirkan diri ke pejabat semalam. Entah bagaimana, aku terasa bulu tengkuk meremang tiba2 ketika mahu bersolat Maghrib pada malam sebelumnya. Pada mulanya memang aku rasa tidak sedap hati untuk bersolat di dalam bilik ke-2 itu kerana Daus sedang menonton TV di 'hall'. Aku berseorangan dan rasa takut tiba2 muncul. Bila difikirkan aku mahu bersolat, aku cuba bertahan. Tiba2, bunyi desiran angin kuat di luar rumah menerjah telingaku. Hatiku mula berdetik sehingga terganggu konsentrasi solat. 'Hai...berdepan dengan Allah pun bolehkan takut. Hari mahu hujan da..' kata hatiku. Kemudian, solat Isyakku dilakukan di luar bilik. Aku tidak boleh khusyuk dengan keadaan itu. Akhirnya aku tergelak sendiri kerana takutkan cuaca hujan dan angin ribut yang sekejap.

Jam baru menunjukkan pukul 3 pagi. Aku boleh berasa panas sehingga bibir dirasakan kering merekah. Aku tidak dapat lelapkan mata sehingga aku menelan sebiji panadol, ubat yang paling aku mahu elak dan berkumur dengan Listerine untuk melegakan mulut yang panas. Badan pula terasa sejuk dan akhirnya aku terlelap juga. Apabila bangun, kepala terasa berat dan payah untuk menjejakkan kaki kerana sakit tapak kaki. 'Kenapalah hari ni berat sangat untuk ke tempat kerja. Badan pula rasa tidak sihat,' aku merungut sendiri. Mungkin kerana hari itu telah dijanjikan Tok Imam Abah akan datang ke rumah. Maka banyaklah halangan yang timbul.

Setelah kami membeli Nasi Beriyani Syed Bistro di Shah Alam, aku cuba menelefon semula Tok Abah untuk mengesahkan kelapangannya. Kebetulan suami bercuti hari itu, dapatlah kami menguruskan bersama hal temujanji itu. "Aduhai...Tok Abah tak angkat ni. Tanda dia tak ada di rumah. Mungkin ada emergency atau kes istana." Aku mula mengeluh. Sudahlah cuti kecemasan, suami pula tidak mahu hantarkan ke klinik. Sekurang2nya bolehlah aku mendapat MC tanpa mengurangkan baki cuti. Aku pula tidak boleh memandu sendiri kerana tidak larat.

Akhirnya, kami terpaksa batalkan saja niat untuk menjemputnya ke rumah dan terpaksa menunda tarikh lain. Apabila difikirkan, banyak juga rintangan yang terpaksa ditempuh. Bacaan Surah Al-Baqarah oleh Imam terdekat juga terpaksa ditunda kerana dikatakan beliau ada hal. Selepas ini, entahkan apa pula yang bakal mendatang. Aku hanya bersabar merenung ke luar tingkap kereta. Lebuhraya Elite direntasi ketika jalan pulang dengan penuh hiba dan seribu kedukaan...

Sunday, January 17, 2010

SAYANG

Hari Gembira

"Baby.. mari sini jap!" panggil Ayah. Mereka berdua menyahut,"Apa?". Mama melihat anaknya, Daniel dan berasa keliru. "Ini lah Baby. Ini...!" Daniel bersuara dengan menepuk dada sambil memandang tepat ke arah Mama. Perkataan yang disebutnya sudah dapat didengar dengan jelas. 'Aduh..kacau stim betul anak aku nih!' bisik hati.

"Oh, yelah. Tapi Mama pun Baby Ayah," Mama berkata dan tersenyum melihat telatah anaknya yang semakin membesar itu. Didakapnya anak itu dengan penuh kasih lalu menciumnya. Badannya yang montel itu menyebabkan Mama suka memeluknya. "Hai..macam bantal. Geram tengok dia." Mama mendukung Daniel yang baru berusia 1 setengah tahun itu sambil berjalan menuju suara panggilan Ayah tadi.

"Kenapalah lama sangat ni? Abang ada belikan kek untuk Baby. Dah Bee teringin sangat, Abang belikan lah!" Ayah berseloroh dan mengucup dahi Mama. Daniel hanya memerhatikan gelagat Ayah dan Mama dengan penuh tanda tanya. Jarang sekali melihat Mama segembira itu. Daniel pun turut mencium pipi Mama seolah2 mengerti apa yang berlaku. "Ayah pun sayang Baby Daniel." Ayah mendakap Daniel penuh erat.

Sebenarnya hari ini adalah hari kelahiran Mama. Lagu 'Happy Birthday' untuk Mama dinyanyikan oleh Ayah dan Daniel sama2 bertepuk tangan tanda gembira. Malam itu cukup indah buat mereka.

Friday, January 15, 2010

DAUS

Bahagian 1

Ramai orang memanggilnya Daus. Nama sebenarnya Ahmad Nor Firdaus, nama yang cukup cantik maksudnya. Dia semakin pintar berinteraksi bersama kedua ibu bapanya walaupun baru berusia 2 setengah tahun. Sikapnya yang manja betul2 menambat hati mereka dan kadang kala agak pemalu terhadap orang yang kurang dikenali.

Kelahirannya yang mendatangkan seribu kenangan membuatkan mereka semakin dewasa dalam membesarkan anak sendiri. Pada awalnya agak kekok memegang bayi yang baru dilahirkan tetapi ibunya semakin belajar akan erti sebuah kehidupan yang lebih bermakna itu. Berbeza dengan ayahnya atau panggilannya sebagai Babah, lebih mudah serasi dengan bayi sekecil itu kerana sudah biasa beradik ramai. 'Mama' panggilan untuk ibunya. Mama sentiasa berusaha untuk memberi kasih sayang yang sempurna untuk Daus. Keadaan Mama yang sentiasa inginkan keselesaan Daus memberi galakan terhebat untuknya supaya lebih cermat menggunakan wang demi membesarkan anak tercinta.

Namun kehidupan sebuah keluarga tidak sentiasa yang disangka. Daus selalu mengalami demam panas dan kadang-kala sesak nafas. Akibat selalu demam selsema, akhirnya Daus mengalami asma ketika usianya 1 tahun. Dia juga sudah putus menyusu ibu. Mungkin kerana itu, antibodi badannya sendiri tidak kuat melawan serangan penyakit itu. Boleh dikatakan setiap minggu Mama dan Babah akan menghantar Daus yang sedang sesak nafas ke Hospital Putrajaya, tempat Daus dilahirkan untuk mendapatkan rawatan segera. Kali pertama Daus disumbatkan kerana corong pernafasan gas bagi membantu pernafasannya, dia sudah mula menangis dari awal kerana tidak biasa dengan keadaan itu. Akhirnya, setelah dirasakan selesa dengan pernafasan yang baik, dia sudah mula biasa dan senang dengan keadaan itu.

Pernah Mama cuba bawakan Daus ke klinik pakar kanak2 swasta di Puchong, sanggup berhabis duit RM300 sebulan untuk meredakan sakit Daus. Tetapi kerana kesempitan wang, rawatan sedemikian tidak lagi diikuti. Akhirnya Mama cuba berusaha dengan cara lain supaya penyakit Daus berkurang. Mana tidaknya, semakin lama semakin kerap Daus sakit sehingga Daus terpaksa dimasukkan ke wad selama 3 hari. Oleh kerana itu, Mama usahakan cara perubatan Islam dengan memberi Daus makan Jus Kurma dan Air Za'faron. Berbulan juga usaha itu diamalkan dan alhamdulillah, Daus sudah semakin pulih daripada semputnya itu.

Daus kini sudah semakin cerdik berbicara. Ngomelannya bercerita dan berceloteh betul2 mencoret kenangan sejak dia mula2 pandai bercakap dengan perkataan 'Mama' dan 'Babah'. Selalunya mereka akan bertanya Daus setiap hari tentang bagaimana Daus di sekolah. Tetapi sekarang, Daus pula yang akan bertanya itu dan ini pada mereka. Pernah selepas Babah pulang dari surau, Daus terus bertanyakan Babah,"Abah dah makan?". Aku tersenyum mendengarnya. Pandai betul anak kecil ini mengambil hati orang tuanya. Daus memang suka mengambil berat. Jika Mama atau Babah sakit, dia akan mengurut mereka di tempat yang sakit. Pernah juga dilihatnya Mama berbekam, Daus turut memerhatikan Mama tanpa rasa takut dan bertanya itu dan ini dengan bahasa pelatnya kepada orang yang membuat bekam pada Mamanya.

Itulah Daus, anak kecil yang tidak mengerti apa2 kesusahan yang dilalui Mama dan Babahnya. Walaupun jauh di sudut hati, biarlah kesusahan itu ditelan mereka berdua demi membesarkan anak kesayangan supaya menjadi insan yang soleh dan cemerlang dunia dan akhirat.

Search this link : Baby Aus

Wednesday, January 13, 2010

KISAHKU-22

Kami bersolat di Surau An-Nur di Seksyen 20 Shah Alam. Setelah menyantap makanan di Pizza Hut dengan pelbagai juadah, kami tidak lupa untuk menghadap Allah. Sedapnya makanan di situ dengan beberapa tawaran yang menarik membuatkan kami memesan bermacam jenis makanan. 'Regular Pizza Set' dengan citarasa 'Chicken Supreme', ditambah dengan 'Iced Milo', 'Fruity Fizzi' dan 'Mocha Frappe' serta 'Cheese Baked Rice', 'Chicken Wings', Aiskrim dan 'Bolognise Spaghetti'. 'Mushroom Soup', 'Garlic Bread' dan salad pula menjadi pembuka selera sementara menunggu makanan yang lain siap. Sungguh mengenyangkan.

Sesampainya kami di surau, kami segera menunaikan solat Maghrib kerana bimbang waktu Isyak semakin hampir. Sempatlah kami mendengar pembelajaran Al-Quran di kalangan masyarakat tempatan. Inilah kali pertama buat Daus menjejakkan kaki ke surau melihat orang bersolat jemaah. Apabila terkenangkan suasana tenang itu, lahir sebuah keinsafan. Selepas selesai solat Isyak, kami pergi menuju ke destinasi seterusnya kerana ada hal yang perlu diselesaikan iaitu rumah Tok Abah.

Sebenarnya memang sebelum ini kami ingin berjumpa Tok Abah tetapi banyak hal lain yang menjadi halangan. Lagipun kami akan menjemput orang untuk membaca Surah Al-Baqarah di rumah, sudah tentu suami akan sibuk menyusun masa dan bicara bersama Tok Imam terdekat untuk tujuan itu. Orang yang dijemput juga tidaklah ramai memandangkan bacaan surah itu yang cukup panjang.

Namun beberapa hari lagi bacaan surah itu akan dialunkan, aku teringatkan nasib malang yang menimpa diri hanya perbuatan manusia yang suka menganiaya. Aku berfikir sambil mendengar lagu melalui 'earphone'. Ketika itu kerja di pejabat sudah dibereskan. Tiada apa lagi yang perlu dibuat, melainkan jiwa yang tiba2 terusik dengan peristiwa lalu. Terkenangkan rakan2 yang sama 'batch' masuk kerja denganku, ada yang sudah berganjak ke depan dengan kerjaya yang semakin baik. Aku hanya di sini dengan tiada perubahan melainkan nasib yang diatur oleh hasad dengki insan lain. Walaupun aku bersyukur dengan nikmat yang dikecapi, aku terfikir juga ujian yang datang adalah bahagian masing2. Tambahan pula, aku tidak menanggung sebarang pinjaman belajar daripada mana2 sumber. Itu juga dikatakan cukup beruntung.

Dalam kesedihan, tiba2 ada sesuatu yang lebih membuatkan aku sedih. Aku sendiri tidak pasti apakah perasaan itu. Diri hampir2 tidak boleh dikawal kerana perasaan sedih yang bercampur baur membuatkan aku menangis keesakan. Entah kenapa jiwa terasa terlalu lemah sehingga aku tidak dapat mengawal diri dan mata pandanganku menjadi kabur dengan duniaku tersendiri. Mujurlah ada rakan2 pejabat yang datang ke tempatku dan menegur akan perubahan itu. Suara menyuruhku membaca istighfar kedengaran berada dekat denganku serta sentuhan di lenganku yang membuatkan aku tersedar. Lantas aku mencari kitab suci al-Quran terjemahan yang berada di atas meja. Aku menyelak satu persatu helaiannya untuk membaca Surah Al-Jin dan As-Soffat. Mereka yang lain kemudiannya bersurai setelah melihat keredaan aku.

Kebetulan malam itu kami ada masa berjumpa Tok Abah. Kami memanggilnya Tok Abah kerana dia merupakan datuk saudara kepada Mak. Nama sebenarnya aku tidak tahu. Dia juga merupakan Pawang Diraja Negeri Selangor setelah bersara daripada menjadi Tok Imam Besar Negeri Selangor. Banyak rahsia istana yang diketahuinya tetapi tidak pernah diceritakannya kerana dikatakan sulit dan rahsia. Sesampainya kami di hadapan rumahnya, kelihatan tetamu lain sedang berada di rumahnya menyebabkan kami menunggu seketika dan tidak mahu mengganggu tetamu itu. Setelah mereka selesai, tibalah giliran kami untuk bertemunya. Dengan bacaan ayat2 suci al-Quran, dihembuskan pula ke dalam air yang kami bawa. Dia berkata,"Nampaknya ada lagi di rumah ni...". Aku mendengarnya dengan teliti. Tetapi tidak bertanyakan lebih lanjut.

Selagi tidak mengajak Tok Abah sendiri datang ke rumah, aku berasa tidak puas. Maklumlah, sudah banyak peristiwa yang terjadi tahun lepas dan pernah juga didatangi alamat melalui mimpi berkenaan penghuni asal tempat itu. Memang ada yang tidak kena dengan rumahku dan diriku sendiri. Setelah kami berbincang, akhirnya Tok Abah bersetuju untuk datang ke rumah kami tetapi belum ditetapkan lagi tarikhnya. Oleh kerana Tok Abah memang padat dengan jadual mengajar di Masjid Negeri ataupun hal2 istana, kami perlu akur dengan masa yang tidak boleh ditetapkan itu melainkan masa lapangnya.

Setelah pulang ke rumah, aku sanggup bersengkang mata untuk memastikan suami tidak lupakan pesanan Tok Abah. Apabila tepat jam 12.00 malam di mana waktu benda ghaib itu mula berkeliaran, kami memulakan operasi 'spray' di seluruh rumah dengan air yang baru dibacakan Tok Abah tadi. Aku menemankan suami melakukan operasi itu sambil memerhatikannya. Sepertimana kata Tok Abah, jika terasa seram sejuk ketika melakukannya, perlu diteruskan juga dan jangan berhenti. Daus pula sudah terlena di katilnya.

Keesokan harinya kami kembali bertugas seperti biasa. Walaupun Daus ada merengek ketakutan pagi itu seolah2 ternampakkan sesuatu dengan berkata "Hantu...", tetapi aku sudah tidak pedulikan lagi semua itu kerana Allah Maha Kuasa dari segalanya. Hanya kitalah yang perlu yakin dengan kuasa Allah dan jangan biarkan jiwa kita kosong tanpa sebarang pengisian yang berfaedah..