Monday, December 21, 2009

KISAHKU-13

Aku demam. Batuk dan berbagai rasa yang mengundang apabila tidak sihat. Dua hari sebelum Krismas, aku telah mengambil cuti untuk menyelesaikan urusan peribadi. Entahkan urusan apa, aku sendiri tidak pasti. Tetapi aku ada alasan tersendiri, mahu berehat dan mahu...melihat reaksi ayah tiri atau Pakcik (panggilan untuk ayah tiri). Aku telah pergi ke rumah Mak bersama Daus dan suami untuk berjumpa Mak dan sememangnya ada sesuatu yang mahu dibincangkan.

Namun, belum sampai ke rumah Mak, badan dan seluruh tanganku menjadi lenguh tiba2. Tidak sempat aku mahu berkunjung, padahnya sudah ada. Aku batalkan saja niat untuk pergi ke rumah itu. Mungkin esok atau lusa, aku akan cuba juga berjumpa Mak.

Esoknya, aku singgah juga ke rumah itu. Persinggahan yang tidak dirancang dari awal dan seolah2 terlanjur untuk sampai ke situ. Kebetulan hari itu, orang lelaki akan bersolat Jumaat. Pakcik sudah tiada di rumah itu. Tibalah masanya aku menyusun kata pada Mak. Sesampainya aku di rumah itu, Mak terus menyambut cucu kesayangannya Daus yang merupakan cucu ke-10. Untungnya Mak sudah bercucu ramai dalam usia 56 kerana berkahwin awal dengan arwah Abah. Itu belum masuk cucu tiri lagi, mencecah 20 lebih kesemuanya. Berdetik di hati, aku memang sudah maklum ada sesuatu di rumah Mak tanpa boleh dilihat dengan mata kasar. Aku harus kuat dan berhati2 agar tidak terngadah. Aku mahu menjengah seketika suasana rumah itu dengan andaianku tersendiri. Sudah berbuih mulutku membaca ayat2 pendinding dan zikir sebelum sampai ke rumah itu.

"Mak sihat? Pakcik macamana? Sihat?" aku merenung wajah Mak yang terlalu gembira dengan kehadiran kami. Suami membisu seribu bahasa dan sibuk bersiap untuk pergi ke masjid. "Mak ok je. Takde apa2. Pakcik dah keluar. Dia macam tu jugaklah." Mak berkata selamba dan memang sudah tahu akan maksud pertanyaanku. Kehadiranku ke rumah itu juga adalah untuk meredakan marah Mak kerana aku seolah2 tidak sudi menjengahnya. Setelah apa yang dia tahu tentang tempohari, dia dapat rasakan ada jurang antara aku dengan dirinya sebagai isteri Pakcik. Perbalahanku juga dengan Mak menyebabkan wanita itu terlalu jengkel dengan sikap keras hatiku. Hanya kerana perbualan telefon tempohari.

"Mak, Pakcik macamana? Dia macam sakit tak?" aku bertanya untuk kepastian. "Dia jadi sakit tak tentu arah. Dia kata sakit belakang, suruh Mak gosok." Mak menjawab bernada sedih. "Tapi Mak ada baca2 tak? Takut nanti kang, dia serap kat Mak pulak!" aku inginkan kepastian lagi. "Tentulah Mak ada baca2 ayat pendinding sambil nak gosok belakang dia tu," tegas Mak. Aku masih sangsi dengan Mak. Kadang-kala aku rasakan ianya mungkin mainan Pakcik untuk menguasai Mak. Apa yang aku tahu dari ustaz atau panggilan biasanya Paksu, terlalu banyak benda yang berada dalam badanku dan kes yang agak berat sehingga dia tidak boleh selesaikan dalam masa 1 hari. "Sebenarnya memang betul lah Mak. Memang Pakcik punya." Belum sempat aku menghabiskan ayat, Mak sudah tidak sabar mahukan ayat seterusnya,"Lagi apa lagi Paksu cakap?". Mak sudah mula berkeras suara. "Sabarlah..Ana nak cerita ni. Ada 4 benda yang berada dalam badan Ana(panggilan keluarga) tapi 3 benda yang orang punya dan 1 antaranya sudah hapus terbakar. Itu yang menyebabkan kaki Ana berasap. Tapi ada 1 lagi yang liat. Paksu kata, benda tu bagitau yag dia dah lama tinggal dalam badan Ana. Benda tu sebenarnya belah ayah punya. Ana ada tanya dia, ayah yang mana satu sebab Ana ada 3 orang ayah. Dia kata, kalau kita cuba lawan yang ini, takutnya dia akan hantar yang lain dan lebih kuat. Ana fikir memang Pakcik punyalah sebab paksu cakap camtu tandanya orangnya masih hidup lagi. Pakcik je suami Mak yang masih hidup. Dia menuntut sendiri di Pulau Besar. Kenapa nak hantar pada anak Mak pula? Macam sengaja nak kenakan je,"aku sudah mula meninggi suara dan serkap jarang.

Aku menambah lagi, "Mak, sebenarnya yang ada pada Pakcik tu adalah ilmu orang Negeri. Ana banyak tanya Paksu dan cuba berkeras mahukan kisah sebenar. Dia memang berat nak bagitau pada awalnya, tapi Ana kata Ana dah sedia. Lagipun, Pakcik bukannya ayah kandung. Manalah tahu dia ada hajat tertentu yang terselindung. Paksu kata,kalau dia balik Pilah, bukannya kosong. Kalau boleh dia nak Mak tunduk sangat2 pada dia dan serahkan apa harta yang ada. Bukan setakat ilmu biasa, yang pelik2 pun ada. Ilmu Burung lah, macam2 lagi untuk kesenangan sementara (dunia). Yang ada pada Mak tu, lagi hebat. Pada anak2 perempuan Mak pun dah ada sikit2. Benganglah, dahlah dia tu cuma ayah tiri, buat macam ni pulak! Padanlah Mak boleh menanggung dia tanpa dia bagi Mak sesen pun. Kalau ada pun tak banyak. Entahkan apa niat dia Mak! Ana dah mula rasa tak suka! Dahlah anak2 dia sombong kata Mak macam2. Kononnya Mak sengaja taknak jaga ayah dia lah, sedangkan sakit Mak diorang tak ambil peduli. Bila cakap bapa dia ada menuntut sendiri, taknak cuba check dulu. Taknak mengaku kelemahan sendiri".

"Dahlah! Jangan kita pula yang jadi jahil macam dia dengan anak2nya. Mak pun memang dah lama tahu, dia ada buat Mak. Dia pun kalau pergi mana2 tu, mesti macam nak bertelagah je terutama dengan orang Negeri jugak. Tak tahu kenapa. Kita doakan aje dia berubah! Janganlah sampai kau tak balik Puchong pulak. Dek kerana macam ni, anak2 macam buang Mak, tak pedulikan Mak. Bukan salah Mak pun," Mak bertegas lagi. Terbit rasa kasihan pada Mak dengan apa yang terjadi, tapi aku cukup kesal kenapalah ada segelintir manusia yang lebih percayakan kuasa selain Allah yang kononnya boleh membawa tuah, itu dan ini. Jahilnya orang zaman dahulu, kurang didikan agama. Itulah yang dikatakan zaman 70-an, zaman Disco, zaman air gas(arak) dan apa yang lebih dikesalkan, perbuatan syirik yang menyekutukan Allah.

"Ana belum bersedia lagi Mak. Ana akan sampai juga ke rumah Mak tu, sabarlah!"aku terus memujuk Mak kerana tidak mahu dia terasa diketepikan. Belum sempat aku meneruskan kata, Mak sudah memutuskan talian handphone. Aku tidak terkejut dengan tindakan Mak, sememangnya aku jujur tidak bersedia kerana aku sendiri maklum tentang keadaanku sendiri.

Seingatku, aku sudah pernah berubat setelah aku mengetahui tentang perubahanku dulu. Ianya sebuah kisah silam yang aku sudah lupakan dan tiada kaitannya lagi sekarang. Aku fikirkan tentang keempat2 benda itu kepunyaan siapa. Aku masih ingat, Paksu ada memberitahu, "Fida akan tahu juga kelak dengan keizinan-Nya. Mungkin ditengoknya dah pernah ada benda lain masuk, sebab tu dia cuba hantar yang ini pula." Aku terfikirkan pula kata2 Pakcik satu masa dulu, "Rumah ni cuma rumah single storey biasa je Na, macam low cost. Tak cukup lagi..". Itulah kata2 Pakcik sewaktu kali pertama melihat rumah baru kepunyaan suami untuk kami tinggal. Adakah Pakcik kurang berkenan dengan suamiku kerana mungkin masih tidak cukup kaya sepertimana menantu2nya sekarang? Ataukah mungkin dia mahukan menantu yang lebih hebat dan berharta mengikut kehendaknya?

Aku biarkan sahaja soalan yang terkumpul itu di benak fikiran. Dengan izin Allah, ada jalan keluar dan penyelesaian. Itulah yang dikatakan lumrah hidup, manusia kadang-kala alpa dengan tanggungjawab yang lebih utama. Berada di bumi Allah yang sementara ini untuk menuju Akhirat yang lebih kekal abadi.

Aku sempat berjumpa Pakcik sebelum berangkat pulang dari rumah Mak. Pakcik seolah2 terkejut kerana tidak menyangka aku akan menyalaminya sebelum pulang. Aku biarkan sahaja keadaan itu. Setelah aku pulang dari rumah Mak, aku menjadi tidak sihat. Namun kukuatkan hati untuk menghabiskan surah Al-Baqarah selama 2 setengah jam di waktu malamnya untuk mengelak sesuatu mengikut semasa dalam perjalanan pulang. Namun jauh di sudut hati, aku juga berdoa agar hati tua itu (Pakcik) akan berubah dan bertaubat kepada-Nya. Hanya Allah Maha Pelindung dan Maha Mengetahui.

Tuesday, December 15, 2009

KISAHKU-12

Aku mengetuk pintu bilik orang penting syarikat kerana aku memerlukan tandatangannya. Siapa lagi kalau bukan Pengarah yang memang terkenal dengan budi bahasanya dan tinggi ilmunya dalam bidang perniagaan. Dia memang seorang yang baik dan pandai mengambil hati anak buahnya. Aku juga senang berkomunikasi dengannya dan sebagai orang yang patut dihormati, aku selalu berbual mesra dengannya kerana dia juga selalu berkunjung ke bilikku untuk berkongsi masalah kerja. Aku sendiri tidak pasti kenapa dia cukup senang denganku sedangkan aku bukanlah seorang yang sangat penting dalam perjalanan syarikat, tetapi itulah yang dia sering lakukan. Berkunjung ke bilik sambil menilik kerja yang kulakukan. Malahan ketuaku sendiri tidak menyelia sebegitu terhadapku. Maklumlah, aku cuma seorang kerani cabuk. Maka, aku sering menjadi bahan gossip di kalangan rakan2 sekerja kerana kunjungan 'big boss' yang kerap.

"Saya perlukan signature tuan untuk teruskan transaksi ini," aku menghulurkan dokumen sambil memandang ke arahnya. Aku membetulkan dudukku kerana tidak selesa. Maklumlah, jarang sekali aku masuk ke bilik orang2 besar sepertinya. Namun aku menanti dengan penuh debaran selagi kerjaku belum selesai. 'Besar juga bilik dia, siap ada sofa dan tempat berehat' detik hatiku.

"Nantilah dulu, kita borak dulu. Kerana Fida, saya sanggup buat apa sahaja asalkan Fida senang dengan saya. Fida tahu macamana saya pertahankan empayar syarikat ini dan anak2 syarikat untuk menjadi lebih baik. Semuanya idea saya," aku hanya mendengar kata2nya yang penuh dengan semangat menceritakan sejarah penubuhan syarikat. Namun tercalit di hatiku, ada banyak perkara yang aku tidak faham dengan ceritanya kerana ilmuku tidak sampai ke tahap itu. Matanya juga meliar mencari anak mataku kerana aku lebih suka menunduk untuk mengelak.

'Kenapalah dia menceritakan semua ini kepadaku? Bukankah aku tidak faham? Ilmu yang kuada tidak setanding dengannya,' gerutu hatiku. Sebenarnya masih banyak kerjaku sendiri yang perlu diselesaikan. Kerana itu, aku mahu pulang segera ke tempatku untuk memulakan semula kerja. Tetapi, apakan daya. Orang yang berada di depanku ini bukanlah calang2 orang untuk mengelak, tak fasal2 periuk nasiku juga tergugat. Mungkin dia sengaja mahu bersembang untuk mengisi masa lapangnya. Yakah begitu? Entahlah, aku sendiri tidak faham dengan kerja orang atasan.

Aku hanya tertunduk dan masih mengukir senyum untuk mengimbangi perasaan tidak selesa. Pekerja lain memang tidak akan perasan dengan apa yang berlaku kerana biliknya agak besar dan terselindung dari pandangan mata pekerjanya. "Tunggu kejap ye" tiba2 dia menyandar di kerusi empuknya. Tangannya mencapai sesuatu di bawah meja dan aku sendiri tidak tahu apa yang dia lakukan. Entah tiba2, dia bangun menunduk ke arahku sambil bercakap dan tangannya menyentuh daguku. Semuanya sekelip mata. Aku panik kerana tidak menyangka sikapnya yang semakin menjengkelkan sehingga berani menyentuh muka. Tiba2 hatiku mula berubah, sejuk dan luluh yang aku sendiri tidak tahu untuk mentafsirkannya.

"Ok?" aku tersentak seolah2 baru dikejutkan oleh alam khayalan. Aku sendiri tidak pasti apa yang 'ok'. Aku hanya mengangguk dan cuba membuka langkah dari bilik itu dengan segera. Kenapalah aku terlalu percayakan orang, sehingga dia boleh menyentuh daguku. Sebenarnya aku seperti terpukau ketika itu. Salah aku juga, lemah dan tidak berani menentang.

Tetapi perubahan semakin ketara. Aku sukar untuk melelapkan mata kerana asyik teringatkan dia. Aku cuba menepisnya tetapi lemah. Aku tidak mampu menolaknya. Bayangannya sahaja berada di mana2. Pernah satu hari, aku sedang bersama-sama rakan untuk meraikan hari lahirku di KFC salah sebuah shopping complex. Tiba2 dia menghubungiku untuk berjumpa. Ya, dia memang tahu tentang tarikh lahirku. Aku memang mudah berkongsi cerita dengannya kerana sebenarnya aku menganggapnya sebagai ayah sahaja. Maklumlah, umurnya lebih tua dari Mak dan dia juga sudah mempunyai anak teruna. Masakan aku boleh menyangka buruk dengan hubungan ini.

Sebuah kereta mewah melepasi kami. Driver kereta mewah itu menghilang bersama keretanya. Aku juga hairan kerana dia sanggup turun ke tempat seperti itu hanya semata2 untuk berjumpa aku. 'Mungkin ada apa2 yang ingin dibincangkan tentang kerja. Apa urusannya denganku? Tempat macam ni bukan standard orang2 macam ni,'bisik hati. Tapi dalam masa yang sama, aku juga tutut nantikan wajah itu dan debaran semakin kencang.

"Saya dah lama tak datang ke tempat yang macam ni. Rasanya dah berbelas tahun," dia memulakan perbualan. Aku sendiri tidak selesa dengan suasana itu kerana rasa bersalah dengan keadaan tempat yang mungkin dia tidak selesa. "Kenapa nak jumpa? Ada apa2 ke?" aku mahukan kepastian. Rakan di sebelah hanya memerhatikan kami berbual. "Hari ni kan Fida punya birthday, dah tentulah saya nak celebrate sekali," aku hanya tergelak mendengarnya. Aku cukup senang dengannya kerana dia kuanggap ayah adalah tempat aku boleh menumpang kasih. Kasih yang bagaimana? Kasih seorang ayah yang tidak akan putus walaupun aku berkahwin dengan orang lain kelak. Arwah Abah sudah lama meninggal dunia. Aku rindukan kasih itu. Lagipun dia mempunyai anak lelaki. Biarlah aku berbaik dulu. Bolehlah dia kenalkan padaku satu hati nanti, andaianku.

"Fida, akak rasa hubungan Fida ni bukanlah hubungan biasa. Takkanlah Fida tak boleh fikir. Memanglah Fida rasa biasa je sebab Fida staf biasa, takkan orang macam tu boleh terpaut. Tapi, lelaki ni ada bermacam2 citarasa. Tambah pula, orang yang dah beristeri dan berduit pula. Fida tak usahlah kawan dengan dia lagi,"rakan yang menemankan aku cuba menelah setelah memerhatikan sahaja perbualan kami tadi. Walaupun tidak banyak ayat yang keluar, tetapi mungkin dengan perbuatan ataupun pelbagai reaksi boleh dinilai oleh orang lain. Walaupun tidak bersentuhan.

Aku juga tidak sedar akan perubahanku. Aku juga bersalah kerana membiarkan hubungan ini. Memang pernah dia berhasrat untuk aku menyambung belajar supaya aku dapat berdiri sama dengannya dalam status kerjaya. Memang pernah dia berhasrat untuk memberikan aku bisnes butik untuk aku usahakan. Tetapi semuanya aku buat endah tak endah kerana aku fikirkan siapalah aku. Mungkin dia sedang berangan kerana tiada anak perempuan.

"Fida anggap saya macam ayah kan?" dia pernah bertanya. Aku mengangguk. Tidak faham dengan telahan orang tua itu. Aku sukar untuk menangkap apa yang difikirkannya. "Kalau ..ribu cukup tak? Gaji saya tak banyak!" dia merendah diri. Aku semakin tidak mengerti. Apa sangkut paut dengan gajinya? Adakah dia melamar aku untuk anaknya? Akal budak2ku masih tidak dapat membaca fikirannya. Bodohnya aku ketika itu. Akhirnya aku berterus terang mengatakan yang aku memang menganggapnya sebagai seorang ayah dan tidak lebih dari itu sepertimana yang pernah aku katakan. Aku tidak menyangka ianya menjadi serius sehingga ke tahap ini. Aku benci dengan keadaan itu kerana seolah2 aku telah mengkhianati perempuan lain.

"Sampai hati Fida nak pergi juga. Saya dah belikan rumah dah. Tak sangka nak pergi juga," dia seolah2 masih memujuk supaya aku tidak meletakkan jawatan di syarikat itu. 'Aku takde terhutang budi apa2 pun sebab tidak pernah menerima barang darinya,' gertak hatiku. Aku sendiri tidak faham dan tidak peduli dengan kata2 lelaki di depanku lagi. Walaupun hatiku ada terasa lembut lagi untuk tidak melupakan, aku tetapkan juga pendirianku untuk pergi.

Itulah yang aku masih ingat tentang kisah lampauku. Zaman bujang yang masih belum matang dengan ragam manusia. Kutahu, ada kesilapan yang kulakukan. Aku begitu lemah bersandarkan kasih seorang ayah yang telah salah faham terhadapku. Seingatku, aku cukup berhati2 dengan pemberian orang. Sebarang aset tidak pernah kuterima seperti rumah, kereta malahan barang2 yang lain. Aku akan ingat, berhati2lah dengan perasaan orang lain. Tiada istilah kawan baik antara lelaki dengan perempuan dalam Islam, malah hubungan angkat-berangkat juga tidak digalakkan. Semuanya terbatas.

Sehingga sekarang, aku begitu takut dengan pengalaman itu. Aku juga kesal dengan apa yang terjadi..

KISAHKU-11

Aku masih mengharap agar tidak dibelenggu dengan keadaan ini. Aku masih terkejut dengan kata2 ustaz. Aku tidak menduga sesuatu yang lebih buruk telah datang dalam hidupku. Kenapa semua ini terjadi? Apakah salahku? Adakah aku telah berdosa kepada insan lain? Aku tidak boleh menjangkau kisah silam yang terselindung di sebalik kejadian ini. Aku lupa. Lupa kerana ianya sudah lama.

"Macamana awak rasa sekarang? Awak takut dengan saya? Atau tak suka?" Ustaz bertanyakan aku. "Saya ok je. Takde rasa apa," aku mengelak dari memandang mata ustaz kerana hatiku sebenarnya memang berdebar2. Kenapa badanku terasa bergetar, aku sendiri tidak boleh mengawalnya. Aku juga tidak senang dengan kehadirannya sedangkan aku mahukan pertolongannya. Hampir2 aku membatalkan saja temujanjiku dengan ustaz untuk datang ke rumah sebelum itu, tetapi rupa2nya dia sudah sampai di kawasan rumahku. 'Mungkin ada yang tidak kena dengan diriku' gesus hati.

Lalu dia membacakan ayat2 suci al-quran yang biasa didengar seperti surah Fatihah, Ikhlas, Falaq, Nas dan lain2nya. Namun aku seperti tidak boleh mengawal diri, terlalu mengantuk, gelisah dan dirasakan seperti mahu tumbang. Sedangkan apa yang dibaca hanyalah ayat2 al-quran. 'Kenapa ni? Kuatkan semangat!'gesa hatiku. Aku serba tidak kena, kadang2 duduk di sebelah suami, kadang2 di belakangnya kerana sering mengubah tempat. Anakku duduk dengan Babahnya kerana aku sendiri tidak pasti adakah selamat dirinya di sampingku ketika itu.

"Ini bukan rumah saja nak kena tengok, tapi diri sendiri juga." Ustaz bersuara. Aku semakin diam tidak mengerti. Mulut seperti terkunci kerana berdebar. "Ada apa2 masalah di pejabat? Dengan boss macamana? Ok je ke?" dia bertanya lagi. "Ok je," aku sendiri tidak mengawal pertuturan kerana berdebar2. Betul ke tidak jawapan yang diberi, aku sendiri tidak pasti. "Benda ni dah lama ni. Saya sendiri asyik keluar angin je. Kesannya pada saya," dia memberitahu sambil bersendawa.

"Awak duduk berlunjur kaki. Tanggalkan semua barang kemas supaya tiada apa halangan untuk dia keluar. Kita pujuk dia keluar," ustaz menyuruh dengan tenang. Aku semakin tidak mengerti apa yang dia ingin lakukan. Aku menurut sahaja. Berbagai ayat al-quran dibaca dan mulutnya tidak berhenti berkumat-kamit. Dia memegang jari kelingking di kanan kiri kakiku dengan beralaskan kain. 'Ssss...sakitnya,'desis hatiku. Aku sudah mula rasakan yang diriku ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya pegang ni, awak rasa sakit kan? Saya tak tekan kuat pun. Biasa je. Cuba abang pegang pula," ustaz menawarkan suami untuk memegang jari kelingkingku. Memang tidak sakit dengan sentuhan tangan suami dan tidak seperti ustaz tadi. "Itu tandanya, ada sesuatu yang tidak kena dengan diri awak sendiri. Kerana saya sudah bacakan ayat2 suci. Mari kita mulakan. Alang2 dah sampai dari jauh, biar kita berperang habis-habisan. Awak kena ingat Tuhan. Lawan dia," ustaz menyambung hujahnya. Aku pun mula berkumat-kamit membaca zikir dan bismillah untuk menahan sakit. Namun akhirnya...

"Sekarang rasa macamana? Ringan sikit tak? Dia dah keluar. Tapi saya tak boleh buat satu hari. Kena datang semula untuk tengok lagi. Berdoalah banyak2 pada Allah kerana Dia paling berkuasa. Kita hanya berusaha. Doa orang yang teraniaya akan termakbul tetapi kita sendiri kena dekat dengan-Nya. Doalah supaya tutupkan hajat orang tu untuk teruskan niat jahat dan bukakanlah pintu hatinya untuk bertaubat"panjang lebar ustaz menerangkan. "Orang hantar ke ustaz?"suami mencelah. "Wallahua'lam. Allah Maha Mengetahui. Biarlah patah balik kepada tuannya. Akak ni sabar banyak2. Insya Allah ada jalan keluar,"

Tiada sebutir kata pun yang keluar dari mulutku. Aku masih penat dan terasa lenguh2 semua kaki terutamanya tapak kaki. Sebenarnya aku telah tidak sedarkan diri. Jeritan yang nyaring tiba2 kedengaran menggemparkan suasana sunyi kawasan kejiranan serta kakiku tiba2 bergetar. Tanganku menadah seolah2 meratib sambil mulutku berkumat-kamit. Kemudian asap keluar melalui tapak kaki seketika. Itulah yang diceritakan semula oleh suami yang melihatnya. Ustaz juga memberitahu itulah cara orang yang menghantar dengan cara meratib dan berpantun dengan menggunakan ayat2 pemujaan. Mungkin jika aku sendiri yang melihat kejadian itu, aku sendiri menjadi gerun.

Kini aku mula mengimbau kisah silam. Masa lampau yang cuba diingati berselang-seli dengan wajah2 yang pernah aku temui sebelum ini. Aku sendiri tidak pasti. Payahnya untuk mengingati sesuatu yang kita sendiri tidak sedar akan kesilapan lampau. Kejamkah aku dengan kesilapan lalu sehingga aku diperlakukan sekejam ini? Aku tidak mengerti. Hati mula tertanya2, siapakah dia...

Sunday, December 13, 2009

KISAHKU-10

Sebelum aku meneruskan penulisan, eloklah aku memohan maaf sekiranya terdapat tutur kata, perbuatan mahupun apa jua yang memberi kesan terhadap orang lain samada perasaan mahupun apa jua yang terselindung tanpa kusedari. Setelah bertahun2 lamanya kusimpan, ingin aku titipkan sebagai kenangan pahit dalam hidupku. Dan juga baru2 ini, setelah kutahu masih ada sisa yang entahkan dendam, entahkan apa, aku sendiri tidak dapat menduga.

'Ya Allah! Sesungguhnya aku insan yang teraniaya. Tutupkanlah hati orang yang berkenaan dengan niat buruknya terhadap keluargaku. Dan Kau bukakanlah hatinya untuk bertaubat dan menemui jalan kebenaran. Cukuplah sudah penderitaan ini. Aku sendiri tidak mengerti kenapa ini semua terjadi. Berikanlah aku jalan keluar ya Allah, hanya Kau Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar. Hanya Kaulah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu dan Kaulah maha Pelindung. Lindungilah keluargaku dari sebarang niat jahat manusia dan segala makhluk ciptaan-Mu. Amin Ya Rabbal Alamin...'

Aku tetap sabar dengan apa yang terjadi. Aku masih ingat lagi, sewaktu majlis perkahwinan semakin hampir, aku semakin sakit dan batuk tidak berhenti. Sehingga keluar kahak berdarah kerana tekakku luka . Namun, tiada apa yang doktor boleh buat kerana mereka sendiri tidak pasti penyakitku. Akhirnya aku berjumpa dengan seseorang yang alim setelah banyak kali aku mencuba cara moden tetapi tidak berhasil.

"Orang itu berniat untuk menghuru-harakan majlis kenduri kahwin nanti. Kalau boleh, dia mahukan salah seorang dari kamu tumbang ketika bersanding. Takpe..saya akan berikan ayat2 al-quran dan zikir amalan untuk dibaca sendiri sebagai pendinding. Kita hanya mohon dengan Allah kerana Dia lebih berkuasa dari segalanya. Air ini telah saya bacakan ayat2 suci dan jangan dilangkah. Pada hari kenduri nanti, semua makanan perlu direnjis dengan air ini supaya orang yang datang tidak boleh membuat santau. Ingat tu, jangan lupa. Lagi satu, jangan tidur awal sangat. Benda senang nak masuk."

Gerun aku mendengarnya. Biasanya bakal pengantin akan sibuk melengkapkan diri untuk majlis dan jemputan, tetapi aku sibuk dengan pendinding diri supaya tidak tumbang ketika majlis. Itulah keperitan yang dirasakan, sehingga aku terlupa untuk menjemput sebahagian rakan2. Aku menyambut hari perkahwinan dengan lesu dan tidak bermaya. Ditambah pula dengan jurukamera professional yang agak cerewet untuk mendapatkan 'pose' yang terbaik. Namun hasilnya, sungguh memuaskan dan aku senang dengan gambar2 yang diambil.

Aku sendiri tidak pasti apa yang tidak kena. Siapa yang tidak senang denganku, aku sendiri tidak dapat menjangka. Kenapalah tidak berterus terang, bukankah lebih mudah daripada melakukan perkara yang bukan2. Hai..itulah hati manusia. Tiada siapa yang dapat melihat isi hati sebenarnya. Takkanlah kerana aku ingin berkahwin dengan suami! Aku bukanlah cantik sangat macam artis, hidung pun tak mancung. Siapalah aku ini untuk orang mencemburui aku. Atau ada tutur kata yang tidak menyenangkan, mungkin. Kenapalah tidak berterus terang.

Sebenarnya, suami adalah insan kedua yang pernah datang dalam hidup. Aku pernah bertunang dengan orang lain sebelumnya tetapi tidak lama. Pada hari pertunangan yang petama, aku tertidur di kamar sendirian dan tidak mengingati apa yang berlaku. "Hei! Fida. Bangunlah! Tidur ke? Orang dah naik nak sarung cincin lah..." Rakan yang menunggu di luar bilik datang mengejutkan aku. Aku terkejut dengan keadaanku yang berpakaian cantik. Aku lupa yang hari itu adalah hari pertunangan. Setelah beberapa minggu bertunang, bekas tunangku sudah mula membenci aku. Dia tidak mahu meneruskan hubungan lagi. Kakaknya juga ada memberitahu yang adiknya tidak mahu menjamah makanan setelah dia cuba meletakkan air yang telah dibacakan ayat suci ke dalam makanan. Malahan pulang ke rumah juga tidak mahu.

Aku menganggap itu semua sebagai ujian. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Walaupun halangan datang menimpa, akhirnya jodohku tersurat untuk suami. Aku bersyukur kerana telah bahagia bersamanya. Walaupun ada terdetik di hati sesuatu yang tidak elok, aku cuba menepisnya. Namun naluriku tetap berkata, ada sesuatu yang tidak kena. Walau bagaimana sekalipun, aku tetap berdoa agar orang berkenaan bertaubat, lembutkanlah hatinya dan sentiasalah ingat, hidup kita hanyalah sementara di muka bumi kerana akhirat lebih kekal abadi.

Milik kita hanyalah kenangan, milik kita hanyalah impian dan milik segalanya hanyalah Allah S.W.T Penentu segalanya.

Tuesday, December 8, 2009

Celebrity Morph by MyHeritage

MyHeritage: Family tree - Genealogy - Celebrity

KISAHKU-9

'Kipas terbuka lagi!'rasa terkejut setelah tiba di rumah bila melihat kipas masih berputar menandakan dari pagi ianya terpasang. 'Mungkin aku terlupa untuk menutupnya sebelum pergi kerja pagi tadi'pujuk hatiku.

Tempohari, air paip melimpah apabila setibanya aku di parkir kereta. Terkejut juga aku kerana tidak pernah kami terlupa untuk memeriksa semua keadaan rumah sebelum keluar ke mana2. 'Kenapa selalu terlupa? Ke ada sesuatu yang mainkan aku? Atau ini adalah bentuk halangan yang dibuat oleh sesuatu benda ghaib kerana aku telah cuba berhubung seseorang untuk datang ke rumah melihat sendiri apa yang tidak kena dengan rumah ni,'hatiku berdesis lagi.

Pernah suatu hari, tiba2 bunyi sesuatu seperti tercampak. Terkejut aku apabila mendapati gambar kahwin suami yang tergantung di dinding terjatuh tetapi seolah2 terletak dengan elok. Namun gambar itu kami lekat semula. Selang beberapa minggu pula, gambar kahwin aku pula yang terjatuh dengan agak kuat tetapi kali ini kaca habis bersepai di lantai. Tapi aku memujuk hatiku kerana mungkin bingkai gambar kami tidak menggunakan tali tetapi hanya double tape.

Sebenarnya, memang ada sesuatu yang tidak kena sebelum itu. Satu malam, anakku merengek seolah2 mahukan susu. Setelah aku bancuhkan, dia menolak susu yang aku hulurkan menandakan dia bukan inginkan susu. 'Macam ada sesuatu,'aku menelah. Aku cuba tidur tapi tidak boleh lalu pura2 tidur. Tidak lama kemudian, pintu bilik terbuka sendiri. Aku terkejut kerana tiada sesiapa di luar melainkan kami yang sedang tidur di dalam bilik. Pintu juga biasanya dikunci. Masakan pula boleh terbuka. 'Tapi mungkin terlupa menguncinya dan ada angin yang menolaknya,'hatiku memujuk.

Aku juga pernah rasa tidak mahu tinggal di rumahku dan berniat untuk membeli rumah lain. Aku rasa tidak selesa dengan suami dan seolah2 mahu saja berpisah dengannya. Tapi kutahan emosiku dan mungkin hanya ujian hidup berumahtangga. Sedangkan tiada apa yang tidak kena dengan hidup kami seharian. Cuma dirasakan tidak rasi..! Apa yang tidak rasi, aku sendiri tidak tahu. Seolah2 hatiku sering memberontak sedangkan suami memang seorang yang baik perlakuan. Kadang-kala, balik ke rumah pun dirasakan malas kerana tidak begitu rasi. Entahlah...

Namun suatu hari, aku mendengar ceramah dari seorang ustaz di jabatanku. "Sebenarnya memang tugas iblis dan syaitan untuk memecahbelahkan umat manusia. Kerana itu, banyak berlakunya perceraian di kalangan masyarakat kita. Sehingga di dalam rumah pun, ada syaitan yang bernama 'DASIM' yang cuba untuk meretakkan hubungan suami isteri." Ustaz memanjangkan cerita tentang satu kes perceraian yang hanya kerana dilihatnya seorang perempuan masuk ke rumah bersama suaminya dan menyebabkan si isteri meminta cerai. Sedangkan si suami masuk ke rumah berseorangan dan berlaku pertelingkahan.

Ya, mungkin juga. Semenjak ceramah itu, aku pun mula memasang CD al-quran sehingga rosak dan ditukar ganti. Perasaan curiga, tidak rasi, seolah2 ada orang lain di dalam rumah, semuanya sudah tidak timbul lagi. Tetapi apabila bacaan al-quran berkumandang, kadang-kala tanganku seolah2 bergetar di bahagian jari telunjuk dan badanku juga bergetar. Kalau tidak pun, ibu jari kakiku terasa sakit dan ianya bergetar sendiri.

Itulah yang berlaku semalam apabila aku memasang CD quran. Apa yang tidak kena, aku sendiri tidak pasti. Aku juga mengharap ada orang lain yang boleh memberi komen tentang perubahanku kerana aku sendiri tidak sedar akan perubahan diri ini. Tidak kira berada di mana2. Ini kerana, pernah satu malam aku terdengar bunyi anak kucing mendayu2 seolah merayu menagih simpati di banglo yang kusewa di A Famosa Resort. Aku terkejut kerana bunyi anak kucing yang sama seperti di rumah dan bagaimana pula ada anak kucing tengah2 malam ni sedangkan tiada di waktu siangnya. Masakan pula dia ikut bersama kami ke Melaka tapi bagaimana?

Aku semakin keliru. Biarlah masa yang menentukan. Aku juga berharap kami betul2 sebulat hati membawa Pak Su (hanya panggilan) dan seorang ustaz untuk melihat sendiri rumahku. Katanya mereka boleh melihat benda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Itulah kisah rumahku, tidak habis2 dengan ragam penghuninya.. Yang aku tahu, penghuninya cuma kami bertiga anak beranak. Tiada yang lain setakat ini...

Monday, December 7, 2009

KISAHKU-8

Sejuknya hari ini. Alat penghawa dingin pejabat yang mungkin telah rosak sehingga membuatkan orang di dalamnya terasa kesejukan. Aku tidak tahankan keadaan sejuk. Lebih rela berjalan2 untuk memanaskan badan tetapi kurasakan amat penat. Manalah tidak, baru semalam aku pergi ke 'The Curve' dan 'Subang Parade', sudah tentu terasa letih.

Hilang butir kata. Itulah keadaanku bila kesejukan. Ketar dan kadang-kala gigi terketip sendiri menahan sejuk. Tapi tidak setiap hari aku menahan sakit. Hanya kadang2 dan boleh secara tiba2 ianya terasa. Ianya juga tidak perasan dari mata kasar kerana aku tetap kekal dengan perlakuan yang biasa dilakukan. Cuma diam tertunduk tanpa kata dan ini tidak membuatkan orang terfikir kesakitanku kerana aku sememangnya seorang pendiam. Dan masih boleh membuat kerja seperti biasa. Jika dirasakan pedih, aku hanya mengadap komputer melayari internet atau tidur seketika. Aku harap tidak ada salah sangka terhadapku. Aku harap aku tidak dikatakan sombong. Tapi sebenarnya aku redha jika orang berkata begitu, mungkin mereka tidak memahami kenapa sebenarnya aku. Aku sendiri tidak bersedia untuk memberitahu.

"Kak Fida macam sakit. Ok ke?" Cik Ika menegurku ketika keluar dari surau di unit kami. Dia merupakan salah seorang ketua unit di sini. Aku hanya menggelengkan kepala. Begitulah aku jika orang menanya. Aku hanya menidakkan apa yang mereka lihat. Ataupun aku hanya berkata perlahan,"Taklah. Cuma penat dan mengantuk". Kenapalah aku tidak mahu berterus terang. Tapi fahamkah mereka jika aku memberitahu.

"Takut tengok kak fida. Muka semakin cengkung." Ani menegur perubahanku. "Kan puasa, biasalah kurus."aku menjawab. Namun aku terfikir,'yekah begitu? Atau memang perubahan ini disebabkan...ah!Aku takkan mengalah.'

Pernah sewaktu di musim raya aidilfitri. Jiran2 mahu berkunjung ke rumahku. Aku tetap tidak akan menolak walaupun sepenat manapun aku. Itulah menjadi amalan, tetamu dikatakan membawa rezeki. Sebenarnya rezeki berjumpa dan berkunjung kerana entah bila lagi kita akan dikunjungi tetamu di rumah. Aku pula baru sahaja pulang dari hospital kerana anakku semput dan batuk teruk waktu petangnya.

Apabila mereka sampai, aku tetap mengukir senyum seperti biasa. Namun terlalu sedikit butir ayat yang keluar dari kerongkong kerana terlalu penat dan aku menceritakan keadaan anak yang kurang sihat. Sedangkan suami sedang berbual rancak bersama tetamu lelaki. Kadang-kala aku terfikir, bagaimana perasaan mereka? Adakah mereka berasa tuan rumah tidak melayan dengan elok? Entahlah, perlukah aku memberitahu keadaan sebenar aku? Fahamkah mereka? Mampukah aku menerima ucapan sedih daripada mereka jika mereka tahu? Betulkah mereka tidak merendahkan aku? Tidakkah itu semua boleh membuatkan aku bertambah sedih dan sakit?

"U ni tak fikir ke? Takkan ada orang lelaki yang boleh mengahwini perempuan yang tidak boleh memberikan zuriat atau berisiko? Tengok macam Era Fazira dengan Yusri! Akhirnya bercerai juga sebab katanya Era yang tak boleh!" Masih terngiang2 kata2 itu. Aku berasa malu ketika itu kerana suara seorang rakan yang telah kuluahkan isi hati untuk berkongsi masalah, akhirnya bercakap tanpa rahsia tentangku di tempat awam. Patutkah begitu? Sejak itu, biarlah aku menyimpannya sendiri. Serik dan dirasakan aku tidak perlukan sesiapa lagi untuk berkongsi kepedihan.

Namun kini, suamilah tempat aku meluah rasa. Itupun kadang2 dia sibuk dengan aktiviti komuniti kawasan. Aku terfikir juga, manalah tahu ditakdirkan maut tiba esok lusa, siapalah lagi orang terdekat yang akan menguruskan kita. Sudah tentu jiran tetangga. Bila diingatkan tentang Era Fazira(seorang artis terkenal tanah air), kini dia sudah pun mempunyai seorang anak bersama suami barunya. Lihatlah dunia! Allah telah membuktikan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya. Aku juga bersyukur sudah bahagia bersama keluarga sekarang.

"Mak masih ingat lagi. Sewaktu Mak susah dan solo dulu. Orang telah mengatakan Mak menyundal di waktu malam kerana balik ke rumah malam2. Sedangkan Mak menyambung pengajian al-quran di Masjid Shah Alam. Sedangkan Mak berniat untuk menyara keluarga dengan tauliah yang akan Mak dapat jika bersungguh belajar." Aku memahami kata2 Mak yang sedih dengan kata2 orang kampung. Tetapi semuanya sudah berubah. Kini Mak sudah buktikan yang dia mempunyai wawasan, dia telah berjaya dan senang dengan hidup barunya.

"Itulah juga sebabnya Mak berkahwin lagi supaya orang tidak mengata Mak ingin mengambil laki orang", Mak menyambung lagi. Ya, Abah sudah lama meninggal dunia ketika aku mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1995. Hidup Mak susah kerana hilang tempat bergantung. Dengan kesusahan itulah mengajarnya untuk lebih berjaya pada masa kini. Aku jugalah salah seorang anak yang tidak sempat berjumpa dengan arwah Abah sebelum dia meninggal kerana aku berada jauh di asrama Kuala Selangor dan sedang sibuk dengan SPM. Kerana itu, aku tidak diberitahu awal dan mereka juga tidak menyangka arwah Abah pergi juga menemuiNya walaupun sudah menjalani pembedahan otak setelah diserang strok. Sedangkan Abang Long yang berada di USA, sempat pulang untuk menemuinya. Sedihnya bila terkenangkan perkara lampau.

Namun, hatiku tetap betah dengan ujian. Mungkin kesusahan juga telah mengajarku. Pernah satu ketika, tiada sebarang benda yang boleh dimakan di rumah Mak. Peti ais juga kosong tanpa isi. Yang tinggal hanya beras dan garam. Itulah yang dikatakan kemiskinan bandar. Hidup bujangku dulu juga penuh kesukaran. Aku sudah biasa dengan keadaan itu. Tidak seperti suami, ibu dan ayah masih hidup di muka bumi ini. Tidak pernah berasa susah sepertiku. Aku terfikir, Allah akan memberi ujian pada hambaNya mengikut tahap kemampuan hambaNya.