Sunday, December 6, 2009

KISAHKU-7

Seronoknya melihat anakku yang sedang bermain gelungsur yang baru dibeli oleh Babahnya. Hilang sekejap demamnya yang sudah 3 hari kurang selera makan. Baru petang tadi suami mengajak kami untuk pergi ke The Curve di Kota Damansara. Mungkin ke tempat makan yang boleh membuka selera makan Daus, fikirku.

"Babang tak jumpa apa yang dicari. Robot yang Babang nak, takde. Daus dah sibuk nakkan robot lagi." Mata suami meliar keliling deretan kedai. "Kan dah banyak robot di rumah. Lebih baik tak usah belikan. Belilah benda lain, macam Junior Engineer ke.. di Toys R Us. Ia ada banyak tools dan boleh dia bertukang. B tengok banyak sungguh dia beggar, set kerusi yang B beli di Toy City pun dia selalu bukak skrunya."

Akhirnya, kami memilih gelungsur di Toys R Us kerana memikirkan mungkin Daus masih belum pandai bermain 'shoot' bola sebagai pilihan kedua. Kemudian kami singgah ke Restoran Padang untuk mengalas perut. "Berselera sungguh dia makan. Agaknya, rasa happy bila dah dapat mainan." aku mencelah sambil menjeling ke arah anakku. Dari tadi dirasakan sunyi kerana masing2 menikmati makanan yang terhidang di depan mata.

Aku mula teringatkan kenangan sewaktu pergi ke Safari. Daus sepanjang perjalanan menangis kerana ketakutan menaiki trak yang berdawai untuk mengelak dari binatang buas. Terasa geli hatiku walaupun ada juga rasa kasihan dengan ragam anak. "Mak ingat nak ajak Abang Long dengan Ayu pergi Melaka. A Famosa Resort. Yelah, lagipun Ayu kan dah habis pantang. Sekurang2nya biar dia lupakan yang dulu tu." Itulah kata2 yang telah membawa kami ke sana.

"Ainul Mardiah...Yelah..Pergilah.." Abang Long tersekat2 menyebut baris ayat sambil menatap wajah itu. Kedengaran yang lain, menahan sedu termasuk aku, renek2 jernih mengalir ke pipi lalu kuseka dengan cepat. Sebagai seorang muslim, tidak elok kita meratap tangis di atas kematian. Sedihnya anak kecil Along yang baru beberapa jam dilahirkan, pergi jua menemui-Nya.

"Mama..nak susu." Aku tersentak. Anakku! Alhamdulillah aku masih punya seorang anak yang sihat seperti Daus. Tapi aku telah memarahinya dan demam keesokan harinya. Mana taknya, dia bermain pampers kotor, tentulah aku meninggi suara. Biasalah, Daus memang mudah terasa dan mudah sakit jika kita meninggi suara terutama suara Mama dan Babahnya. Orang kata, orang berpenyakit lelah memang mudah begitu.

Kerana itulah, suami sanggup membelikan sesuatu yang menarik perhatiannya. Untuk mengubah perhatiannya secara keterlaluan terhadap DVD cerita robot atau Upin Ipin. Tapi, itulah anak. Manakan pula kita tak sayang, sanggup berkorban duit untuk anak. Bila mereka besar, pastikah mereka mengingati kita? Entahlah..

Thursday, December 3, 2009

KISAHKU-6

"Siapa awak ni? Macamana awak boleh masuk ke rumah saya? Saya tak suka orang masuk ke rumah tanpa kebenaran!" aku terkejut setelah terlihat ada seorang perempuan bertelekong sedang berdiri di atas meja makan. 'Pelik!'bisik hatiku.

"Saya nak tumpang di sini. Lagipun saya nak bermain bola jaring." lembut dia berkata dengan wajah ayunya yang boleh menggugat keimanan seseorang lelaki jika melihatnya. Pakaiannya pun sudah ditukar kepada t-shirt berwarna ungu. Rambutnya lurus setakat bawah bahu. Memang cantik dan jernih air mukanya. Memakai seluar coklat cair tetapi kurang jelas di bahagian kaki.

'Ah! Jangan mudah terpedaya. Aku tak kenal dia siapa. Silap2 haribulan, suami aku digodanya. Tak sukalah aku. Lagipun, mana ada sekolah kat sini. Kawasan perumahan baru, belum membangun sangat', kataku dalam hati. Lalu aku bertanya lagi, "Tapi macamana awak masuk? Saya tak pernah bagi kunci pada sesiapa pun. Takkan dari developer" Kadang-kala timbul juga rasa curiga pada suami, manalah tahu dia yang membawa perempuan ni masuk ke rumah.

"Saya memang dapat kunci lebih awal dari awak. Tempat ni pun saya dah tahu awal sebelum awak masuk lagi. Kunci pun saya dah dapat tahu awal dari developer." Mudahnya dia menutur kata. "Saya memang tak suka orang yang saya tak kenal nak tumpang2 di rumah ni. Lagipun, husband pun tak bagi. Nanti saya tanya dia," aku menguji benarkah bukan suamiku yang memberi kunci. Dia diam tidak menjawab dengan muka yang penuh mengharap. "Tak usahlah. Apa pula orang yang kita tak kenal nak tumpang. Tak boleh! Tak Boleh," suamiku menegaskan pendiriannya. Lantas aku memberitahu ayat yang sama kepadanya.

'Siapa pula yang datang ni. Pelik juga orang yang aku tak kenal berkunjung ke rumah. Macam ada hajat je' desis hati. Mereka kelihatan seperti golongan sekitar 50-an dan aku kesiankan orang tua. Peliknya, hatiku lembut dan boleh duduk sekali bersama2 mereka yang sedang makan serta perempuan tadi. Perempuan itu ingin mengemas meja makan setelah selesai tetapi aku tetap bertegas, "Tak payah nak buat baik dengan aku pula, aku memang tak suka orang tak kenal nak menumpang."

Keesokan harinya, perempuan itu sudah tidak ada di dalam rumahku lagi. Aku mencari2 di manakah dia untuk kepastian. Akhirnya aku mengintai ke belakang rumah. Terkejutnya aku!!!

"Astaghfirullahalazim..." Aku terjaga terus terduduk kerana terlalu terkejut. Aku bermimpi rupanya. Masakan pula manusia biasa boleh berdiri tegak di atas pagar berdawai dan pastinya ia boleh lendut dengan berat badan. Perempuan itu boleh berdiri seperti itu sambil bertelekong. Tak mungkin manusia biasa.

Jam di dinding menunjukkan baru pukul 3 pagi. Aku sukar melelapkan mata kerana masih terbayang mimpi tadi. Mungkinkah perempuan dan tetamu tadi adalah penghuni asal tempat ini. Aku terbayang pula hutan yang berdekatan dengan rumahku. Mujurlah aku bertegas tidak membenarkan dia menumpang. Kalau tidak???

Itulah pengalaman tahun lepas yang aku tidak dapat lupakan sehingga sekarang. Memang selalu berlaku perkara aneh di rumahku sehingga sekarang. Kadang2 pintu bilik terbuka sendiri walaupun ianya berkunci dan tiada orang lain berada di luar melainkan kami 3 beranak di dalam bilik. Aku juga telah memasang CD bacaan al-quran. Kali ini Mak pula yang bagi pinjam 4 CD kesemuanya. Teringin miliki CD sendiri tetapi tunggulah ada duit lebih. Maklumlah sudah 2 kali CDku rosak. Dengan harapan, amanlah rumahku...amanlah hidupku.

Wednesday, December 2, 2009

KISAHKU-5

Hari selalu mendung. Semendung perasaan aku yang keliru. Sikap manusia yang kadang2 mengguris hati. Aku teringat sewaktu suami terlibat dengan kerja sukarela sebagai AJK Keselamatan di kawasan kejiranan. Sentiasa berkorban masa untuk kerja sukarela sehingga aku terasa dilupakan.

Setiap aduan penduduk berkenaan Security Guard yang bertugas, suami terpaksa bergegas untuk memantau sendiri keadaan sebenar. Jika ada hal keluarga yang 'urgent', dia selalu dipersalahkan kerana tidak membuat pemantauan. Pernah 1 hari, aku terpaksa bergegas sendiri ke hospital untuk menghantar anak yang sakit tanpa mengharapkan suami. Malahan, sewaktu ketiadaan aku berkursus 5 hari, tiada siapa yang menggantikan suami untuk melakukan tugas sedangkan anakku sedang sakit ketika itu. Kejamnya manusia. Hanya mengharapkan yang terbaik dari orang lain tetapi diri sendiri tidak pernah berjasa mahupun menolong.

"B harap janganlah ada orang yang tidak berpuas hati dengan mengatakan Babang telah makan duit terkumpul penduduk dari bayaran security untuk membeli kereta baru. Sekiranya ada, B tak halalkan kata2 itu kerana kedua2 kereta sebenarnya kepunyaan B. Selama ni pun Babang yang buat kerja sorang, orang lain takde yang datang membantu. Yang penting Babang sentiasa buat baik pada orang lain walaupun sebenarnya orang tak buat baik pada kita. Siapalah kita nak judge orang".

Itulah yang aku hamburkan kerana kemarahan. Orang hanya tahu mengata, tapi tidak mahu membantu. Tetapi semuanya sudah lama berlalu kerana suamiku sudah meletak jawatan setelah habis tempoh penggal di pertengahan tahun ini.

'Bunyi apakah itu?'desis hatiku. Kedengaran bunyi yang kurang menyenangkan seperti serangga di bilik ke3. "Set! Set! Set!" membingitkan telinga. 'Aku tak pasti, betulkah ianya serangga yang dinamakan pelesit? Biarlah, aku tak kacau dia pun'. Aku pun bergegas memberitahu suami tentang apa yang aku dengar setelah dia pulang ke rumah.

Pagi Ahad selepas solat subuh di bilik ke2, terlintas di hatiku untuk membaca Al-Quran kerana sudah seminggu aku tidak membacanya. Rindu sungguh pada ayat2 Allah, Dialah tempat aku mengharap. Al-Fatihah...Kemudian aku membaca surah Yasin namun setelah ayat pertama dibacakan, 'Bunyi apa tu? Macam lipas nak terbang je. Aku ni dah lah geli lipas.' Aku tetap terus membaca sambil membuka langkah untuk keluar dari bilik.

Tiba2, kelihatan seekor serangga seperti lipas yang gemuk sedang terbang dari kabinet buku. Tanpa sebarang ayat, aku pun berlari keluar sambil memegang naskah suci itu. Aku menyambung bacaan semula sambil melihat ke dalam bilik untuk pastikan apakah itu. Terkejutnya aku kerana ianya seekor belalang. Aku pun menghabiskan bacaan Yasin supaya apa yang aku jangkakan 'pelesit' keluar dari rumahku.

Beberapa jam kemudian, aku terkejut semula. Belalang tadi melekat pula pada beg anakku. "Babang! Ada lagilah benda ni. Nak buat macamana? B dah halau pun dia taknak pergi. Jangan2 memang pelesit tak. Babang tangkaplah." Aku sepenuh hati memberitahu suami untuk menarik perhatian. Biasalah, dia memang khusyuk dengan menonton, mata sentiasa melekat ke TV. Muka tak beralih bila kita bercakap.

"Hish!Takkanlah pelesit. Kalau macam tu, B jelah yang tangkap! Kalau tak pun, biar tuannya yang datang tuntut." Suamiku berseloroh bersahaja. Dia mendengar rupanya. "Ai! Kita pulak yang disuruhnya. Cakap jelah takut." Aku menyindir sambil tersengih mengingatkan ada juga lelaki yang takut dengan benda yang setakat belalang tu.

'Peliknya, seolah2 benda ni memang nak aku tangkap. Dia tak lari ke mana pun,'bisik hatiku. Lalu aku memasukkannya ke dalam bekas dan menutupnya. "Babang! Cepatlah tengok sini. Tadi B letak lada hitam dalam bekas ni, dia macam menggelupur. Mungkin belalang memang takut dengan lada hitam. Kemudian B letak pula garam, saja nak 'testing' betulke pelesit. Langsung dia pengsan. Cepatlah sini." Aku memanggil dari dapur. Suami masih dengan TVnya.

"Kenapa Fida? Ada apa di rumah?"Pn. Z yang merupakan salah seorang Boss di unit kami mencelah bertanyakan hal sebenar. Pagi2 lagi aku sudah berceritakan hal semalam di pejabat. Aku mengulang semula ceritaku tadi untuk mendapat kepastian.

"Bila Fida dengar benda tu datang?"Pn. Z bertanya lagi. Aku cuba mengingati semula "Hari Khamis, waktu malam". Lalu Pn. menjangkakan benda yang sama seperti aku. Dia memberitahu bahawa pelesit memang akan datang pada malam Jumaat. Ianya kepunyaan seseorang. Mungkin di kawasan kejiranan sendiri. Kadang-kala tuannya tidak membelanya dengan elok dan mereka ada perjanjian. Dengan itu, dia mengacau orang.

'Siapa punyalah agaknya. Di kawasan bandar pun ada yang membela ke..Mungkin kepunyaan keturunan yang atas kemudian menurun ke anak2 muda yang tak tahu apa. Atau sebab sekarang sudah mula musim haji. Mungkin tuannya pergi ke Mekah. Ditinggalkan belaanya di sini. Tapi tiada siapa pula yang pergi haji. Mungkin di kawasan kejiranan lain tapi sesat ke mari. Entahlah!' desis hatiku.

"Tapi saya lepaskan juga. Saya called Mak nak tanya macamana. Mak kata kena lepaskan sebab takut tuannya marah dan dendam. Jangan sampai mati. Bagitahu pada dia, jangan datang ganggu lagi ke sini. Kalau datang, nanti aku bunuh." Aku menghabiskan cerita tadi di pejabat. Sempat juga menyembang pagi sebelum waktu bekerja bermula. Sebenarnya aku masih terkejut dengan kejadian semalam.

KISAHKU-4

06hb Ogos dan 09hb Ogos. Tarikh2 itu membawa makna dalam hidupku. Pada bulan Ogoslah berlangsungnya perkahwinan kami dan kelahiran permata hati. Kebetulan kedua2nya bulan yang sama, kami telah membuat kenduri pada tahun lepas tetapi tidak untuk tahun ini. Maklumlah, tidak selalu musim, lebat buahnya. Tidak semua waktu, poket kita sentiasa penuh.

Begitulah anniversary tahun ini, bukannya tidak bermakna tetapi disambut dengan kesederhanaan dan penuh keinsafan supaya kami lebih pandai menguruskan kewangan. Mak telah membelikan kami sebuah kek berkrim untuk dirai bersama2 kaum keluarga. Terharunya aku bila teringatkan keinginan Mak yang mahu melihat cucunya Daus disambut dengan jamuan di rumahnya. Kata Mak,"Biarlah ada kegembiraan untuk cucu Mak".

Perasaan segan berputik bila berada di kalangan mereka. Maklumlah, mereka yang lain semuanya berpelajaran lebih tinggi dan menjawat post yang setara dengan kelulusan. Masing2 mengejar ilmu Master, PHD, Degree walaupun ada yang sudah stabil income bulanan. Tetapi aku hanyalah pemegang Diploma yang sekadar di pinggiran.

Namun, aku bersyukur kerana hidupku tetap bahagia kerana bahagia itu susah untuk ditafsirkan. Bagiku, sekarang ini juga aku sudah cukup bahagia bersama orang tersayang dan rasa dihargai. Seperti kata Mak, 'hidup ini bukan boleh dinilai dengan semua kelulusan dan pangkat kedudukan yang ada tetapi darjat kita di sisi Allah. Semua yang kita ada adalah landasan sementara untuk kita menuju ke sana (akhirat). Yang penting kita berusaha sambil bersyukur kepada-Nya'.

Sekurang2nya kami sudah boleh mengecap kesenangan dengan adanya 2 buah kereta dan rumah sendiri walaupun tidak sehebat mereka. Jarak umur yang terlalu jauh dengan adik-beradik yang lain membuatkan jurang antara kami. Aku berada di tengah2 jurang itu kerana Abang Long, Kak Ngah dan Kak Lang masing2 jarak setahun kemudian aku 7 tahun dan terakhir adik yang sedang belajar di UIA, 8 tahun.

Siapalah tahu, mungkin di penghujung usia giliran aku pula yang tiba. Seperti mak, apabila berumur 50-an, barulah dia boleh mengecap kesenangan.

KISAHKU-3

"Dari mata kasar memang tak nampak. Kena scan juga, baru boleh tahu. Sebenarnya awak ada 4 ketulan keseluruhannya. Ketumbuhan ni U kena refer pada appointment yang akan datang." Kata2 doktor bagaikan petir berdentum di telinga. Semakin terukkah sakitku?

Ya Allah, tabahkanlah aku. Hari lahirku ke-31 akan disambut bersama AidilAdha. 27 November 2009...Sudah tiba ke masanya untuk aku pergi? Pergi ke mana Fida? Engkau masih takut dengan mati? Sepatutnya kau rasa bersyukur kerana sekurang2nya Allah telah memberi peringatan agar kau bersedia menemui-Nya. Ajal boleh datang bila2 masa. Orang yang tidak ada 'signal', tiba2 saja boleh mati. Kau beruntung Fida. Banyakkan amalanmu.

"Baby nak beg yang mana satu? Pilihlah yang elok. Sempena birthday B" Seronoknya aku bila suami membelikan aku sebuah beg dan kuali bersadur marble. Memang menjadi idaman punyai kuali itu tapi selalu terlepas membelinya kerana harganya agak mahal. Lagipun aku suka dengan kelengkapan memasak, tapi takdalah pandai memasak pun. Kadang-kala suami juga yang kena membantu. Mungkin sebab itu juga dia suka membeli alat memasak.

"Terima kasih Babang. B suka apa yang Babang belikan." Boleh ke aku menikmati hari seperti ini pada masa akan datang? Sudahlah Fida, kau tak patut banyak berfikir kerana akan mengurangkan imunisasi badanmu sendiri. Seperti kata Doaa," Stress and worry about something can weak your immune system which by turn may harm you more than u can imagine. Keep ur worried upon ALLAH and do ur best :)..."

Tiba2 aku teringat kenalanku Doaa, seorang doktor Ginekologist Egypt yang selalu memberi nasihat padaku. Dialah tempat aku luahkan segala masalah kesihatan walaupun ada jurang antara benua, aku boleh menghubunginya secara maya. Begitu juga dengan Maryanfaith yang berada di Filipina, kadang-kala aku rasa rindu untuk bersua. Walaupun jauh dan berlainan agama, aku sering mendapat tempat mengadu untuk simpatinya.

Hidup ini semakin berwarna dengan orang2 kesayangan, rakan2 dan pengalaman baru. Tapi sampai bila...yang tinggal hanyalah Allah yang sentiasa bersama kita.

KISAHKU-2

"Kereta kancil dah habis bayar, kita tambah satu lagi kereta barulah! Senang sikit nak berjalan jauh. Jangan beli yang membebankan kita, cukup sekadar kemampuan dan rasa senang nak bayar. Anak kita selalu sakit, sekurang2nya, dia selesa naik dan kurang hentakan bila jalan tak elok." Aku masih ingat lagi kata2 tadi. Aku memang niat untuk membeli kereta yang baru untuk kemudahan. Akhirnya sebuah saga BLM 1.3 dapat kubeli pada bulan April.

"Hari ni B balik kursus. Kereta tu siapa yang nak ambik? Nanti Babang terus ambik Daus lah. Daus macamana? Semput lagi ke dia?", aku sengaja mengingatkan suami yang aku akan pulang dari Kursus Better Spoken English hari ini. "Oklah, Babang tumpang Arafat pergi kerja, kan dia yang jual kereta tu. Nanti Babang ambik Daus. Dia asyik bertanyakan Mama mana. Kesian dia, jadi tak sihat bila B pergi kursus 5 hari. Tapi kalau Babang lambat, B lah yang ambik Daus. Dia rindu tu"

Seronoknya bukan kepalang bila kursus sudah tamat. Bila tiba di rumah, kereta baru masih belum muncul. Tapi bila terkenangkan anak yang baru kuambil dari nursery, keadaannya yang kurus kering mengejutkan aku dan timbul rasa kesal serta terharu melihatnya yang terlalu rindukan aku. "Maafkan Mama ye...Mama pergi kursus. Daus kena belajar berenggang dari sekarang. Kalau Mama dapat elak kursus lama, Mama takkan pergi. Tapi kursus juga penting untuk kerja Mama." Sedihnya aku menatap wajah yang murung dan tidak mengerti apa2 tentang ketiadaan aku kerana berkursus.

Itulah yang aku fikirkan, bagaimanalah agaknya jika aku pergi untuk selamanya. Bagaimana keadaan anakku nanti. Aku tetap meniti hari2 menanti dengan penuh persoalan. Bagaimanakah masa depanku kelak. Sempatkah aku menatap wajah anakku tika dia besar nanti. Aku tetap berusaha dan tawakkal kepada Allah untuk kesekian lamanya di atas muka bumi ini. Semuanya atas izin Allah.

Namun aku tetap yakin, hidup ini sudah diatur penuh rapi oleh Penciptanya. Jangan mudah diperdaya hanya dengan ujian yang sekelumit cuma kerana ada orang lain yang lebih susah tidak dijangka. Syukur Ya Rabbi, Kau anugerahkan aku harta yang paling bernilai dalam hidupku. Tidak ingatkah kau Fida, kau pernah diberitahu ahli fisioterapi yang kau berisiko jika mengandung. Orang pernah tertawakan kau kerana mana mungkin seorang lelaki boleh menerima perempuan yang berisiko sepertimu. Tapi, Allah Maha Kuasa. Dia yang menentukan segalanya. Lihat, dengan izin Allah, kau boleh punyai seorang anak yang comel dan badannya antap macam Babahnya. Dan dirimu tidak seperti yang dijangkakan, kau boleh hidup seperti orang lain dengan kaki yang boleh berjalan seperti biasa. Tidak ingatkah engkau semua itu.

"Kita kahwin bukan untuk sehari dua tapi sehingga akhir hayat. Biarlah apa orang nak kata, soalan you tu terlalu complicated. Percayalah, Tuhan yang tentukan semuanya. Siapalah kita nak menjangka masa depan. Kalau ada rezeki, ada lah anak. Kalau takde, kita ambillah anak angkat. Lagipun family I memang ramai yang ambik anak angkat. Kita cuba je dulu. Kahwin bukan semata2 untuk itu. Jauh lagi perjalanan hidup ni." Kata2 suami menguatkan semangat untuk aku teruskan niat mengahwininya. Terima kasih Babang, terima kasih suamiku.

KISAHKU-1

Sebagai penutup tirai 2009, ingin aku tatapkan sebuah kisah hidupku yang menjadi pedoman dan ingatan sepanjang hayatku.

Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah segala dosa2ku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Siapalah aku di sisi-Mu! Engkau Maha Pencipta seluruh alam. Aku hamba yang lemah dan hanya bergantung kepada pertimbangan-Mu. Amatlah sedikit amalanku terhadap-Mu ya Allah bahkan terlalu banyak kesalahan yang telah aku lakukan di atas muka bumi-Mu ini. Apakah darjatku pada-Mu ya Allah.

Aku bersyukur kepada-Mu kerana hingga ke hari ini aku masih bernadi. Aku kagum dengan kekuasaan-Mu yang telah menjadikan aku seorang manusia yang kuat dan tabah hadapi segala dugaan kerana aku yakin dengan kekuatan Pentadbir seluruh alam, Engkau memberikan nikmat yang tidak terhingga nilainya.

Dengan kekuasaan-Mu lah, aku masih bernyawa dan menghirup udara-Mu serta merasa kasih sayang keluarga tercinta. Dapatkah aku menempuhi tempoh hidup yang panjang lagi? Aku tidak dapat menduga percaturan-Mu yang telah disusun rapi di atas kehendak-Mu.

Malah aku juga tidak menduga ada insan lain yang pergi dulu atas kehendak-Mu jua ya Allah terutamanya kerana wabak H1N1. Aku bersyukur ke atas nikmat2Mu yang tak terhingga. Kerana kasih sayang-Mu aku masih di sini. Aku bermohon pada-Mu agar penyakitku pulih seperti sediakala. Aku yakin pada-Mu kerana Engkau Maha Berkuasa ke atas sesuatu.

Ya Allah, berikanlah ketabahan terhadap kesakitan yang aku lalui ya Allah. Sesungguhnya aku insan yang lemah dan aku bimbang aku hilang keimanan terhadap-Mu. Perteguhkan imanku agar sentiasa mengingati-Mu. Engkaulah tempat aku mengadu susah senang.

Berikanlah aku jalan keluar untuk menyelesaikan segala kekusutan hidup ini. Aku akur akan kebesaran-Mu ya Hafiz, ya Latif. Berilah petunjuk pada kami semua agar sentiasa berada di jalan kebenaran. Ya Allah, hilangkanlah kegusaran dan kesakitanku. Aku berlindung pada-Mu atas segala kemungkaran dan kejahilan serta berilah aku ilham agar mendapat jalan hidayah.

Ya Allah, sakitnya azab-Mu di dunia ini, apatah lagi di akhirat. Sudah bertahun2 aku merasakan kesakitan itu, namun tiada seorang pun yang dapat menjangka walaupun diri ini. Engkaulah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Engkaulah Pengatur Hidup yang paling hebat. Engkau Maha Pelindung. Aku insan lemah yang tidak sabar akan dugaan-Mu, dhaifnya aku ya Allah. Aku amat memerlukan-Mu dalam menempuh hidup ini.

Jauhilah kami semua dari ujian yang kami tidak mampu menempuhi-Nya, lindungilah kami dari segala kejahatan makhluk di muka bumi ini.Ya Allah, panjangkanlah umur kami dan kurniakanlah kesihatan yang baik. Aku bermohon pada-Mu agar elakkan diriku dari sebarang fitnah dan bahaya.

Aku semakin lemah untuk bercakap dan tidur menjadi keselesaanku untuk menghilangkan rasa sakitku walaupun sebenarnya tidak. Bukanlah maksudku untuk tidak mahu bermesra sesama jiran tetangga, rakan2 serta orang di sekelilingku, tetapi kesakitan yang semakin dirasa mengurangkan pergerakanku serta percakapan yang kadang-kala dirasakan penat. Engkau Maha Mengetahui. Mungkin terlalu banyak dosa2ku sehingga ditarik nikmat2ku.

Ya Allah, bulan hadapan merupakan penentuan untukku menerima keputusan. Aku berharap agar aku dapat belas kasih-Mu dengan keputusan dari doctor pakar bedah nanti. Entahkan berita baik, entahkan buruk, hanya Engkau sebenarnya yang menentukan takdirku. Engkau lah yang telah membuatkanku cinta dan kasih terhadap sesama insan kerana sepanjang kesakitanku, ada insan yang telah memberi sokongan serta panduan sehingga aku merasakan diri ini amat rasa kasih pada-Mu di atas nikmat itu.

Kadang-kala aku terfikir, adakah aku akan melakukan perkara yang sama sepertimana insan lain mengasihiku? Aku berharap segala jasa dan kasih suami serta kaum keluarga tidak kulupa malah ganjaran yang lebih baik terhadap kami semua di atas kesabaran perjalanan ini. Nikmat2Mu tidak terhingga. Kami sebagai hamba-Mu hanya merancang tetapi Engkau yang menentukan.

Pintaku, berilah aku peluang untuk pulih semula dari sakitku ini dan panjangkanlah umurku agar dapatku beramal dan bertaubat kepada-Mu serta dapat melihat sendiri anak2 ku (insya Allah) membesar di depan mataku sebagai hasil iman yang kuat dan menjadi insan yang berjasa kepada masyarakat. Sesungguhnya aku memang inginkan zuriat keturunanku hidup dalam keadaan aman bahagia dengan berlandaskan syariat-Mu.

Aamiiin…Tiada noktah perjuangan dalam kehidupan. Mati itu pasti dan hidup itu insya Allah.

NOR AFIDAWATI BINTI MASUAN
10.09.2009

Itulah yang aku ucapkan di kala kesusahan dengan ujian yang menimpa. Namun aku tetap tabah dengan pelbagai kemungkinan yang akan terjadi kelak. Sampai bila akan aku kekal dengan ketabahan, aku sendiri tak pasti. Cukuplah, jangan orang lain ingin mencemburui hidup aku sekeluarga. Aku takkan berundur kalah hanya kerana sesuatu yang bukan kerana-Nya.