Sunday, January 16, 2011

2011

Detik waktu semakin pantas berlari. Aku pula leka dengan pelbagai urusan sehingga lupa akan sesuatu yang amat bernilai di dunia ini. Walaupun tidak semuanya, tapi aku akan terus berusaha gigih untuk mencapai hajat yang sepatutnya dilakukan oleh setiap ibu bapa. Tanggungjawab...terhadap anak. Dari segi apa? Otak sehabis daya berfikir untuk mencari maksud sebenar impian masa depan. Bukankah anak itu harta? Ya, aku harus menggalas tanggungjawab seiring impian itu supaya aku didoakan oleh anak yang soleh.

Lama sungguh aku tidak meluangkan waktu untuk menulis 'blog'. Terasa janggal malah kekangan idea dan tidak seperti dulu. Aku biarkan saja masa berlalu dengan pengalaman hidup yang sungguh menguji ketabahan. Mungkin itu tandanya aku sudah semakin matang. Aku tidak lagi terus melulu dengan terlalu banyak berfikir dan meluahkannya di 'blog'. Tetapi aku mula berfikir dengan cara yang lebih positif dari sudut yang berbeza walaupun sudah banyak perkara yang telah kulalui sepanjang tempoh 'senyap' itu. Setiap manusia boleh berubah. Kita pun tidak tahu lagi bagaimana penghujung hidup kita terutama apabila bertemu ajal. Ya..itulah maksudku...amalan. Bagaimana aku mahu mulakan? Dari mana?

Seingat aku, Ramadhan yang lepas betul2 banyak mengajarku tentang kehidupan. Mana tidaknya, boleh dikatakan aku akan pergi mendengar Ceramah Agama di jabatan tempat kerjaku pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Banyak sungguh ilmu yang telah kuperoleh dan kadang-kala terasa begitu kerdil diri ini dengan luasnya ilmu Allah yang Maha Kaya. Aku teringat kata2 seorang penceramah,"Ada baiknya kita memberi sedikit sumbangan kepada orang lain jika mahukan sesuatu daripada Allah. Rezeki yang kita dapat juga daripada Allah dan Allah sukakan orang yang pemurah." Ya! Benar kata2 itu sehingga aku teringatkan sesuatu iaitu fidyah. Sudahkah aku menyelesaikan semuanya? Ataupun zakat? Ataupun hutang? Ataupun apa2 juga bentuk pertolongan yang sepatutnya aku tolong tapi masih tertunggak.

Kucari pelbagai laman web terutama rumah2 anak yatim. Ya Allah...kasihan melihat mereka yang tiada kasih sayang ibu atau ayah. Keinsafan semakin menjalar dalam diri. Mungkin segala ujian sebelum ini adalah pertemuan kepada segala kekosongan yang terdapat dalam diri. Setelah penat mata menjamah internet, setelah letih otak berfikir mencari kekosongan itu, aku lepaskan diri dari keadaan tidak bermaya menuju kereta. Pemanduan dimulakan dengan membuka peti radio kereta. Sesekali menguap tanda mengantuk. Kereta bergerak perlahan sambil dihiburkan bualan 2 orang DJ radio IKIM. Ah...memang penat.

"Assalamualaikum....saya ..... dari Putrajaya." Terasa tidak begitu jelas kedengaran suara pemanggil radio tersebut kerana kurang tumpuan. 'Kenapalah tiada didendangkan lagu yang boleh menghilangkan mengantuk,' kata hati. Tapi kubiarkan saja siaran tersebut kerana mungkin ada topik hangat yang mahu dibincangkan. "Saya ada terbaca 1 blog ni. Sebenarnya saya baca semua kisah dalam tu". Cerah mataku tiba2 setelah dia menceritakan sedikit tentang blog tersebut. 'Alamak! Macam terkena je kat aku. Biar betul komen kat radio. Takpe2. Biar aku dengar lagi,' bisik hati. Sebenarnya aku sendiri tidak kisah dengan komen yang membina asalkan tidak melampaui batas.

"Ada lah dia sebut tentang emulsioner makanan yang tak halal. Memang la.... tapi memakan sushi tu sendiri sebenarnya syubhah. Kita tak tahu dari mana puncanya. Macamana nak dimakbulkan doa oleh Allah. Itu saja lah komen saya. Sekian". Aku tergamam seketika. "What!!! Siapa nama pemanggil tadi? Sushi tu was2. Dah lama aku makan pun." Persoalan itu berlegar2 di fikiran. Aku seolah2 tidak percaya dan tidak mungkin apa yang dimaksudkan pemanggil tadi berkenaan 'blog'ku. Entahlah..

Selang beberapa bulan selepas itu, tibalah aku di salah sebuah bandar di Malaysia. Aku bersama2 suami memang suka 'jalan2 cari makan' tambahan pula Aus tidak mahu ikut serta kerana sibuk bermain dengan sepupunya yang sebaya di rumah ibu mertua. Inilah masa yang kami gunakan untuk melepaskan rasa gian terhadap makanan Jepun yang sudah lama kami tinggalkan. Apa lagi kalau bukan sushi. Dengan kemudahan Papago, kami cuba mencari tempat makan sushi di kawasan berdekatan untuk mengisi perut yang lapar. Maklumlah sesekali balik ke kampung, pastinya banyak perubahan yang ada.

"Yes! Inilah dia....sushi kita. Dah lama tak pekena." Aku tersenyum tanda puas setelah kami tiba di tempat yang dituju, Sushi King. Dari satu hidangan ke hidangan yang lain, mata sentiasa meliar mencari sushi yang sentiasa berpusing menunggu giliran untuk dijamah dan tidak perlu dipesan. Sedang enak mengunyah sushi yang sedia berpusing tadi malah tiada sebarang reaksi oleh pelayan Cina apabila kami memesan 'bento' yang dihajati sebelumnya, tiba2 kami dikejutkan oleh seorang pelayan perempuan Melayu ketika dia sedang menuang air tambah 'ocha' kami. "Akak dah makan tu?!!! Takpelah dah makan...." ujar pelayan tersebut. Kami tersentak dengan teguran itu. Apalah yang tidak kena dengan makanan kami. "Apa bendanya? Kenapa?" tanya suami. "Sebenarnya yang itu ada alkohol, kita tak boleh makan." Lalu dia mengeluarkan sekeping kad berukuran lebih kurang 16 x 22cm dari celah2 tempat yang tersimpan menu di atas meja dan ianya memang agak tersorok bersama2 kertas yang lain. Menyirap darah mendengarnya lantas aku meludah kesemua isi makanan di mulut. Terus aku membaca isi kandungan kad itu.

'Dear Valued Customers, we serve pork-free and non-alcohol added products, except the following:
1. Unagi Kabayaki (alcohol content <0.05%)
2. Unagi Slice (alcohol content <0.05%)
3. Ikura (alcohol content <0.15%)
4. Saba Misoni (alcohol content <0.15%)
Canned Beers are sold at selected restaurants.
From: Management of Sushi King Sdn Bhd.

Dengan rasa terkilan setelah pelayan tadi memberitahu sushi yang kujamah tadi adalah yang ketiga tersenarai, aku rasa kesal dan tidak berpuas hati kerana makluman yang dibuat tidak dipamerkan malah sushi itu juga bercampur bersama2 sushi yang lain yang turut berputar menanti dijamah. Bermakna sesiapa saja boleh mengambilnya tanpa ada beza. Entah apa lagi yang kami makan sebelumnya, kami juga tidak pasti. Jika aku tahu begitulah keadaannya dari awal, jangankan makan malah masuk juga tidak mahu kerana sudah tentu kesemua yang ada di situ termasuk pekerjanya tidak kira muslim atau tidak, sama akan terlibat. Yang hairannya, kenapalah ada di kalangan orang Islam sendiri yang bekerja di situ. Tidakkah mereka boleh terlibat terutama jika pelanggan mahukan 'canned beers' untuk dihidangkan? Bukankah segala yang terlibat dengan arak adalah sama turut dilarang walaupun kita tidak meminumnya. Dek kerana mereka yang muslim ada bekerja di situlah, maka kami juga turut masuk ke restoran itu untuk menjamu selera. Mungkin mereka tidak tahu. Kalau tidak kerana teguran ikhlas pelayan tadi, sudah tentu aku juga tidak tahu adanya sushi khas yang meragukan. Entahlah....

"Sudahlah...". Suami cuba menenteramkan jiwaku kerana melihat suasana muram masih bersisa. "Next time kita tak masuk lagi ke situ". Kami pulang ke rumah ibu mertua dengan penuh pengajaran. Apabila menatap wajah Aus, aku merasa keajaiban Allah kerana itulah kali pertama Aus menolak pelawaan kami untuk keluar jalan2 bersama. Sebelum ini, memang Aus selalu dibawa pergi ke mana2 restoran sushi dan dia tidak mahu menjamahnya. Waktu itu Aus masih kecil, tapi sekarang dia sudah berusia 3 tahun, mungkin banyak makanan yang dia ingin cuba merasanya. Alhamdulillah dia terlepas dari ujian tadi....aku harap biarlah zuriat keturunanku terpelihara daripada segala yang terlarang. Tiba2 ingatanku berputar2 mencari bait2 ayat pemanggil radio IKIM yang lalu. Terasa sungguh menyentap jiwa dengan amalanku selama ini. Peringatan oleh Allah melalui hambaNya. Adakah ini permulaannya....??